Wednesday, February 14, 2007

Jom Telaah Kutaib

Dr. Abdullah Nasih 'Ulwan dalam buku kecilnya bertajuk Ila Wirasatil Anbiya' wa Du'at IlaLlah ada menyentuh tentang an-Nasr (kemenangan).

Kata beliau, kemenangan dan bantuan Allah itu bukan kerana doa. Tetapi kemenangan dan bantuan Allah itu hadir kerana jihad dan istimrar yang kita cagarkan.

Ulasan Saya :
Segala milik Allah amatlah mahal. Allah memang berkira dalam meminjamkan miliknya pada sesiapa. Bukan salah apabila Allah bersikap demikian kerana Dia Maha Menjadikan. Dia berikan pada sesiapa yang Dia sendiri tentukan. Dia yang putuskan untuk memberi atau tidak. Tanpa perlu rundingan dengan sesiapa juga.

Dan memang tidak pernah cukup hanya dengan doa untuk mendapatkan sesuatu. Analogi ringkas supaya mudah difahami, dalam satu urusan yang melibatkan pihak atasan, pastilah surat permohonan peruntukan sahaja tidak memadai.

Biasanya pihak berkuasa bakal tidak melayani permohonan yang begitu-begitu tanpa ada usaha keras untuk mendapatkannya. Ini satu tamsilan (mungkin kurang tepat) supaya kita jelas tentang perkara ini.

Andai dengan manusia pun begitu, Allah Yang Maha Memberi mesti lebih dari itu. Dia berhak begitu.

Dalam soal mengharapkan bantuan Allah dalam urusan yang lebih besar, seperti dakwah ini; sewajarnya kita tidak hanya menadah tangan mengharapkan segalanya dituntaskan dengan keajaiban doa.

Cuba fikirkan - kalaulah urusan sebegini getir bisa terbantu hanya dengan doa, apalah ertinya Allah menjanjikan syurga bagi sesiapa yang menjualkan diri dan hartanya demi kembara dakwah ini?

Syurga bukan sebarangan untuk dimiliki semudahnya, bukan?

Justeru, dakwah ini tabiatnya memerlukan jihad. Jihad dalam makna yang luas dan praktikal. Jejak semula penerangan jihad yang dicatatkan oleh Ustaz Said Hawwa dalam bukunya bertajuk Jundullah; Thaqafatan wa Akhlaqan.

Jihad ini prospeknya teramatlah luas. Sama juga dengan dakwah. Ia fleksibel dan sentiasa relevan.

Hari ini kita seakan dapat melihat bayang-bayang kemenangan yang menghampiri. Ini bukan ertinya kita sudah boleh duduk diam berdoa menunggu kemenangan ini melutut di kaki kita.

Lagi dekat kemenangan Islam, lagi banyak dugaan yang akan merentang jalan dari kemenangan iu tiba. Ertinya lebih ramai yang akan mencemburuinya dan berusaha menjauhkan kemenangan itu dari terealisasi.

Justeru, jihad perlu iltizam dan konsisten.

Silapnya sebahagian kita, dengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan. Baru nampak bayang, kita sudah bersorak ria. Sedangkan sebaiknya kita berusaha sungguh lebih gigih dari sebelumnya supaya kemenangan itu benar-benar tiba.

Mudah-mudahan kita tidak terus terleka.

Saya memetik kalam Dr. Majdi al-Hilali dari kitabnya Risalah Min Ghariq;
"saya tidak melihat orang lain yang lebih memerlukan nasihat dan taujihat ini lebih dari diri saya sendiri yang beramal kurang lagi bertimbun dosanya. Diri saya yang tiada daya lagi upaya melainkan dengan izin Allah".

Moga ulasan secebis ini menyuntik semangat kita untuk meneruskan perjuangan dan kekal thabat serta istiqamah, hingga kita benar-benar layak menerima kemenangan dan bantuan Allah ~ Nasrun minaLlah wa fathun qarib.

Amin.
Wabillahi at-Tawfiq.

dari hati Seri

Sunday, February 11, 2007

DIA yang diidamkan

Dia …
Menghiburkan dirinya dengan kalamullah
Merasa manis dengan zikrullah
Meneruskan perjuangan Rasulullah
Cintakan sunnah Kekasih Allah
Gagah menangkis mehnah
Di akhir zaman yang penuh fitnah.

Dialah …
Membentangkan aku permaidani muhasabah
Kata-katanya adalah tazkirah
Senyumannya adalah nasihah
Telunjuknya adalah arah
Agar tetaplah aku dalam haibah
Di atas landasan Islam yang indah
Hingga kering titisan darah.

Dia …
Yang tidak pernah terpesona di atas buaian dunia
Kerana dia mengimpikan syurga
Itulah mahligai idamannya
Dan dia ingin membawaku bersamanya
Ke sana

Dan dialah …
Lelaki idamanku.


dari hati Seri

warkah dari diri yang lemas

Sebuah kitab kecil bertajuk "Risalah Min Ghariq" karangan Dr Majdi al-Hilali sempat saya diskusikan beberapa malam lepas. Saya amat terkesan dengan tulisan tersebut.

Bertemakan mahu menyelamatkan manusia yang dianggap sebagai adik beradik sendiri dari lemas dalam lautan dunia yang menipu, Dr Majdi berjaya menjadikan jutaan pembaca seolah-olah terperangkap, hampir lemas dan mahu diselamatkan.

Saya juga merasakan saya masih lemas dan nyaris tenggelam. Saya mahu diselamatkan.

Rawatan yang perlu saya terima ialah memendekkan angan-angan dan memperbaiki tawakal kepada Allah. Dua rawatan ini sudah memadai untuk menyelamatkan nyawa saya (buat masa ini).

RAWATAN PERTAMA - Qasru al-Amal
Saya mahu berhati-hati tapi bukan menyingkirkan perancangan masa depan. Tetapi supaya saya sentiasa ingat bahawa mati sentiasa mengintai tanpa saya sedar.

RAWATAN KEDUA - Husnu Tawakal 'AlaLlah
Keputusan hidup mati makan minum saya di genggaman Allah. Tapi saya mesti berusaha. Bukan duduk terngadah menanti takdir berubah. Dan bukan juga saya meraung meratap menangisi takdir yang Allah anugerahkan pada saya yang saya rasa tidak cocok dengan kehendak dan permintaan saya. Saya hamba dan Dia Tuhan saya.

Jika saya percaya segalanya dari Dia, tidak akan ada satu pun yang perlu saya sungutkan apa lagi untuk saya resahkan.


dari hati Seri

Sesuatu tentang DOA

Sebagai orang yang beriman, kita harus yakin bahawa hal-hal yang dianggap baik oleh kita, belum tentu baik pula menurut Allah SWT. Oleh kerana itu, pengabulan doa ini ada beberapa kemungkinan.
  • Dikabulkan sesuai dengan permintaan dan doa kita
  • Dikabulkan hal-hal yang serupa atau setara dengan apa yang kita minta dalam doa kita
  • Dihindarkan kita dari sesuatu yang bahaya atau malang, yang sepatutnya menimpa kita
  • Diampuni dosa-dosa kita, sebagai pahala dari doa
  • Ditunda pengabulan doa kerana tidak baik bagi kita jika dimakbulkan (pada masa itu ke suatu masa lain)
  • Doa itu tetap akan dimakbulkan di akhirat

dari hati Seri

Friday, February 09, 2007

SALAM DARI TANAHAIR

Tulisan ini saya jumpa dalam folder sahabat saya. Sahabat ini cadangnya menyiarkan tulisan ini dalam Suara Hewi. Namun, tidak berkesempatan. Demi terbacakannya, saya rasa elok saya kongsikan bersama semua. Biar faedahnya membiak!
~~*~*~*~~

Assalamualaikum wbt

Sudah menjejak sebulan setengah saya berkampung di tanahair, hati saya sedikit dijentik jemu. Namun untuk pulang meneruskan kelana di bumi sahrawi, jiwa saya masih belum sudi. Biarlah dulu ...

Menjenguk umat kita di bumi sendiri menyesakkan dada. Tidak cukup dengan wabak sosial yang parah, dibarahkan pula dengan kegiatan Mat Rempit yang menggila, sehingga masyarakat takut untuk keluar rumah meneruskan aktiviti harian.

Dalam masa yang sama, negara berbesar hari menghantar ribuan rakyatnya menadah ilmu ke luar negara dengan hasrat inilah generasi yang bakal menjadi pelapis pimpinan masyarakat dan negara. Universiti al-Azhar tidak terlepas dari menerima anak-anak Malaysia saban tahun untuk menuntut ilmu.

Sayangnya, anak-anak muda yang digalaskan dengan aspirasi perdana ini gagal melangsaikan amanah tersebut. Di al-Azhar misalnya, mahasiswa sudah makin hilang identiti ulamanya.

Tidak keterlaluan dikatakan, hampir semua anak-anak watan yang datang ke bumi sahara ini tidak berjaya melekangkan karat jahil dari diri sendiri dan paling menyedihkan mereka tidak bersedia menghirup atmosfera solehah guna menghidupkan neuron-neuron taqwa supaya dapat hidup sebagai diri.

Mahasiswi, secara rambangnya sudah hilang malu. Saya masih ingat ketika kali pertama menjejakkan kaki ke bumi Mesir, kami dididik untuk menjaga pergaulan dan adab sekaligus menjulang bangsa Malaysia sebagai dagang yang tahu diri.

Hari ini, saya tidak melihatnya lagi. Adik-adik saya yang hadir dengan hasrat mahu menyembah ilmu di riba para ulama ini sudah tidak malu-malu memurahkan harga diri pada adam ajnabi.

Budaya sms, chatting, missed call dan segala yang berkaitan salah guna teknologi sudah jadi lumrah dan hampir sinonim dengan mahasiswi Malaysia di al-Azhar. Kenapa jadi sebegitu murah?

Sering kita dondangkan kalimat "wanita diciptakan dari rusuk adam, bukan dari kepala untuk diagung-agung, bukan dari kaki untuk diinjak-injak". Hakikatnya tidak sebegitu! Hawa di sini tegar membiarkan diri sendiri dipijak oleh lelaki dengan rela hati. Menjaja hati di jalanan ...

Dulu memang Adam di sini mencabar kita kerana tidak berketrampilan dalam menangani polemik. Hari ini segalanya berubah total. Hawa terkehadapan dan dikenali sejagat Mesir. Tetapi bukan berbekalkan imej yang molek. Sungguh maruah hawa di darjat terpencil!

Sidang pembaca yang dihormati,
Adam menyanyikan hajat mereka mendambakan insan srikandi semulus akhlak Saidatina Aishah, namun kita tidak menepati pakej yang diingini. Lalu, layakkah kita merindui kasih pewaris kekasih Allah ..? Jawapannya ada dalam iman kita, tanyalah!


Saya yang jauh,
Suzana Mohamed Ali
(Ketua Pengarang Suara Hewi)
Malaysia - 20 Ramadhan 1427

~~*~*~*~~
dari hati Seri

Wednesday, February 07, 2007

Bila kena jadi motivator

Bukan semua manusia berbakat dalam memberi stimulus di khalayak. Tetapi bukan juga bermakna kita tidak boleh mencuba. Yang penting mesti ada keinginan untuk mencuba. Sebab, memberi nasihat ini tuntutan Islam.

Sekalipun kita pandai berucap di hadapan umum, kalau
tidak kena gayanya, khalayak hanya mendengar tanpa dapat apa-apa input untuk diterjemahkan sebagai ilmu dan diamalkan. Rugi, bukan?

Saya sekadar mahu berkongsi tips ini dengan semua. Saya tulis berdasarkan pengalaman saya. Jom kita baca!

(A) Untuk Penyampai
1. Mesti merendah diri. Kita tak punya apa-apa, kecuali yang Allah pinjamkan. Hadis Qudsi ada merakamkan perkara ini, “wahai manusia, sesungguhnya kamu itu lapar, dan AKU lah yang memberi kamu makanan. Kamu semua adalah tidak berpakaian, kecuali AKU lah yang memakaikan kamu….” Kita tidak rugi apapun jika merendah diri. Bahkan Allah akan memuliakan kita di hati para hamba-Nya, jika kita merendah diri.
2. Bercakap dengan bahasa yang setara dengan tahap pemikiran audien. Bahasa yang digunakan mesti mudah, difahami dan sesuai. Kadang-kadang ada penyampai yang ‘syok sendiri’ dengan bahasa dan istilah bombastic tetapi pendengar hanya menganga J.
3. Katakan perkara yang benar dan berdasarkan ilmu atau pemerhatian (pengalaman). Elakkan bercakap perkara yang meragukan dan boleh menimbulkan konflik atau salah faham. Memberi motivasi bermakna mahu menaikkan prestasi dan potensi orang lain agar sama berjaya seperti kita atau lebih baik dari kita. Gossip bukan makanan minda dan potensi diri tidak memerlukannya.
4. Menarik hati dan tumpuan audien. Dengan idea yang bagus, penyampaian yang berisi, pemilihan diksi yang tepat dengan makna.

(B) Antara ilmu Bantu untuk dikongsi
Motivasi Sempena Peperiksaan
· Belajar kerana Allah SWT. Belajar kerana mahu mengenal siapa Allah, siapa kita, kenapa kita ada dsb. Belajar kerana mahu mengeluarkan diri dari kejahilan.
· Belajar adalah kemestian. Umat Islam mesti cemerlang dan sentiasa cemerlang. Cemerlang mesti dengan ilmu.
· Belajar kerana mahu mentadbir kembali alam ini dengan kehendak Allah.
· Mesti yakin dan faham, bahawa ilmu ini semuanya milik Allah. Ia dating dari Allah. Ilmu yang kita ada, langsung seperti tiada jika dibandingkan dengan luasnya ilmu Allah.

Motivasi Kepimpinan
Pemimpin tidak lahir dari mereka yang berpeluk tubuh mengarah itu ini.
Pemimpin adalah hamba.
Pemimpin bukan perdagangan. Tapi satu perjanjian dengan Allah, bahawa kita adalah duta-Nya untuk memudahkan urusan hamba-hamba-Nya.
Pemimpin mesti jelas dengan matlamat. Tahu prinsip, yakin dengan keputusan yang diambil. Tidak mengenepikan pandangan mereka yang berpengalaman sekalipun bukan dari kepemimpinan.
~o~o~o~
Aduh! Penat saya. Lain kali saya menulis lagi. Moga n3 kali ini jadi permulaan untuk saya melangkah lebih jauh dalam dunia penulisan. Masih ramai yang menanti sentuhan air tangan saya untuk dibaca. Buat mereka, sabar ye. Saya sedang usahakan! Teruskan berdoa untuk saya.
dari hati Seri

Monday, February 05, 2007

untuk ADAM


dari hati Seri