Thursday, June 12, 2008

120) Mungkin yang Terakhir di sini

Bismillahirrahmanirrahim ...

Teratak baru kami telah suku siap dibina. Dan serisahmura (.) blogspot (.) com ini akan berpindah ke ~ sanggar-cinta.

Rumah lama ini akan terus di sini sebagai prasasti sebuah kehidupan dan cinta ... =)

Wednesday, June 11, 2008

119) Merisik Khabar Bulan

Sudah hampir 1 minggu suami saya pulang dari mengerjakan umrah. Soalan pertama yang saya ajukan padanya, sebaik kami tiba di rumah petang 5 Jun itu - "apa yang Habib doakan untuk Honey?".

Jawapan suami saya buat saya termenung panjang. "Abang doakan, Honey dan kita bukan sahaja dimasukkan ke syurga, tetapi tidak langsung disentuh bahang neraka ..."

Frasa itu nampak biasa. Namun maksudnya sangat mendalam. Sesiapa saja yang Muslim bakal menjenguk syurga jika tiada walau sepintas lalu menduakan Allah Yang Esa.

Tetapi untuk memastikan tidak direbus dalam gelegak neraka, alangkah jerihnya!


Ya Tuhan!
Jangan sekalipun Kau beri kami kesempatan
mencium bau neraka-Mu.
Amin ...

Saturday, June 07, 2008

Hand-out Kecemasan =)

Syair yang menyimpul

kenangan al-Ahzab yang bersejarah

اللهم لا عيش إلا عيش الآخرة ۞ فاغفر للأنصار و المهاجرة

نحن الذين بايعوا محمدا ۞ على الجهاد ما بقينا أبدا

لو لا أنت ما اهتدينا ولا تصدقنا ولا صلينا ۞ فأنزل سكينة علينا وإن ارادوا فتنة أبينا

Sejuk udara subuh ini memang menyegarkan. Dan sejak itu hati saya dicumbui ingatan pada mati. Saya resah metah. Namun tatkala mengingati kata-kata و كفى بالموت موعظا hati saya beransur tenang.

Mati adalah pasti. Kepastian yang kita tidak dapat lari darinya. Saya bukanlah minta disegerakan mati, namun hati kecil saya berbisik, ‘andai aku pergi …’

Ya! Andai saya pergi dalam detik terhampir ini, saya sedikitpun tidak bersedia. Memangnya kerana hati dan jiwa saya disarati dengan cinta dunia yang mengasyikkan. Saya sungguh takut untuk mati!

Saya takut meninggalkan ibu tercinta, ayah tersayang dan adik-beradik yang menghiburkan. Saya takut meninggalkan teman-teman saya yang saling berkongsi rasa dan citra. Saya tak mahu dipisahkan dari cinta hati saya – yang cinta kami baru saja berputik. Saya tak mahu meninggalkan segala yang saya ada!

Mati!

Datangnya bila-bila. Tak siapa tahu. Tak siapa duga. Andai terpaksa pergi juga, tanpa apa-apa …

Mati akan tiba. Mungkin sebentar lagi … kerana tiada janji pasti, yang esok masih menanti untuk saya merasai sinar mentari, menghirup udara pinjaman Ilahi, di muka bumi ini lagi.

Dan yang pasti, saya tetap akan pergi juga suatu hari nanti, menuju destinasi pasti, yang awalnya adalah mati.

Dan, seandainya saya pergi sekejap lagi, yang saya hajatkan …

اللهم اختم لنا بحسن الخاتمة ولا تختم علينا بسوء الخاتمة



Kenapa kecemasan?

Saya menyiapkan tulisan ini dengan tergesa-gesa sebagai bekal buat suami saya menyampaikan motivasi esok (Sabtu, 7 Jun). Jenuh memikirkan apakah bahan yang paling cocok dengan isi yang bakal diutarakan, saya diilhamkan Allah untuk membelek catatan lama saya. Dan inilah bicara hati saya di semalam yang kelmarin - setelah diubahsuai untuk dijadikan hand-out


Tuesday, May 13, 2008

Setelah 62 Tahun Berlalu

Sebut nama Merve Kavacki, saya pasti teringat sahabat saya ~ Muna Hadad. Impian Muna berinspirasikan semangat Dr. Merve - walaupun bukan 100%.

Muna,
di Malaysia, lain pula halnya ... (baca di sini)

Minggu sudah ada audition untuk jadi host Akademi Nasyid TV9 ~ Dekat di Hati. Saya malu nak kata 'mahu'. Dan saya malu-malu. Sedangkan saya sudah di teater ujibakat di Media Prima, petang itu!

Suami tanya, kenapa saya enggan. Waktu itu, jawapan yang ada dalam hati saya cuma, 'Honey takut kena ubah penampilan.'

Saya yakin suami saya mengerti dan memahami bahasa diam saya itu.


Mungkin setelah 62 tahun ini, saya ada peluang di esok hari. Siapa tahu ...

Sunday, May 11, 2008

Selamat Hari Ibu

~*Selamat Hari Ibu*~

buat Mak,

dan Mama ...


... tersayang ...
We always love you.and we miss both of you very much!

Thursday, May 08, 2008

9 Mac - 9 April - 9 Mei


Hari ini genap dua bulan usia perkahwinan kami. Alhamdulillah ...

Dua bulan bergelar isteri kepada lelaki ini - Nabil Ahmad - mengenalkan saya pada dimensi yang berbeza.

Dua minggu sudah, saya meletakkan jawatan sebagai guru sandaran di Sekolah Menengah Agama Raja Perempuan Taayah, Ipoh dan berpindah ke Serdang Perdana.


Menjadi penghuni kota metropolitan ini bukanlah seindah imaginasi. Saya gamam dalam banyak perkara. Mujur ada suami yang sedia dan setia ikhlas memimpin saya, alhamdulillah.


Satu perkara yang payah saya lupakan ~ ketika ber'window shoping' di Alamanda. Menjelang maghrib, kami mencari musolla untuk menyempurnakan rukun wajib ini. Subhanallah! Bilik solat penuh sesak hingga memaksa saya menanti beberapa ketika dek ramainya yang mengambil wuduk dan penuhnya saf.


Usai solat, saya meluru mendapatkan suami.
"Habib, Honey rasa macam kita kat Kota Bharu pulak. Ini kat Alamanda, kan?"
Soalan saya hanya dijawab dengan senyuman sahaja.


Memanglah mereka yang solat itu ada yang datang ber'couple', berpakaian yang serba 'ringkas' dan sebagainya. Tetapi sekurang-kurangnya mereka sedar, azan memanggil mereka mengadap Tuhan segala tuan.


Positifnya, pada saya ini permulaan yang baik. Kenapa harus mencebik situasi ini, kalau kita sendiri hanya tekur memerhati?


~ foto diambil masa kami di Sarawak, 2 minggu selepas majlis pernikahan kami. Far East diundang oleh UNIMAS untuk membuat persembahan di sana. 2 in 1 =) ~

Wednesday, April 23, 2008

Selamat Hari Lahir, suamiku



Dear My Another Half, Nabil Ahmad

Tiada hadiah dan tiada kek yang mengiringi hari ulangtahunmu kali ini. Tetapi yang ada hanya doa …

Semoga Allah menyayangimu lebih dari cintaku padamu. Moga Allah kekal memeliharamu lebih dari aku menjagamu. Dan semoga Allah memberkati pernikahan dan kehidupan kau dan aku selamanya.

Sanah Helwa ke-28.

Dari isterimu,

Suzana Mohamed Ali