Monday, July 30, 2007

Makna Hari Ini

Cerita 1
Selamat Pengantin Baru
buat pasangan VIP – Rafzan Razak dan Fatimah Salwani Abdullah, yang selamat diakadkan dalam majlis ringkas hari ini.

Kami doakan, moga kalian bahagia bersama dunia dan akhirat serta dikurniakan zuriat soleh dan solehah yang bakal meneruskan perjuangan meletakkan Islam tertinggi dan berdaulat.

Siruu ‘ala barakatillah.

Cerita 2

Ogos tahun ini menjadi pilihan ramai kerabat dan sahabat saya untuk membina istana kasih.

(*) Abang sulung saya, Yop Nizam akan melangsungkan perkahwinannya pada 16 Ogos di Kelantan dan acara sambut menantu di rumah Ayah We saya pada 19 Ogos.

(*) Teman saya, Ateh Inah juga bakal bergelar Raja Sehari pada 18 Ogos ini bersama pasangannya Fuad.

Apapun, kedua-dua majlis ini hanya saya rakamkan melalui kata-kata dan tulisan sahaja. Saya jauh untuk bersama, namun doa tak pernah luput, insya Allah.

Moga bahagia dan diredai-Nya.




**~Selamat Pengantin Baru~**

ke pangkuan anda




Hasil usaha dan kerjasama berpasukan selama 2 tahun, mengunjurkan Prasasti Perak ke pangkuan mahasiswa Malaysia di persada Nil ini.



Dapatkan segera dengan harga LE 27 sahaja - hard cover

Sunday, July 29, 2007

'Demokrasi Universiti Sudah Mati'

Saat semua manusia di Mesir ini dimomokkan dengan seribu macam ugutan dan ancaman, lahir manusia yang berhati Umar al-Khattab di celah kebobrokan system pentadbiran IPT (baca di sini).

Malang bagi mahasiswa apabila hanya angguk pada kuku besi mereka. Sekali sekala, gelenglah! Mahasiswa bukan boneka yang dipentaskan. Mereka memang sangat takut dengan suara mahasiswa. Takut dengan suara. Belum lagi tindakan!

Mengapa harus takut? Mereka merencana bermacam-macam ugutan, ancaman dan tindakan guna memasung kekuatan mahasiswa, supaya pincang mereka terus tertutup.

Kita bukan mahasiswa buta! Ada suara, cakap! Ada tangan, angkat! Ada pena, tulis!

Kalau terus diam, kita akan terus disiksa. Kalau terus bisu, kita akan terus diganggu.

Mereka hanya ada ugutan. Kerana mahu menutup kelemahan. Di tangan kita ada kebenaran, maka suarakan.

Bangun! Bangkit! Bergerak! Bertindak!

Kalau bukan sekarang, bila lagi?

Kalau bukan di sini, di mana lagi?

Kalau bukan kita, siapa lagi?


*dapatkan Warta bil 02 bulan ini dari BKAN dan DPM anda*

Sunday, July 15, 2007

Memang Penin!

Nak bercakap pun payah. Tak bercakap pun payah. Tapi inilah dia Malaysia, tanahairku yang bakal menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-50 tahun ni.

Inilah Negara Islam Hadhari.

Dr Mashitah mana??!

Belum Kenal Serik!

Dengan Nama Allah, saya menulis lagi …
Menulis tentang kehidupan yang sebentar – yang bakal berakhir bila-bila masa. Menulis tentang kehidupan yang sedikit demi sedikit beransur sedikit jumlah harinya di dunia, menuju esok ke akhirat. Untuk menuju akhirat, mati adalah perhentiannya.

Kembara hidup ini sangat singkat. Terlalu sangat. Terlalu.

Sayangnya, kita seringkali terlupa hakikat ini. Bermastautin di muka bumi Allah ini dengan menongkat langit dengan tulang empat kerat sendiri. Setakat manakah kudrat itu, sedangkan kudrat kerdil itu juga dipinjamkan sementara. Tulang empat kerat dan kudrat itu ada tempoh laku sahnya. Sampai masanya, ia tidak lagi boleh digunakan. Expired!



~*~


Bertahun-tahun saya idam untuk menulis sesuatu tentang Palestin. Impian berkubur dan hampir saya mahu lupakan saja, dek tiada ilmu dan informasi langsung tentang itu.

Namun,
Alhamdulillah, Warta menjadi momentum pertama yang mengasak semangat saya untuk mengenali Palestin dengan lebih karib.

Selama ini, bohong sahajalah kalau saya kata sangat simpati dengan nasib Palestin. Lantaran sensitif itu lahir dari tahu dan sedar yang tinggi, maka dulu, syarat ini belum saya penuhi. Itu pada lensa fikir saya. Di mata anda, mungkin lain.

Saya cuba-cuba mengenal Palestin yang hari ini. Pembubaran kerajaan perpaduan Hamas dan Fatah oleh Mahmoud Abbas, yang didalangi oleh AS dan sekutunya – memang satu tindakan biadap terhadap system demokrasi yang digariskan.

Tindakan Abbas ini sememangnya mengikut telunjuk Amerika dan Zionis, melalui proksi utama mereka, Muhammad Dahlan. Perkara ini disedari awal dan rakyat Palestin terutamanya arif tentang situasi runcing ini.

Lantaran itu, menurut penganalisa politik Timur Tengah dan Hamas sendiri, jika diadakan pilihanraya ulangan selepas tamat tempoh ‘pantang’ 30 hari ini, keyakinan dan kepercayaan 80% warga Palestin di dalam dan luar Negara akan tetap pada Hamas.

Senario ini menjadi indikator signifikan bagi perjuangan Islam, bahawa kemenangan yang Allah janjikan sudah semakin hampir dan kesabaran mesti diperkukuh dan diterapikan lagi, guna mendepani saat genting yang bakal lebih menduga kelak. Demikian antara maksud yang cuba Ahmadinejad sampaikan pada Khalid Mish’al, wakil kerajaan Hamas, dalam pertemuan dua pemimpin tersebut Mac lalu.

Melalui isu ini, AS dan Zionis mempamerkan wajah sebenar mereka terhadap atrocities yang diusahakan oleh Israel terhadap Muslim dan Islam. Fatah sememangnya pelaksana segala tuntutan Zionis dan Amerika dan tak ubah seperti kerbau yang dicucuk hidung.

Fatah sanggup menggadaikan tanahair mereka demi mendapat restu Amerika dan sekutunya. Fatah tidak pernah jujur membela nasib rakyat Palestin yang melarat dan merempat di bumi sendiri.

Memang benarlah perumpamaan, untuk menebang pokok, mesti dengan pokok juga. Demi merealisasikan ethnic-cleansing yang dihajatkan untuk melicinkan matlamat Israel Raya, Zionis membeli dan menaja penjajah dari bangsa Palestin sendiri.

Sudah begitu, masih belum tercelikkah kita?


‘Ya Allah, aku rafakkan syukur kerana aku Kau pilih untuk melihat dengan mata, mendengar dengan telinga dan berfikir dengan akal waras, sedang yang lain teraba-raba. Mohon kekalkanlah Ya Allah, selagi aku makhluk-Mu …’

Saturday, July 14, 2007

Bila *nak* Balik ~ Di Perjalanan Waktu

Saya bakal bergelar graduanita tahun ini, insya Allah dan ameen.

Tujuh tahun saya berkampung di dataran Sahrawi ini, menuai ilmu dan pengalaman. Tarikh 8 Oktober 2000, tak pernah padam dari ingatan saya – kali pertama menginjakkan kaki ke bumi kinanah ini.

Saya akui, di tahun-tahun terawal menghuni bumi sahara ini, hati bentak-bentak mahu pulang segera. Rasa malas, bosan dan menyampah bertimbun dalam dada. Rasa mahu cepat-cepat pulang meninggalkan Mesir yang tunggang-langgang!

Tujuh tahun mengembara.
Tiga empat tahun kebelakangan ini saya mula jatuh cinta pada bumi tinggalan Nabi Allah Musa ini. Saya baru tersedar, apa yang saya cari dan mahu, ada di sini. Sebelum itu saya tak perasan sebenarnya yang Mesir ini sangat istimewa.

Tujuh tahun saya tinggalkan keluarga.
Di tahun terakhir ini, saya meninggikan azam – mahu menyambung MA di sini. Belum mahu pulang berbakti, kerana ruang nubari saya sudah sendat dengan cinta di sini. Saya belum puas memadu kasih dengan PMRAM dan KPIPM. Saya mana mungkin tinggalkan cinta hati saya saat asmara memuncak!

Tujuh tahun saya di sini.
Saya hadapkan hasrat hati pada Ayahanda. “Ayah, Kak nak sambung Master”. Patah kata saya mati dicantas kata Ayah, “balik. Sambung kat sini”

Ayah. Kak nak sangat belajar lagi kat sini. Kak belum pandai lagi..’. Ayat ini hanya berani bersuara dalam hati saya. Hati saya berbaur. Sedih. Kecewa. Rajuk…

Kali kedua saya cuba nasib, manalah tahu, Ayah berubah fikir. “Kalau nak belajar juga, balik ambik kat sini. Dekat sikit”

Emak pujuk saya. “Ayah dah lama tak tengok Kak. Baliklah. Dia nak Kak ada depan mata dia. Kak dah lama jauh dari kami. Sejak masuk sekolah menengah sampai sekarang ..”

Saya mengalah. Demi Ayah yang lebih saya sayang, dari Mesir yang saya kasih.

‘Iya Mak. Kata-kata Mak betul. Dah lama Kak tinggalkan semua. Ayah nak Kak dekat dengan Ayah. Kak faham. Tapi kalau nanti Kak ikut ‘dia’ …?’ Sekali lagi saya berbual dengan hati.

Itu yang saya runsingkan dulu. Antara hasrat yang tertunda dengan kehendak yang melengahkan. Saya paksa hati untuk patuh pada Ayah.

Tapi itu dulu. Sekarang hati saya bulat menurut hajat Ayah. Saya cuma ada Ayah seorang dalam dunia. Belajar tetap belajar. Ayah tak halang saya teruskan niat. Saya akan ikut permintaannya. Ayah bukan selalu minta saya turut katanya.

Pesanan Hujung
‘Ayah, Kak ikhlas turutkan.
Kak sayang Ayah. Kak sayang Mak. Sampai bila-bila pun’
Pada Kakak dan dia, ‘terima kasih memberi sokongan dan memahami saya’

Thursday, July 05, 2007

Serambi Ilmu

Ilmu sahaja yang akan mengubah diri manusia. Nasib sesuatu bangsa akan terbela dengan ilmu.

Ilmulah yang pertama Islam tekankan. Dengan ilmu, kita mengenal Pencipta dan Utusan-Nya serta risalah yang diutuskan.

Dengan ilmu, manusia akan keluar dari zulmat menuju benderang.

Moga-moga dengan cara inilah
lorong neraka* akan berubah wajah – Jalan ke syurga.

Baca selanjutnya …

*Nota:
Istilah Lorong Neraka diambil dari sebuah drama yang ditayangkan di sebuah stesen TV Malaysia.

Monday, July 02, 2007

Bersatu Dalam Kelainan


SUATU HARI, Imam Malik hairan melihat seekor burung merpati dan seekor burung gagak berkumpul bersama. Dengan spontan beliau berkata, kedua-duanya dapat bersatu padahal jenisnya tidak sama.

Ketika burung-burung itu terbang, beliau melihat kedua-duanya masih ada persamaan iaitu kedua-duanya cacat. Lalu beliau berkata, sebab itulah burung itu dapat bersatu.
INI adalah n3 saya yang ke-80. Dah dekat setahun, baru 80 perkara saya letakkan di laman perkongsian ini. Dalam 80 sentuhan tangan saya ini, bukan semua ilmiah. Ada juga yang santai2 sahaja.

Jauh lagi jalan saya untuk benar2 menulis dengan ilmu, demi membetulkan diri dan songsang di tepi.

Saya belum berpuas hati.

Tetapi sekurang-kurangnya saya dah menulis dan insya Allah saya akan manfaatkan kelebihan yang sikit ini demi Allah yang menciptakan saya dan pena.

Dan sekurang-kurangnya saya sudah berbuat sesuatu untuk saya tinggalkan ... Moga ia Allah terima sebagai amal soleh. Ameen ... :)