Saturday, March 31, 2007

Semut dan Gula

Oleh Suzana Mohamed Ali

Setelah Allah memasyhurkan perkhabaran untuk menciptakan manusia sebagai gabenor-Nya di muka alam, Adam diajarkan dengan beberapa perkara asas ~ guna memudahkan tugas mentadbir bumi nanti. Inilah hikmah penciptaan Adam yang diragukan Malaikat sebelumnya. Maka, Adam dan seluruh zuriatnya mulia kerana ilmu.

Nabi Muhammad SAW, dalam ikhtila’ Baginda telah didatangi oleh duta Allah yang menyampaikan perutusan kenabian dan kerasulan Muhammad bin Abdullah SAW sebagai Rasul Allah yang Terakhir. Muqadimah pertemuan pertama itu, Baginda Nabi SAW diarahkan membaca, sedangkan Baginda seorang yang ummi. Sekali lagi ilmu telah memuliakan Bani Adam, sepelusuk jagatraya selaku khalifah Tuhan.

Dua kisah yang bukan mitos jauh lagi epik ini sudah teramat memadai untuk kita jadikan pasak untuk kita mengejar ilmu. Bukan kerana cinta dunia, bahkan demi mengatur tadbir bumi ini dengan syariat Yang Maha Satu.

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah …” (QS.3:110)
Kita biasa dan sering memerhatikan semut dan sedikit jalan hidupnya; gemar menghurung benda manis, kuat bekerjasama, sangat taat demi Sang Ratu. Hampir tidak ada yang tidak tahu ciri-ciri semut ini!

Namun, tidakkah kita akan rasa pelik andai suatu hari kita melihat semut sudah tidak lagi menggemari gula, tetapi mula menggilai pedasnya cili, masamnya jeruk, dan pahitnya petai? Pelik dan kita pasti menyangka si semut itu bakal mati ataupun ia bukan spesis semut sebenar, tetapi kacukan dengan serangga lain, mungkin. Atau jutaan lagi telahan kita.

Itu tafsiran kita pada si semut yang menyalahi fitrahnya; suka gula dan seangkatan rasanya. Tetapi apa pula tafsiran si semut, andainya mengetahui, manusia sudah menyanggahi fitrah ciptaannya – sudah mengentengkan tugas sebagai ‘gabenor’ Allah, sudah enggan memenuhi piala akal dengan ilmu, sudah kontang hati dari subur iman dan sudah hampir menyamai tata hidup makhluk bernafsu tanpa akal?

Alangkah peliknya, seorang hamba kepada Tuhan Maha Memiliki, sudah pandai-pandai mengubah yang hak kepada batil dan batil kepada hak sekehendak hatinya. Sedangkan kita hamba. Siapa kita di sisi-Nya sehingga sesedap rasa kita merubah arahan dan perintah-Nya yang kita rasa tidak cocok dengan nafsu kita? Hambakah kita?

Alangkah peliknya, seorang pemburu sudah tidak ada hati sedikit pun untuk memburu, sebaliknya ralit mengira butir bintang di jumantara malam. Sang pemburu ghalibnya hanya berbekal seadanya, tidakkah aneh andai hari ini sang pemburu bermewah-mewah dengan segala yang tidak perlu dalam kembara memburunya? Terlupakah dia, dia hanya berburu sehari dua dan akan pulang juga? Pemburukah itu jika lagaknya mahu menetap di kembaraannya?

Alangkah peliknya seorang HAMBA ALLAH, menamakan dirinya sebagai PENUNTUT ILMU, yang membaca kalimah Tuhannya:

“Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya). Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) fasik dan taqwanya. Sesungguhnya beruntunglah bagi mereka yang mensucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah mereka yang mengotorinya” (QS.91:7-10)

“Wahai sekalian yang beriman, janganlah kalian menuruti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan keji dan mungkar. Sekiranya tidak kerana kurnia Allah dan rahmatNya kepada kalian, nescaya tidak seorang pun dari kalian suci (dari perbuatan keji dan mungkar) selama-lamanya, tetapi Allah mensucikan sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Tahu”
(QS.24:21)
Namun, dia jugalah yang enggan meladeni tuntutan-Nya. Seakan-akan terlupa akan amaran Allah:

“Mengapa kamu menyuruh manusia lain mengerjakan kebaikan, sedangkan kamu melupakan dirimu (kewajipan) sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab. Mengapakah tidak kamu berfikir?” (QS.2:44)

Saban hari, manusia meneruskan jalan hidupnya, tanpa peduli masa yang lalu dan masa berlalu. Toleh juga silap-silap yang ditinggalkan selagi nur Taubat masih boleh kita usahakan agar akrab memesrai jiwa kusam kita.

Sang semut barangkali lebih taat menuruti ketetapan yang Allah tentukan untuk-Nya, kerana sang semut tahu, segala yang diberikan Allah adalah yang terbaik dan nanti akan dipersoalkan. Barangkali semut mengimani bahawa pena-pena telah mengering, lembaran-lembaran catatan ketentuan pun telah dilipat, dan semua perkara telah habis ditetapkan hingga semut sekali-kali tidak menyalahi fitrahnya, sekalipun ia tidak berakal.
Mengapa kita tidak sebegitu?

Ya Tuhan, jadikanlah aku hamba-Mu yang sebenar-benar hamba!

Friday, March 30, 2007

Pengumuman!

ADA beberapa perkara yang mahu saya umumkan. Khabar gembira yang mahu saya kongsi bersama.

PERTAMA
Mak dan Ayah saya ditawarkan menyertai kursus Haji dan sudah pun mula berkursus. Kata Mak, nama mereka bertiga, termasuk kakak Ayah disenaraikan dalam senarai menunggu Jemaah Haji hujung tahun ini.

Saya paling gembira mendapat berita ini. Memang sudah lama Mak dan Ayah mengumpul wang untuk menunaikan rukun Islam yang terakhir ini. Moga kali ini tiada lagi halangan. Insya Allah.

Moga Allah mudahkan segalanya. Dimurahkan rezeki yang halal. Dilapangkan segala kesulitan. Amin …

KEDUA
Teman sepermainan saya sejak kecil ~ jiran depan rumah saya, akan melangsungkan perkahwinannya esok, 31 Mac 2007. Majlis akadnya hari ini seusai asar.

Norazian Razali.
Selamat Pengantin Baru.


“Yan, tahniah dari kami. Kami doakan kebahagiaan kalian dunia dan akhirat. Maaf saya tidak dapat menghadirinya ~ walaupun Yan mengharapkan kehadiran saya. Saya wakilkan seluruh ahli keluarga saya sahaja. Ada rezeki, kita jumpa juga nanti.”

KETIGA
1 Mei ini merupakan anniversary Mak dan Ayah saya yang ke-31. Saya bercadang menghadiahkan mereka sesuatu. Tapi masih belum saya putuskan hadiahnya. Ada idea tak?

KEEMPAT
Sepupu saya, Kak Yong Ila akan melangsungkan perkahwinannya dengan Abang Ramli ~ orang Johor, pada 5 Mei ini. Kami bertiga sebaya. Bezanya, saya lahir 8 bulan selepas Kak Yong diputerikan. Sebab itu hubungan kami sangat akrab. Sehingga hari ini saya masih dipanggil Adik Na oleh Kak Yong.

Saya sedikit sedih, kerana tak berpeluang menghadiri dan menyaksikan majlis mereka. Sudahlah bertunang dulu pun saya hanya sempat menatap foto sahaja. Itupun selepas setahun berlalu.

Dan saya juga sedih, sebab lepas ini kami akan bertambah jauh. Saya pasti merindui kemesraan zaman kanak-kanak dan remaja kami.

"Kak Yong, Dik Na doakan kalian bahagia. Jangan lupa doakan kami."

KELIMA
Kakak saya, Nasuha sudah berpindah ke rumah sendiri. Kediaman mereka betul-betul di hadapan kawasan Madiwa lama.

Hari tu, ada juga Kakak khabarkan tentang si kecil Fiqah yang sudah tercapai impiannya untuk berkubang dalam parit depan rumah nenek sebelah abahnya di Bagan Serai. Kata kakak, Fiqah seronok benar tambah dengan lagaknya seperti sudah pandai berenang yang mencuit hati kakak saya.

*~*~*~*
Saya bercerita tentang kegembiraan orang. Saya mahu orang lain gembira dengan saya. Saya cuba buat everybody feel wanted.

Saya akui, terselit juga di sudut hati saya mengharapkan dengan membahagiakan orang lain, saya akan turut merasainya.

What you give you get back!

Thursday, March 29, 2007

dedikasi

... buat teman di hati,
Andak,
sekalipun zahir tak pernah lagi bersua,
doa untukmu tak pernah berhenti
apalagi putus.

Andak,
bukan ingatan yang kudamba
cukuplah
sebaris doa
untuk kita semua
ditetapkan iman di kembara
yang maha beranjau ...

*~o~0~o~*

juga saya bingkiskan buat dia saya ~ jangan jauh2. hati2 dengan api
(",)

Wednesday, March 28, 2007

Ulangtahun Ngah!

~ 27 Mac ~


Selamat Hari Ulangtahun Azrol!

Semoga bertambah bersedia menghadapi detik Allah menjemput kita mengadap.

b s u r s i c u s u r

Jaga diri. Jaga iman. Jaga Islam. Jaga Mak dan Ayah.

*Kak dan Abang sentiasa doakan kebaikan Ngah dan kita semua, dunia dan akhirat*

DAKWAH MELALUI PROGRAM REALITI TV


Oleh Nurhumaira Mukhtar

Menyentuh polemik ini, bererti kita turut membahaskan barah hedonisme yang membunuh jati diri Timur di kalangan rakyat Malaysia. Hedonisme merupakan satu pegangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan dalam hidup. Kepuasan nafsu menjadi keutamaan dan ukuran dalam menentukan pilihan.

Sebelum dunia mengamalkan dasar langit terbuka dan membuka sempadannya, budaya songsang ini hanya menjangkiti remaja dan belia sahaja. Tetapi, realiti hari ini lebih memedihkan apabila barah ini mewabak kepada segenap lapisan masyarakat termasuk warga emas.

Program Realiti TV Bukan Perkara Baru
Kebanjiran genre hiburan dari serata dunia melemaskan watan Malaysia. Bagai mengantuk disorong bantal, begitulah analogi yang mewakili bejatnya hedonisme ini yang diperkukuhkan letak diamnya dengan penyalahgunaan teknologi secara membuta tuli.

Namun, program realiti TV ini bukanlah perkara baru dalam budaya hiburan masyarakat kita di Malaysia. Dekad-dekad sebelum ini kita sudah diperkenalkan dengan Sinaran Pasport Kegemilangan, misalnya dan banyak lagi rancangan hiburan lain yang seumpamanya.

Budaya hiburan ini seakan-akan sudah sebati dalam darah daging masyarakat majmuk negara kita. Warisan sejarah sahaja sudah cukup membuktikan perkara ini. Malaysia memang dikenali dengan kepelbagaian budaya yang rata-ratanya berkaitan hiburan. Zapin, makyung, wayang kulit dan syair gurindam serta banyak lagi.


Konsep Program Realiti TV
Secara umum, program ini berbentuk pertandingan secara sihat untuk memenangi suatu ganjaran yang menjadi tema program. Penyertaan biasanya terbuka dan pemilihan peserta berdasarkan uji bakat atau temuduga.

(1) Menyerlah bakat dan populariti
· Program sebegini mendapat liputan meluas dan tajaan banyak pihak. Selain mencungkil bakat, menempa populariti dan menambah ramaikan jumlah mereka yang bergelar artis, program sebegini sebenarnya membudayakan gaya hidup bebas dengan aksi melampau yang seakan-akan bangga berkiblatkan Barat.

(2) Pengetahuan Am
· Berkisar tentang pengetahuan am dan semasa.
· Contoh : Akademi Al-Quran, The Apprentice, Oh Ayah Oh Ibu, Cari Menantu, rancangan dekorasi tajaan (tak ingat nama rancangan)
Dakwah Melalui Program Realiti TV
Islam sebenarnya lebih luas dari pemikiran manusia. Islam mencakupi perkara-perkara yang kadang-kadang manusia tidak terfikirkannya. Kerana Islam adalah penyelesaian dan Islam adalah kesempurnaan.

Justeru, dalam soal ini Islam menyeru supaya umatnya saling berdakwah. Bukan sekadar menyampaikan ilmu dan memperkenalkan Islam. Jauh dari itu, supaya Islam dilihat sebagai keperluan, dan bukan semata-mata kehendak.

Dakwah melalui program realiti TV ada kemungkinannya. Namun, jika dilihat dari realiti semasa, program sebegini rencat. Racun hedonisme sudah membunuh minat hampir seluruh masyarakat terhadap rancangan mendidik terutamanya yang berwajah Islam. Semacam ada satu kengerian yang diistilahkan sebagai Islamfobia.

Sungguhpun begitu, kita tidak boleh bersikap lepas tangan dari mewujudkan alternatif. Dakwah mempunyai banyak kaedah. Adakalanya Islam memerintahkan supaya kita bertahan dan adakalanya menyerang balas. Dalam konteks mendepani cabaran hedonisme ini, kita wajar menyediakan pilihan lain untuk masyarakat. Cara dan konsep kita wajib berdiri di atas ketentuan yang Allah syariatkan. Walaupun kita seakan-akan mengikut arus, sewajibnya matlamat kita sehala dengan yang Islam gariskan, tanpa perlu menggadaikan dasar-dasar Islam yang terpelihara.

Terlalu banyak perkara yang boleh kita kongsi bersama masyarakat dunia tentang Islam melalui media. Sayangnya, umat Islam yang berjati diri Muslim kurang kreatif mempelbagaikan method dakwah. Yang ada, Muslim yang tidak berjiwa Muslim dan tentulah hasil usahanya langsung tidak menepati kehendak Penciptanya.

Seperti yang dinyatakan, Islam lebih luas dari takat pemikiran manusia. Islam mempunyai norma dan metodologi berkaitan hiburan. Selama kita masih mematuhinya, kita bebas mengadaptasi semua kemajuan teknologi demi menjulang kepentingan Islam.

Metodologi Hiburan Menurut Islam
Islam membenarkan hiburan dalam erti kata yang luas. Islam tidak membiarkan umatnya lepas bebas berbuat apa sahaja untuk menghiburkan diri mereka. Ini perlu bagi memelihara hak sesama manusia dari diperlakukan sesuka hati. Manusia bebas berhibur tetapi tidak boleh menyulitkan manusia lain semata-mata kerana mahu memenuhi kehendak sendiri.

Islam membataskan hiburan dengan beberapa perkara. Antaranya :
1. Hiburan bukan memuja manusia melebihi Tuhannya. Ringkasnya, ia tidak melalaikan dari mengingati Allah
2. Memelihara batas pergaulan antara lelaki dan wanita. Dari sudut aurat, percampuran (interaksi), penggunaan peralatan dalam berhibur serta banyak lagi.
3. Mendahulukan yang wajib dari yang lainnya. Contohnya mendahulukan solat apabila masuk waktu dari berterusan berhibur.
4. Matlamat tidak menghalalkan cara. Ertinya tidak mencampur adukkan mungkar atas nama ihsan sesama manusia. Contohnya hiburan ditaja oleh mereka yang menghalalkan arak dan banyak lagi


Dr. Yusuf al-Qaradawi telah menyimpulkan tiga faktor yang menyebabkan sebahagian ulama agak berkeras dalam masalah hiburan, terutamanya yang melibatkan nyanyian. Sebab-sebab itu adalah seperti berikut :

1. Ulama mengambil sikap berhati-hati daripada berpegang dengan prinsip bermudah-mudah.
2. Terdapat sebahagian ulama berpegang dengan hadis-hadis daif dan tertipu dengan hadis-hadis palsu.
3. Kondisi dunia hiburan hari ini yang kebanyakannya tidak mengikut lunas-lunas yang dibenarkan oleh syara’ menyebabkan para ulama bertegas mengharamkannya kerana mahu memelihara kepentingan manusia sejagat.

Kesimpulan
Islam tidak datang memerangi fitrah manusia tetapi Islam hadir untuk memimpin dan menuntun fitrah agar ia tidak lari dan liar dari landasan Islam.

Realiti yang terpampang di hadapan kita hari ini jelas menginjak-injak peraturan yang Allah gubal. Tidaklah keterlaluan untuk menyifatkan bahawa rancangan realiti TV yang ada hari ini langsung tidak ada satu pun kebaikan untuk diterima pakai. Semuanya menjerumuskan manusia untuk bertuhankan nafsu.

Justeru, dakwah melalui program realiti TV yang berdasarkan kefahaman Islam amat diharapkan bagi menggantikan rancangan yang sedia ada. Perkara ini bukan mustahil. Sama tidak mustahilnya manusia menjejak bulan!

Penutup
Sudah tercatat dalam Protokol Hukama’ Yahudi untuk merosakkan umat Islam terutamanya dengan membiakkan virus hiburan dalam jiwa mereka. Dan ternyata usaha mereka berjaya. Hari ini, masyarakat Islam di Malaysia sudah dihipnosis dengan hedonisme. Seolah-olah mereka akan mati jika tiada hiburan.

Namun masih belum terlewat untuk menyelamatkan situasi runcing ini. Rawatannya cukup mudah. Kembali kepada Allah dan Rasul-Nya.

Wallahua’lam.
Wa billahi al-Tawfiq.


Rujukan :
1. Al-Quran, tafsir dan terjemahannya.
2. Monograf Andalus II (Tanta), terbitan Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta (DPMT) dengan izin terbit Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM.
3. Brutukulat Hukama’ Sohyuni ~ Protokol Zionis

Pedusi di Latar Sahara

Hati seorang pedusi
bergelar srikandi
tidak rebah walau lemah
tidak mengalah pada lelah
Bukan hidupnya mencipta alasan
Hatinya bukan di bibir
nuraninya mulus
bimbingan al-Quran
didikan as-Sunnah

Dia Aisyah
Dia Khadijah
Dia Sumaiyah
abad ini
hari ini

Dirinya bukan untuk sendiri
bahkan
demi umat yang menanti
untuk Islam hakiki

Dialah pedusi
yang gelar dirinya
nurhumaira mukhtar

Dia mahu
nirmala nama itu
jadi pedoman langkah
sepanjang kembara
dari latar sahara
hingga kembali
bertemu cintanya
~~~
Hakcipta terpelihara.
~~~
Saya meletakkan bait ini pada cover Transkripsi Sebuah Perjuangan Hewi PMRAM ~ IKHLAS '06

Monday, March 26, 2007

3 berita 1 hari

Ini berita sedih.

Semalam, 24 Mac 2007, nenda saudara saya sudah dijemput Allah untuk pulang ke sisi-Nya. Lewat tengah malam, saya terima pesanan ringkas dari Mak, memaklumkan berita ini. Malam tadi, saya tidur dalam kesedihan, sambil hati karib dengan doa, moga Allah ampunkan Nenda saya dan menempatkannya bersama solehin.

Pagi tadi, sahabat saya, Kak Dhya menerima khabar duka. Ayahandanya, Haji Zakaria Abdul Majid, telah kembali ke rahmatullah. Sedih berganda. Kak Dhya sahabat saya. Pastilah dukanya turut saya rasa...

Beberapa ketika menjelang maghrib, saya sempat menghubungi Mak di kampung, bertanya khabar. Sekali lagi saya menerima berita takziah. Ayah kepada seorang guru saya di Taayah dahulu telah meninggal, dua tiga hari lepas.

Benarlah, inna lillah wa inna ilaihi raji-un!
~Al-Fatihah~