Saturday, April 07, 2007

Mak berpesan lagi …


Mak hantar sms pada saya, dengan satu pesanan yang memaksa akal saya fikirkan.

“Batu permata tidak akan tergilap tanpa geseran. Begitu juga manusia. Tiada kehidupan yang sempurna tanpa percubaan.”
Saya masih memikirkan makna terselit di sebalik kata-kata hikmah yang Mak kirimkan melalui sms itu. Ada yang mahu Mak katakan pada saya. Tapi apa dia?

Friday, April 06, 2007

Suka pantun ...

PANTUN dalam lagu.

Ini memang antara kegemaran saya. Diksi dalam pantun sangat indah dan teratur. Saya mengagumi kehalusan bahasa ibunda terutamanya dalam laras begini ...

Berdendang hamba nak berdendang
Hai sepantun kitalah bersama
Sama rentak gendang bertingkah
Tapi tak sama alun suara

Berdendang hamba nak berdendang
Hai senandung nak dara merindu
Alun hamba sekadar lalu
Tidak sedikit menyentuh di hati

Mana kasih sehangat mentari
Mana cinta yang semanis dulu
Mana janji bak tersimpul tali
Mana budi yang sebaik laku

Jauh hamba rindu hambalah dirindu tuan
Bila dekat mengapa diam sahaja
Kalau sudah dibenci hamba dibenci tuan
Lagu berkasih cinta terpilih
Layu pagi seruas jari

Berdendang hamba nak berdendang
Hai sepantun kasih tak sudah
Mengenang bukanlah mengenang
Ingin mencari di mana silapnya

Thursday, April 05, 2007

Maulid Ar-Rasul




MAULIDURRASUL
12 Rabiul Awwal saban tahun, kita terpanggil mengingati tarikh bersejarah ini. Tapi, hanya untuk dikenang2 sahajakah? Kerana untuk dikenangkah Baginda dilahirkan?


Allahumma solli 'ala saidina Muhammad wa 'ala alihi wa sahbihi ajma'in

Dedikasi Hari Lahir Mak




Mak memang seorang yang sangat istimewa dalam hidup saya, ayah dan adik-adik. Kalau orang lain, mungkin menjadikan insan lain sebagai idola, tapi bagi saya, Mak dan Ayah adalah inspirasi utama.

Bercerita tentang Mak membuatkan hati saya segar dengan rindu dan aspirasi. Mak menjadikan saya rasa dihargai dan diperlukan.

Satu kisah yang paling saya tak akan lupakan langsung tentang Mak ~ semangat dan tawakal yang total dalam lestari perjuangan.

Mak saya kakitangan kerajaan, sejak lebih kurang 30 tahun lalu. Penglibatan Mak dalam gerakan Islam memang diketahui oleh pihak atasan. Dek kerana itu, Mak dipanggil oleh ketuanya.

Di bilik Tuan ****, sebaik sahaja Mak melangkah masuk, Tuan **** mengucapkan tahniah dengan senyuman. Kemudian si tuan tadi menyambung kalamnya dengan memberikan Mak saya pilihan, ditukarkan ke cawangan lain atau letak jawatan dalam Parti.

Jawapan Mak saya ringkas. "Tuan, kalau rezeki saya di tangan Tuan, buatlah. Tapi kalau rezeki saya di tangan Tuhan, belum tentu lagi."

Tuan **** diam. Mak keluar dari bilik tersebut. Hingga hari ini, Mak saya masih bekerja di situ dan telah menerima Anugerah Khidmat Cemerlang.

Ini cerita biasa. Tapi bagi saya sangat luar biasa. Kerana Mak cuma orang biasa. Tanpa pernah mendapat pendidikan agama secara formal, tapi kecekalan Mak membela agama Tauhid yang dibenci oleh segala tuan ini amat luar biasa.

Saya malu kalau saya tewas pada Mak dan Ayah. Mereka sangat luar biasa bagus dan hebat.

Mak, hanya Allah yang layak menganugerahkan Mak segala kebaikan dunia dan akhirat. Ampunkan anakmu ini.

Mak, sesungguhnya, kami sangat menyayangi Mak...

Tuesday, April 03, 2007

Antara Aqidah dan Riddah

Oleh Nurhumaira Mukhtar


PRAKATA
Dengan Nama Allah, saya menulis dan membaca. Dengan bimbingan Rasulullah SAW, saya meneruskan kehidupan hingga saya dibangkitkan.


PERTAMA
Manusia sejak awal kewujudannya di muka bumi ini lagi sudah mengimani wujudnya tuhan yang mentadbir alam sejagat ini. Sepanjang perjalanan sejarah, manusia sentiasa mencari siapakah tuhan itu. Socrates dalam falsafah di zamannya menyakini bahawa alam ini ada pencipta, tetapi beliau gagal menemui siapakah ‘pencipta’ yang dimaksudkan.

Justeru, jika dibelek lagi lipatan sejarah, kita akan dapati manusia zaman lampau telah melalui proses panjang dalam mencari tuhan dan hakikat ketuhanan. Manusia dalam tamadun awal, misalnya, mengamalkan kepercayaan polytheistic atau banyak Tuhan.

Wujud juga selepas itu kepercayaan yang mengatakan alam ini tercipta secara tiba-tiba dan mengejut. Dalam kata lain, kepercayaan ini menafikan kewujudan tuhan di sebalik penciptaan. Istilah hari ini mengklasifikasikan mereka dengan nama atheist.

Sejarah panjang pencarian itu akhirnya menemui jawapan, dengan kedatangan Islam. Islam memperkenalkan manusia sejagat kepada Tuhan yang mereka cari-cari selama ini. Islam mengajarkan manusia seantero alam hakikat Tuhan Yang Esa. Dia tunggal dan Maha Berkuasa hingga tidak memerlukan sesiapa pun untuk mewujudkan-Nya. Maha Suci Allah dari segala sifat hamba dan makhluk.

Puaka kegelapan minda manusia yang teraba-raba mencari sesuatu untuk dipegang dan diyakini tanpa ragu telah diterang suluhkan oleh Islam.

Penemuan ini merupakan kejutan bagi mereka yang mengimani poly tuhan. Ia juga menjadi kegemparan bagi mereka yang mengingkari kewujudan tuhan. Lantaran itu, penerimaan mereka terhadap kenyataan baru ini berbeza dan berbagai-bagai.

Ada yang percaya dan terus meyakininya. Ada yang bertambah sesat dan berpaling dari kebenaran ini. Ada yang masih berpegang dengan kepercayaan tinggalan nenek moyang mereka turun temurun.


KEDUA
Islam ke tanah Melayu bukanlah suatu perkara baru dalam pengetahuan kita. Sejarah menceritakan kepada kita bahawa pedagang-pedagang Arab telah sampai ke kepulauan Melayu di terutamanya di zaman kesultanan Melayu Melaka.

Hakikatnya, padagang Arab tersebut bukanlah sembarangan utusan hingga mampu mengislamkan Sultan Melaka dan sejumlah besar rakyat ketika itu. Pastilah mereka da’ie ilallah yang diutus oleh Kerajaan Uthmaniah untuk menyebarkan ajaran Tauhid ini ke serata dunia!

Dan sudah pasti jugalah mereka bukan sekadar membiarkan umat yang mereka ajarkan kalimah Tauhid ini hanya sekadar fasih mengucapkan kalimah lailaha illallah. Jika sekadar itu sahaja peranan mereka, masakan berdirinya hukum Islam dalam perlembagaan Melaka, Terengganu, Perak, Acheh, Perlak dan beberapa negeri lagi di peta lama Kepulauan Melayu.

Pastilah juga bukan perkara mudah bagi pemerintah negeri-negeri tersebut untuk melaksanakan hukuman Islam apabila jiwa rakyatnya sedikit pun tidak memahami dan menghayati falsafah kanun yang mereka wartakan. Nyata, rakyat Melayu ketika itu benar-benar mengenal Islam hingga rela hati mendaulatkan syariat Allah tanpa berbantah-bantah.

Maka, dek kerana megahnya mereka mempertahan dan meninggikan kalimah Allah itulah Barat dari segenap penjuru berlumba-lumba datang berlabuh ke perairan Melayu ini, berkapal-kapal perang.

Seisi kapal yang datang dari penjuru berbeza (Belanda, Portugis, Inggeris) mengisytiharkan pendirian yang sama ~ mahu mendagangkan rempah dari Timur ke pasaran Barat. Menurut mereka, masyarakat di barat di masa itu sudah terliur sangat untuk merasa rempah dari Timur. Terpukau pula orang Melayu ketika itu, dipuji keenakan menu Melayu.

Rempah tidak pernah sampai ke Barat, tetapi dahat bertaburan di serata alam Melayu. Itulah keuntungan perdagangan antarabangsa lalu.


KETIGA
Kisah Satu: Seorang anak dilahirkan dari rahim ibu Muslimah dan di’bin’kan pada ayahnya Muslim. Menjejak usianya dua dekad, dia mula gusar memikirkan payahnya menjadi Muslim lantaran terpaksa itu ini dan terhalang begitu begini.

Dia, lalu nekad mahu meringankan beban hidupnya dan memilih untuk hidup bebas dalam agama dahat. Baginya mudah sangat untuk memahami ketuhanan Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Suci sebagai Tuhan Yang Satu. Lagi pula, tuhan di dahat itu sangat memahami. Tidak mengongkong itu ini. Bebas.

Dan dia rela mengimaninya. Dia rela hilang ibu dan ayahnya, demi Tuhan yang lebih memahaminya.

Kisah Dua: Seorang manusia yang penuh dengan kemanusiaannya mendabik dada menyatakan imannya berulang-ulang di khalayak umum. Iya, dia dipercayai.

Dia mengajarkan kepada manusia umumnya betapa Islam ini sangat fleksibel dan relevan. Islam ini boleh diubah-ubah mengikut zaman dan kemampuan. Islam ini sangat memudahkan dan bukan menyusahkan. Islam ini yang di hati bukan yang dizahirkan. Kata-katanya didengari.

Dia bercerita lagi, Islam hari ini tidak perlu berlebih-lebih. Jika terlebih-lebih, kita bimbang akan dikatakan lebih Islam dari Arab yang merupakan bangsa Nabi. Maka, kita harus bersikap wasatiah.

Tambah pula dibimbangi Barat akan mengecam kita, jika kita dilihat Muslim secara total. Dan kata-katanya ini juga diiyakan.

Kisah Tiga: Sebagai Muslim, kita diajar untuk tidak menunjuk-nunjuk. Itu riya’ dan ia adalah syirik yang paling besar. Selagi kita tahu apa yang kita lakukan tidak bersalahan dari undang-undang, maka kita bebas berbuat apa sahaja. Islam mengiktirafkan kebebasan individu.

Tidak perlu kita mempamerkan Islam kita. Kerana ini menyalahi disiplin masyarakat dan ia termasuk dalam perkara syirik yang Allah benci. Bukankah Muslim itu perlu tawaduk?


PENUTUP
Islam adalah aqidah yang sangat padu. Aqidah ertinya pegangan atau simpulan. Dek kerana teguhnya ajaran tauhid inilah, maka ia tetap wujud dan survive sekalipun umatnya bermacam-macam corak pemikiran.

Sesungguhnya amat benarlah, Islam ini adalah milik Allah. Sedikit pun Islam tidak memerlukan umat seperti kita (jika kita kufur dalam iman) untuk terus menerangi bumi ini. Islam ini ada pemiliknya. Dan cukuplah Allah sahaja sebagai pemelihara aqidah ini.

Soalan yang wajib kita Tanya diri kita, siapakah kita jika Allah buang kita dari menjadi hamba-Nya? Siapakah kita jika bukan Islam menjadi aqidah kita? Adakah Islam akan lenyap dari dunia ini jika kita berdiam diri menyepi dari dakwah? Adakah kita akan kembali mulia tanpa Islam sebagai aqidah?

Penulis meninggalkan sekalian pembaca dengan coretan terakhir berikut:


“(Setelah Nabi Soleh memberi amaran) lalu mereka mendustakannya serta menyembelih unta itu. Dengan sebab dosa mereka, maka Tuhan menimpakan mereka dengan azab yang membinasakan serta Ia meratakan azab itu meliputi mereka (sehingga punah-ranah semuanya). Dan Allah tidak hiraukan kesudahan (mereka) yang demikian, (kerana itu balasan yang adil)”
(Surah al-Syams: 14 dan 15)

“Oleh itu, janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan orang yang berpaling dari pengajaran Kami, dan tidak mahu melainkan kehidupan dunia semata-mata”
(An-Najm: 29)

Dan terakhirnya, saya petik kalam Saidina Umar al-Khattab RA:

“Kita adalah (satu) kaum yang Allah muliakan dengan Islam. (Kemudian) barangsiapa yang mencari kemuliaan selain dari yang telah Allah muliakan, maka Allah akan menghinanya”.

Antara aqidah dan riddah, pemisahnya sangat nyata jika kita mahu berfikir!

*Labels: Diterbitkan oleh buletin Seruan Dakwah Rumah Melayu Abbasiyah*

Sunday, April 01, 2007

i do


memang masa tak pernah minta dihargai.
tetapi kitalah yang mesti menghargainya.

masa adalah usia
~ ini pesan almarhum guru saya.
*al-Fatihah buat Allahyarham Ustaz Ramli*

... reminder ...

.. Happy Becoming Birthday ..

04~04 : Birthday Mak
05~04 : Birthday Adik
10~04 : Birthday Muna
23~04 : Birthday dia