Thursday, June 12, 2008

120) Mungkin yang Terakhir di sini

Bismillahirrahmanirrahim ...

Teratak baru kami telah suku siap dibina. Dan serisahmura (.) blogspot (.) com ini akan berpindah ke ~ sanggar-cinta.

Rumah lama ini akan terus di sini sebagai prasasti sebuah kehidupan dan cinta ... =)

Wednesday, June 11, 2008

119) Merisik Khabar Bulan

Sudah hampir 1 minggu suami saya pulang dari mengerjakan umrah. Soalan pertama yang saya ajukan padanya, sebaik kami tiba di rumah petang 5 Jun itu - "apa yang Habib doakan untuk Honey?".

Jawapan suami saya buat saya termenung panjang. "Abang doakan, Honey dan kita bukan sahaja dimasukkan ke syurga, tetapi tidak langsung disentuh bahang neraka ..."

Frasa itu nampak biasa. Namun maksudnya sangat mendalam. Sesiapa saja yang Muslim bakal menjenguk syurga jika tiada walau sepintas lalu menduakan Allah Yang Esa.

Tetapi untuk memastikan tidak direbus dalam gelegak neraka, alangkah jerihnya!


Ya Tuhan!
Jangan sekalipun Kau beri kami kesempatan
mencium bau neraka-Mu.
Amin ...

Saturday, June 07, 2008

Hand-out Kecemasan =)

Syair yang menyimpul

kenangan al-Ahzab yang bersejarah

اللهم لا عيش إلا عيش الآخرة ۞ فاغفر للأنصار و المهاجرة

نحن الذين بايعوا محمدا ۞ على الجهاد ما بقينا أبدا

لو لا أنت ما اهتدينا ولا تصدقنا ولا صلينا ۞ فأنزل سكينة علينا وإن ارادوا فتنة أبينا

Sejuk udara subuh ini memang menyegarkan. Dan sejak itu hati saya dicumbui ingatan pada mati. Saya resah metah. Namun tatkala mengingati kata-kata و كفى بالموت موعظا hati saya beransur tenang.

Mati adalah pasti. Kepastian yang kita tidak dapat lari darinya. Saya bukanlah minta disegerakan mati, namun hati kecil saya berbisik, ‘andai aku pergi …’

Ya! Andai saya pergi dalam detik terhampir ini, saya sedikitpun tidak bersedia. Memangnya kerana hati dan jiwa saya disarati dengan cinta dunia yang mengasyikkan. Saya sungguh takut untuk mati!

Saya takut meninggalkan ibu tercinta, ayah tersayang dan adik-beradik yang menghiburkan. Saya takut meninggalkan teman-teman saya yang saling berkongsi rasa dan citra. Saya tak mahu dipisahkan dari cinta hati saya – yang cinta kami baru saja berputik. Saya tak mahu meninggalkan segala yang saya ada!

Mati!

Datangnya bila-bila. Tak siapa tahu. Tak siapa duga. Andai terpaksa pergi juga, tanpa apa-apa …

Mati akan tiba. Mungkin sebentar lagi … kerana tiada janji pasti, yang esok masih menanti untuk saya merasai sinar mentari, menghirup udara pinjaman Ilahi, di muka bumi ini lagi.

Dan yang pasti, saya tetap akan pergi juga suatu hari nanti, menuju destinasi pasti, yang awalnya adalah mati.

Dan, seandainya saya pergi sekejap lagi, yang saya hajatkan …

اللهم اختم لنا بحسن الخاتمة ولا تختم علينا بسوء الخاتمة



Kenapa kecemasan?

Saya menyiapkan tulisan ini dengan tergesa-gesa sebagai bekal buat suami saya menyampaikan motivasi esok (Sabtu, 7 Jun). Jenuh memikirkan apakah bahan yang paling cocok dengan isi yang bakal diutarakan, saya diilhamkan Allah untuk membelek catatan lama saya. Dan inilah bicara hati saya di semalam yang kelmarin - setelah diubahsuai untuk dijadikan hand-out


Tuesday, May 13, 2008

Setelah 62 Tahun Berlalu

Sebut nama Merve Kavacki, saya pasti teringat sahabat saya ~ Muna Hadad. Impian Muna berinspirasikan semangat Dr. Merve - walaupun bukan 100%.

Muna,
di Malaysia, lain pula halnya ... (baca di sini)

Minggu sudah ada audition untuk jadi host Akademi Nasyid TV9 ~ Dekat di Hati. Saya malu nak kata 'mahu'. Dan saya malu-malu. Sedangkan saya sudah di teater ujibakat di Media Prima, petang itu!

Suami tanya, kenapa saya enggan. Waktu itu, jawapan yang ada dalam hati saya cuma, 'Honey takut kena ubah penampilan.'

Saya yakin suami saya mengerti dan memahami bahasa diam saya itu.


Mungkin setelah 62 tahun ini, saya ada peluang di esok hari. Siapa tahu ...

Sunday, May 11, 2008

Selamat Hari Ibu

~*Selamat Hari Ibu*~

buat Mak,

dan Mama ...


... tersayang ...
We always love you.and we miss both of you very much!

Thursday, May 08, 2008

9 Mac - 9 April - 9 Mei


Hari ini genap dua bulan usia perkahwinan kami. Alhamdulillah ...

Dua bulan bergelar isteri kepada lelaki ini - Nabil Ahmad - mengenalkan saya pada dimensi yang berbeza.

Dua minggu sudah, saya meletakkan jawatan sebagai guru sandaran di Sekolah Menengah Agama Raja Perempuan Taayah, Ipoh dan berpindah ke Serdang Perdana.


Menjadi penghuni kota metropolitan ini bukanlah seindah imaginasi. Saya gamam dalam banyak perkara. Mujur ada suami yang sedia dan setia ikhlas memimpin saya, alhamdulillah.


Satu perkara yang payah saya lupakan ~ ketika ber'window shoping' di Alamanda. Menjelang maghrib, kami mencari musolla untuk menyempurnakan rukun wajib ini. Subhanallah! Bilik solat penuh sesak hingga memaksa saya menanti beberapa ketika dek ramainya yang mengambil wuduk dan penuhnya saf.


Usai solat, saya meluru mendapatkan suami.
"Habib, Honey rasa macam kita kat Kota Bharu pulak. Ini kat Alamanda, kan?"
Soalan saya hanya dijawab dengan senyuman sahaja.


Memanglah mereka yang solat itu ada yang datang ber'couple', berpakaian yang serba 'ringkas' dan sebagainya. Tetapi sekurang-kurangnya mereka sedar, azan memanggil mereka mengadap Tuhan segala tuan.


Positifnya, pada saya ini permulaan yang baik. Kenapa harus mencebik situasi ini, kalau kita sendiri hanya tekur memerhati?


~ foto diambil masa kami di Sarawak, 2 minggu selepas majlis pernikahan kami. Far East diundang oleh UNIMAS untuk membuat persembahan di sana. 2 in 1 =) ~

Wednesday, April 23, 2008

Selamat Hari Lahir, suamiku



Dear My Another Half, Nabil Ahmad

Tiada hadiah dan tiada kek yang mengiringi hari ulangtahunmu kali ini. Tetapi yang ada hanya doa …

Semoga Allah menyayangimu lebih dari cintaku padamu. Moga Allah kekal memeliharamu lebih dari aku menjagamu. Dan semoga Allah memberkati pernikahan dan kehidupan kau dan aku selamanya.

Sanah Helwa ke-28.

Dari isterimu,

Suzana Mohamed Ali

Tuesday, March 25, 2008

Majlis Kesyukuran Perkahwinan kami

ini salah satu dari foto perkahwinan kami.

harap kalian terus doakan kami

Wednesday, February 27, 2008

Calon PAS N23

Sila jenguk juga ke laman berikut sebagai bahan fikir kita
media arus perdana (TV3 terutamanya) sangat memualkan untuk dijadikan rujukan. dalam setiap kali commercial break, pasti akan keluar 3 iklan BN. What's a rubbish!
bak kata Pakcu saya, kalau TV tu harganya sekupang, dah lama dihempas ke tanah!
BN (baca: be end) dah sangat gelabah dan tertekan. bagaimana care taker gov boleh sewenang-wenangnya menjaja pada rakyat gula-guli itu ini menjelang PRU 12?! ATM ditawarkan peruntukan berjuta RM kalau BN (baca: be end) memerintah lagi. minyak takkan naik lagi. temberang la Najib!
BA takkan mampu sara rakyat? apa selama ini hasil negara tu duit UMNO BN (baca: be end) ke? itu hak rakyat! duit kita. duit mak ayah kita...!

Thursday, February 14, 2008

Perutusan Raja Sehari kami

Rasulullah SAW bersabda (berdoa kepada pasangan pengantin):
“Semoga Allah memberkati kamu dan memberkati ke atas kamu serta mengumpulkan kamu di dalam kebaikan”
(Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasaie dan al-Tirmizi)

Tuesday, January 29, 2008

Selagi Ada Pena

Sekian lama mendiamkan diri, sudah hamper ke hujung Januari 2008 rupanya kita. Hari ini 20 Muharram sudah kita lewati. Mungkin ada yang sedar. Barangkali ada juga yang leka. Itulah masa dan usia yang akan dihitung … Pasti dihitung.

Satu cerita yang dah lama hendak saya catatkan sepanjang saya memilih untuk diam. Kisah yang saya kutip di tengah hari rembang ketika berpanas menunggu bas di pekan Ipoh.

Dua orang anak kecil milik pasangan India Muslim yang turut menunggu bas di situ mencuri perhatian saya. Usia mereka kalau hendak saya tebak sekitar 5 hingga 7 tahun. Si abang beruniform sekolah dan si adik bercelana …

Bersambung…

Friday, December 21, 2007

Puisi ~ Umbi Setengah Abad

Umbi Setengah Abad
Oleh Nurhumaira Mukhtar


Tulip segar tanpa harum
tapi
mawar layu hilang wangi.

Mentari di tengah langit
panasnya tidak.
Bulan di celah awan
sinarnya perak.

Unggas riuh bersahut.
Kodok diam tak berkutik.

Alam cukup sempurna
tetap ada kurangnya. Sama
macam manusia. Macam
kita dan
alam.

Tiada yang menongkat
langit walau sudah
berumbi
setengah abad!

Anual Dinner Kami

Salam Aidil Adha buat semua umat Islam yang singgah ke blog saya ini.

Aidil Adha ini adalah perayaan terakhir sebelum Pilihanraya Umum Malaysia yang dijangkakan awal tahun depan. Gerak kerja di semua peringkat baik Be End mahupun Barisan Alternatif sudah pun bermula.

Dan kami di Kawasan Tambun juga akan meneruskan gerak kerja yang sudah diamanahkan. Semua ahli Pas Kawasan Tambun yang masih belum mendapatkan tiket untuk Jamuan Makan Malam Pas Kawasan Tambun ini sila hubungi Ketua Cawangan masing-masing. Annual Dinner ini bakal berlangsung pada 27 Disember ini. Untuk berita lanjut, sila Baca di sini.

~*~
saya mencadangkan supaya kita belek kritikan seni Faisal Tehrani tentang filem baru Anak Halal yang sedang dipromosikan di media dan ditayangkan serata tanahair.

Wednesday, December 12, 2007

Sejarah Sedang Berulang!

Sejarah tak pernah menipu. Sejarah berulang bukan dengan kehendaknya. Hamka pernah berkata, yang diertikan sebagai sejarah akan berulang bukanlah jalan ceritanya yang sama. Tetapi sikap manusia itu yang menyerupai tingkah laku manusia di zaman silam.
Zaman jahiliah contohnya. Ia sudah beratus abad berlalu. Tetapi perangai dan cara hidup mereka masih ada hingga hari ini. Dan nyata, sejarah tak menipu!
Saya terkenang Ops Lalang yang berlaku puluhan tahun lepas. Semasa isu Hindraf sangat digemburkan dalam media arus perdana milik Be End, hati saya terdetik, kalau isu ini akan jadi platform untuk mereka menangkap pimpinan Bersih. Himpunan Hindraf hanya selang 2 minggu dari Himpunan Aman 100 000 rakyat pada 10 November lalu!
Nyata tekaan saya tepat.
TV3 saban malam menyiarkan isu Hindraf menerusi Buletin Utamanya hingga timbul soal menggunakan kekerasan dan ISA bagi mengatasi masalah ini.
Dan selang beberapa hari kemudian, Tn Hj Muhammad SAbu dan Tian Chua ditangkap.
Semasa pulang dari menghadiri majlis perkahwinan anaknya sendiri di Ipoh ini, Muhammad Sabu ditahan polis di jalan berdekatan Ipoh Sunway City. Ditahan hampir 3 jam di tepi jalan, dan selama tempoh itu, polis tidak menyatakan sebab tangkapan dibuat dengan jelas. Ini sangat memalukan!
~*~
Imej PDRM memang sangat tecemar kebelakangan ini. Zam terpaksa berhempas pulas mencari formula bagaimana menaikkan nama PDRM semula supaya rakyat benar-benar yakin dengan kerajaan Be End pimpinan Pak Lah.
Justeru, melambaklah rancangan berunsurkan cerita polis disiarkan di kaca TV. Terpaksalah Jackie Chan beraksi 3 malam berturut-turut sebagai polis dalam Police Story 1, 2 dan 3 di RTM 2. Tak cukup dengan itu, TV3 pula menyelongkar kembali rak cd-nya untuk menayangkan Gerak Khas the Movie 1 dan 2.
Tujuannya, supaya rakyat rasa berterima kasih pada polis dan mengenang jasa mereka menjaga keselamatan negara. Terima kasih polis!
Saya dan rakyat lain bukan marahkan anggota polis biasa yang duduk di bawah Pak Lah ni. Tapi ... isu PDRM ini banyak rujukannya. Sendiri bacalah!

Friday, December 07, 2007

Puisi Lagi

Lari ke Langit Tuhan
Oleh Nurhumaira Mukhtar

Semakin berlari atas dunia ini
Semakin aku lelah.

Lagi kencang larianku
Lagi aku tercungap-cungap.

Tiba di satu titik
Aku berhenti
Sengaja.

Biar dari situ
Aku ke langit tinggi
Menuju cinta Tuhan.

Wednesday, November 28, 2007

Kembali Bercanda

"Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia supaya manusia selalu ingat."- (Surah Ibrahim: 24-25)

Salam pertemuan lagi. Dua bulan saya berpisah dengan gelanggang maya ini, hati saya dirajut rindu. Demi Tuhan, saya sangat ingin menulis dan berkongsi rasa di lembah siber ini, namun halangan demi halangan menyengajakan saya melupakan niat di hati.

Hari ini, 28 November 2007, saya diizinkan Allah untuk bertemu muka di teratak sahmura ini. Kepada kalian yang tak jemu-jemu menjenguk saya, menanti khabar, terima kasih. Kalian mengharukan saya.

Saya ingin bercerita panjang, tetapi masa sangat menghambat. Cukuplah kalau saya coretkan bahawa saya dan keluarga sihat-sihat sahaja dan saya masih mengintai peluang kerjaya.

Sebelum saya menyudahkan ayat-ayat terakhir, saya benar-benar ingin mengucapkan terima kasih tak terhingga pada sahabat-sahabat yang mendoa dan mendorong kejayaan saya selama menjadi musafir ilmu di Wadi Nil (2000-2007). Ternyata doa kalian sudah Allah makbulkan. Dan saya terus mendoakan kalian, moga kejayaan ini dapat dikongsi.

Paling penting, saya mengharapkan kejayaan ini dapat saya manfaatkan untuk dunia dan akhirat, serta bukan kerana mengisi kantung harta sendiri. Saya mohon Allah bimbing saya supaya tidak menjadi hamba-Nya yang makan wang, tetapi di kalangan mereka yang menerima rezeki dan Allah reda.

Ya Allah, Engkau Maha Tahu betapa bukan mudah untuk menjadi hamba-Mu yang meletakkan taqwa teratas dalam menghala matlamat hidup. Tapi pilihlah aku di kalangan yang sedikit itu. Aku mohon Engkau berikan aku kekuatan tatkala Engkau menguji aku dengan kesempitan dan kesenangan. Amin ..

Salam interaksi maya, moga ketemu lagi.

Monday, October 01, 2007

Dari Hati Seorang Kakak - pesan buat adik

Di Kampung Ilmu
Oleh Suzana Mohamed Ali

Adik-adikku,
jalan yang kau pilih ini
kembaranya maha panjang
terentang dan sangat berjarak
berduri dan amat berliku
sangat sedikit yang utuh, sedang
ramai yang gugur, rebah.

Adik-adikku,
hari ini kita berkampung
menebas lalang mazmumah
membakar tunggul jahil dungu
merumput duri leka terpana.

Kita berkampung menyemai
benih nasuha
merumpun azam di jelapang ilmu
merimbun ukhuwah
jangan pongah di kepuk lalai
menyusun pengalaman di batas masa.

Adik-adikku,
kalau leka, kau akan mati
dalam lautan penuh sahmura
dari nubari pewaris Nabi.

Kalau lena, kau akan haus
dalam rekahan fatamorgana
sedang yang lain meneguk madu
lantaran berdagang
mahukan janji Allah.

Berjanjilah adik-adikku,
hingga buana ini redup dengan rahmat
kerana ummah sepakat memacak Islam
berdaulat, kau tak akan berhenti melangkah!

Kalau tidak di kampung ini,
tapi di sana
kembara lagi rentas masa dan zaman
menuai semai ilmu,
biar subur lagi serata alam.

Adik-adikku,
esok, aku terpaksa pergi, kembara
ini bukan ditinggalkan
perpisahan itulah permulaan
mula nan tiada akhir kecuali
akhirat mengganti.

Kerana kita hanya antara dua
langkah,
hidup mulia atau mati
kerana-Nya.

Sunday, September 23, 2007

Wednesday, September 12, 2007


Have nothing to say.
Cuma nak
leave these links and all of us, please read it.
Artikel [1]
Artikel [2]
Artikel [3]
Artikel [4]
Artikel [5]

Artikel [6]
Malaysia ini negara apa sebenarnya, ya? Demokrasi atau apa?

Amerika yang jadi kiblat kamu barangkali tak setenat ini tubuh demokrasinya!


Ya Allah, kami letakkan Engkau di batang leher musuh kami dan kami mohon dijauhkan dari segala kejahatan mereka!

Mereka yang masih ada akal, ayuh perkasakan Qunut Nazilah. Jangan pernah kalian ragu keajaiban doa, walau sekali. Angkat tangan kalian! Tadah! Dan berdoalah!