Monday, December 25, 2006

Surat Cinta Buat Seorang Hawa

CEMBURU kulihat Sang Pungguk memadu rindu dengan Sang Bulan. Cemburu kulihat Sang Helang terbang berdua-duaan. Cemburu jua aku pada Si Belangkas yang hidup berkasih sayang. Tapi aku, terus kepiluan … Hawa yang diciptakan untukku bukan lagi Hawa yang dulu.

Kuterbang bebas dalam duniaku. Ibarat Sang Helang yang gagah melebar sayap di ufuk timur, berani … Kuibaratkan kau Hawa umpama sayap kiriku ini. Lantaran tinggi nilaimu di hati lelaki. Kuterbang setinggi-tingginya meredah awan tanpa ada tembok yang membataskan, tanpa ada dinding yang menghalang. Tatkala sesekali, bayu kencang menerjah, kuterbang rendah.

Hawa …
Bukan kutewas dengan bayu nan kencang.
Biarpun aku umpama helang yang gagah perkasa dan raja udara yang unggul di awanan. Namun, andainya sebelah sayapku kuat tetapi sebelah lagi tergeliat … Kutidak mampu menongkah rebut menggila mengikut haluanku … Berat untukku menghadapinya dengan sayap kanan cuma. Kau tahu Hawa, aku jadi derita …

Hawa …
Kuteruskan jua perjalanan dengan ketabahan.
Kubawamu bersama dalam kepayahan. Kau marahiku kerana egoku. Kau leteri semahumu. Tanpa kau dengari kalamku.
Andainya hilang ego lelaki, maka musnahlah dunia tanpa kepimpinan, kerana ego mencipta karisma dan kepimpinan.

Namun, tatkala egoku menjadi egoisme, maka di situlah aku perlukan teguran. Terbang di langit tanpa batasan, sering kuterbabas, hilang arah dan panduan. Kuharapkan kritikan serta pesanan berpanjangan, agar kutetap terbang di awanan, menjadi helang yang terbilang.
Tapi tafakurku sejenak di pohonan …


Hawa …
Dulu, kuperlukanmu sebagai teman berbudi. Menemani tugas beratku sebagai khalifah di bumi. Kaulah cerminku yang sentiasa memuhasabah diri. Tapi kini, keindahanmu yang sering kupuja, kau salah erti … Kau tampil menghiburkan dunia dengan susuk tubuhmu yang menggiurkan.

Kaumku kekaburan. Matanya bertelanjang.
Hatinya lemas ditelan keasyikan!
Ah! Memang kaumku suka mengambil kesempatan!
Tetapi, kenapa kau jual dirimu bak barang pameran? Di mana hilang malumu yang menjadi hias pakaianmu?

Tidakkah kau tahu, tubuh montokmu jadi hidangan enak buat mata tetapi racun pada jiwa?!
Aku bisa terhumban ke neraka kerananya!
Kau gunakan keistimewaanmu untuk menggoda. Airmatamu untuk menipu daya dan panahan matamu untuk mengecaikan iman.

Oh, Hawa!
Aku rindukan Hawa yang dulu
Malu, terjaga, terpelihara …


Hawa …
Kutahu kau ibarat rusuk nan rapuh dan bengkok, perlu hati-hati untukku luruskan. Lantaran itu, kudatang bukan dengan menunjuk cengkaman kuku tajam di kaki … Bukan juga mengugut dengan paruh berbisa …
Tapi supaya direnung bersama, bahawa antara kita, perlu sentiasa perbaiki diri.

Dengarlah bisikan kasihku, sesungguhnya aku rindukan Hawa yang dulu – sesuci Maryam, seteguh Asiah, setulus Khadijah, setabah Fatimah …

Hawa,
Namamu indah, biarpun di mana, di segenap jiwa.
Kaulah ibu, terukir kasih di paparan dada
Kaulah kekasih, dirindui saban ketika
Kaulah puteri pengubat duka, penyejuk mata
Kaulah adik, pemberi semangat paling berguna
Kaulah mukminah, terukir indah di setiap dada.

Ketahuilah Hawa,
Kau kupuja.
Kerana dari rahimmu melahirkan kaumku yang berhati waja
Kerana ayunan lembut tanganmu membesarkanku dengan terjaga
Kerana kewanitaanmu teman hidup tempat cintaku berbicara
Kerana kaulah ladang kasih, taman nafsuku yang gelora
Kerana kau adalah hiasan, paling indah dari dunia seisinya

Maka, kudatang padamu Hawa
Membawa ubat dengan penuh cinta
Ubatilah dirimu …
Agar kudapat terbang menguasai angkasa dan alam
Dengan kedua-dua sayapku yang kuat dan mantap
Agar bukan sahaja kudapat menongkah angin nan kencang
Bahkan sayapku kibar penuh bangga
Mencipta angin!


:: Dipetik dari buku Petua Buat Orang Jatuh Cinta
Dato' Dr Fadzillah Khamsah ::

dari hati Seri

Thursday, December 14, 2006

PEMANAH kat Taayah

SEMINGGU sebelum sesi persekolahan 2006 tamat, kami (saya, acu, adik, neem dan ina) ada dijemput menjadi MENTOR untuk adik2 tingkatan 3 di Sek Raja Perempuan Taayah. Program yang kami namakan PEMANAH ini wajib disertai oleh semua adik2 lepasan PMR 2006 seramai 100 orang.

*bayangkan - kami berlima menjadi mentor untuk 100 protege!*

Dan, mungkin ada adik2 yang sempat menziarahi Kak Ciku di sini, selamat datang. Ini alamat kami di Kota Kaherah :


WISMA DARUL RIDZUAN,
31 Mustasyar Hafeez Badawi St
7th District, Nasr City
Cairo, Egypt


~SINOPSIS~
Ada 2,3 pose yang mahu dipaparkan. Nanti ...


dari hati Seri

Penerima Anugerah Artis Baru Nasyid Popular 2006

Munsyideen.
Ni kumpulan baru dalam industri nasyid tanahair. Baru saja menang Anugerah Artis Baru Nasyid Popular 2006 dengan album Halawatul Iman. Malam tu, mereka dendangkan lagu ... tak ingat la yang mana satu .. :p

dari hati Seri

Amanat

Amanat

Saya meninggalkan tanahair buat kesekian kalinya lewat petang 2 Disember 2006. Jasad saya yang menempati perut pesawat Gulfair yang sendat itu, dibuai bauran rasa.

Malam sebelum saya berangkat, kami berkesempatan mengadakan sedikit majlis doa selamat. Habis seluruh kerabat sebelah bonda saya terutamanya memenuhi ruang teratak kami di Ipoh.

Yang sayu bergayut di hati saya, kesungguhan Tok untuk datang, walau terpaksa berjemput dalam keadaan separa sihat. Saya terharu. Sebaik Tok sampai di teratak kami, nama saya dilaungnya dan Tok menyerahkan satu sampul surat biru yang padat dan agak tebal dengan entah apa, saat saya muncul di hadapannya.

Dek kerana kalut membantu di dapur, menyiapkan hidangan yang bakal dijamu usai solat Isyak nanti, saya terus menyimpan sampul itu, tanpa membukanya. Namun isinya dapat saya agak!
Setelah jemputan semua, yang kebanyakan jemaah surau kariah saya; beredar, dan kami berkendara mengemas dapur, barulah saya berpeluang menjenguk kembali isi sampul itu. Wang kertas RM 1 sebanyak lima puluh keping!

Mungkin bagi orang lain, nilai itu tidak seberapa. Namun bagi saya, dengan kudrat Tok yang sudah tidak seberapa ditambah usianya mencecah angka 80 tahun, ia terlalu banyak.

Patutlah, sewaktu saya menerima sampul itu, Tok kata, "Su, lulus tahun depan, Tok sembelih kambing pulak".


~ SINOPSIS ~

Terima kasih buat semua yang mencemar duli ke teratak kami. Makco dan ibu mertuanya yang dari awal ke dapur menyinsing lengan. Achik dengan si Ina Jepun yang nakal sangat-sangat. Pakcu dan Maksu yang sponsor kuih raya. Makyang yang tolong masakkan pajeri nenas-sedap banget! Ayahchik yang mewakili adik-adik Ayah.

Kawan-kawan - Andak dan ibunya, Ateh, Achik.

Ahli Muslimat cawangan Batu 5.

Jemaah Surau Hawariah.


terima kasih. Doakan saya pulang dengan kejayaan ...

dari hati Seri