Oleh Suzana Mohamed Ali
Ijazah Sarjana Muda Usuluddin,
(Aqidah dan Falsafah)
Universiti al-Azhar, Kaherah
Dengan nama Allah saya membaca dan menulis. Ayunan tinta yang lahir dan terbit dari dasar hati ini hajatnya biar sampai juga ke pelusuk hati sekalian yang membaca atau yang dibacakan. Mudah-mudahan …
Saya belek sebuah karangan Imam Ghazali yang masyhur. Ihya ‘Ulumuddin. Saya sebetulnya dalam perjalanan ke Abbasiah. Sesak dalam perut bas tidak menghalang saya menyelak sehelai dua naskah berharga tersebut.
Pembacaan saya terhenti pada baris ayat bernada peringatan ini;
“rosaknya sesuatu kaum kerana rosaknya pemimpin mereka. Dan rosaknya pemimpin sesuatu kaum kerana pincangnya ulama”.
Nafas saya hela lambat-lambat. Saya rasa terselamat! Lega. Kerana saya yakin, saya dan anda (yang membaca) terkeluar dari maksud Imam Ghazali.
Saya bukan antara anggota masyarakat yang bejat. Saya juga bukan kepimpinan dalam masyarakat saya. Dan pastilah saya juga bukan ulama untuk dipersalahkan.
Bas yang sesak makin sendat. Penumpang berebut-rebut. Mujur saya duduk, alhamdulillah. Saya kerling gadis Arab yang berdiri di tepi saya. Cantik! Bajunya benar-benar mengikut potongan tubuhnya.
Fikiran saya melayang ke Malaysia. Anak-anak mudanya juga begini. Sangat ‘berjimat’ dalam memilih pakaian. Setakat menutup mana yang mereka fikirkan patut. Sungguh ekonomik apabila pusat, peha, dada dan hampir tiga per empat tubuhnya tertayang. Berjimat.
Dulu kita hanya lihat wanita Barat sahaja yang berpakaian begitu. Sekarang anak Melayu juga tidak kurang canggihnya.
Barat? Minda saya merayap lagi ke satu lagi persoalan yang lebih berat apabila perkataan ini tercetus. Kristianisasi. Globalisasi.
Patutlah begitu. Rupanya begini. Ah, rupanya masyarakat saya sudah rosak. Masyarakat kita sudah rosak!
Pertambahan jumlah warga Muslim yang ‘hijrah’ beramai-ramai ke agama lain sudah tidak terhitung lagi, dewasa ini. Jadi, ini bukan dalil nyata lagikah bejatnya masyarakat kita? Saat ini dada saya mula sarat dengan resah.
“rosaknya sesuatu kaum…” Inzar Imam Ghazali yang saya baca tadi kembali bergema di hati.
Saya amati sambungan kalam dari Ihya ‘Ulumuddin di tangan saya kembali. “ … kerana rosaknya pemimpin mereka …”. Berkerut dahi saya seketika. Pemimpin?
Pap! Bahu saya dilanggar sesuatu. Sakit! Terkena siku entah siapa agaknya. Ingatan saya bercempera serta-merta. Sebenarnya, tadi bas terberhenti mengejut kerana cuba mengelak van biru putih yang masuk mencelah dari kanan jalan. Petaka biasa, bagi saya kalau bersesak dalam bas begini.
Keadaan kembali tenang. Saya lempar pandangan pada manusia yang berjejeran di kiri kanan jalanraya. Oh! Ini musim istifta’ barangkali. Kain rentang yang berkibar sepanjang jalan menarik perhatian saya. Pemimpin dari parti yang varia berkempen mengingatkan pengundi mereka untuk keluar memberikan persetujuan sebelum diputuskan di peringkat Parlimen sini. Pemimpin?
Ya, itu perkataan terakhir dalam minda saya sebelum fikiran saya tersentak tadi. “ … kerana rosaknya pemimpin mereka …”
Di mana-mana pun, pemimpin sudah tidak lagi jadi hamba kepada rakyat yang dipimpinnya. Sukarnya mencari pemimpin yang mencerminkan watak Rasulullah. Rata-ratanya berebut menjadi pimpinan kerana mahu menguntungkan kantung harta sendiri.
Kerana itulah pemimpin Islam sendiri sudah hilang tanggungjawabnya memelihara halal haram yang jelas diwartakan oleh Allah dan Rasul-Nya. Yang mahu diutamakan adalah keuntungan yang zahir. Ketepi dahulu halal haram.
Bas semakin kerap berhenti, menunjukkan destinasi yang saya tujui makin hampir. Saya toleh keliling-kelalang. Penumpang sudah kurang. Saya bingkas bangun menuju ke tepi pemandu bas. Berbalas senyum dengan pemandu tua ini sebagai tanda hormat. Saya pasakkan pandangan ke hadapan.
Dua minit selepas itu, saya turun. Mengatur langkah menuju bangunan kuning, Rumah Melayu Abbasiah.
Dalam kotak fikir saya sarat terisi untaian kalam Imam Ghazali yang saya baca tadi. Pimpinan yang seleweng. Pimpinan yang korup. Hati saya kesal.
Itu mereka, getus nubari saya. Pemimpin. Bukan saya. Maka, saya terselamat dari dikambing hitamkan dalam soal kepincangan umat. Kerana saya cuma seorang rakyat. Saya cuma … eh, nanti dulu. Saya teringat satu hadis Rasulullah.
“Setiap kamu adalah pemimpin. Dan setiap pemimpin akan disoal tentang segala yang dipimpinnya…”
Lemah lutut saya. Saya tidak dapat lari dari fitnah ini. Saya penyebab masyarakat saya rosak. Ya Tuhan!
Saya gagal menjadi pemimpin yang baik pada diri saya dan masyarakat keliling saya, hingga masyarakat saya rosak. Saya yang salah? Sayakah?
Bukan salah saya seorang. Bukankah sambungan kalam Imam Ghazali itu, “ … pemimpin rosak kerana ulamanya juga rosak?” Saya terselamat kali kesekiannya.
Saya bukan ulama. Yang salah adalah ulama. Ulama yang menjual akhirat, syurga dan reda Allah untuk membeli dunia yang hampas ini. Saya bukan begitu.
Tetapi siapa ulama itu? Ulama mana yang dimaksudkan oleh Imam Ghazali? Sungguhkah saya tidak termasuk dalam kalangan ketiga ini? Anda bagaimana?
Ulama yang menghalalkan segala yang Allah aktakan sebagai haram. Ulama yang bimbang rezekinya terputus sekiranya dia berkata ini halal dan ini haram.
Inilah ulama yang Imam Ghazali nyatakan sebagai punca bejatnya kepimpinan masyarakat. Kerana ulama ini lebih takutkan pemerintah dunia dari pemilik kerajaan langit dan bumi.
Pintu kayu yang menjadi laluan utama keluar masuk penghuni Rumah Melayu saya kuak perlahan. Alhamdulillah saya selamat tiba.
Menapak lagi melintasi ruang pintu kaca, langkah saya terasa sedikit longlai. Entah bagaimana, hati saya seakan tekad menyimpulkan, semua sudah rosak! Masyarakat, pemimpin dan ulama. Kitalah itu. Nah! Benar bukan, kita sudah rosak?
Masyarakat itu kita. Pemimpin juga adalah kita. Ulama juga adalah kita. Tuntasnya, kita sudah rosak!
Catatan Hujung:
Saya sudah lupa tarikh tulisan ini ditulis. Seingatnya, selepas musim-musim imtihan fasal 1 dan selepas Muktamar Sanawi PMRAM pada Mac lalu. Secara tepat tarikhnya langsung hilang dari memori otak saya. =)
Saya pernah mengirimnya untuk diterbitkan, tetapi tiada maklum balas. Jadi, dari membiarkan ia terperuk, baiklah saya tempelkan di sini.
Menulis boleh menyebabkan ketagihan pada penulisnya. Menulislah, walau sedikit dengan ilmu yang ada. Dan jangan mendamba mahu lekas-lekas hebat persis as-Syahid Syed Qutb dengan Tafsir Fi Zilali al-Quran atau Dr Abdullah Nasih ‘Ulwan dan yang setaraf mereka.
Menulislah dahulu. Tak salah buat salah, sekurang-kurangnya kita melangkah. Dari terus kaku di situ, tanpa buat apa-apa.
Menulislah!