Sunday, July 15, 2007

Belum Kenal Serik!

Dengan Nama Allah, saya menulis lagi …
Menulis tentang kehidupan yang sebentar – yang bakal berakhir bila-bila masa. Menulis tentang kehidupan yang sedikit demi sedikit beransur sedikit jumlah harinya di dunia, menuju esok ke akhirat. Untuk menuju akhirat, mati adalah perhentiannya.

Kembara hidup ini sangat singkat. Terlalu sangat. Terlalu.

Sayangnya, kita seringkali terlupa hakikat ini. Bermastautin di muka bumi Allah ini dengan menongkat langit dengan tulang empat kerat sendiri. Setakat manakah kudrat itu, sedangkan kudrat kerdil itu juga dipinjamkan sementara. Tulang empat kerat dan kudrat itu ada tempoh laku sahnya. Sampai masanya, ia tidak lagi boleh digunakan. Expired!



~*~


Bertahun-tahun saya idam untuk menulis sesuatu tentang Palestin. Impian berkubur dan hampir saya mahu lupakan saja, dek tiada ilmu dan informasi langsung tentang itu.

Namun,
Alhamdulillah, Warta menjadi momentum pertama yang mengasak semangat saya untuk mengenali Palestin dengan lebih karib.

Selama ini, bohong sahajalah kalau saya kata sangat simpati dengan nasib Palestin. Lantaran sensitif itu lahir dari tahu dan sedar yang tinggi, maka dulu, syarat ini belum saya penuhi. Itu pada lensa fikir saya. Di mata anda, mungkin lain.

Saya cuba-cuba mengenal Palestin yang hari ini. Pembubaran kerajaan perpaduan Hamas dan Fatah oleh Mahmoud Abbas, yang didalangi oleh AS dan sekutunya – memang satu tindakan biadap terhadap system demokrasi yang digariskan.

Tindakan Abbas ini sememangnya mengikut telunjuk Amerika dan Zionis, melalui proksi utama mereka, Muhammad Dahlan. Perkara ini disedari awal dan rakyat Palestin terutamanya arif tentang situasi runcing ini.

Lantaran itu, menurut penganalisa politik Timur Tengah dan Hamas sendiri, jika diadakan pilihanraya ulangan selepas tamat tempoh ‘pantang’ 30 hari ini, keyakinan dan kepercayaan 80% warga Palestin di dalam dan luar Negara akan tetap pada Hamas.

Senario ini menjadi indikator signifikan bagi perjuangan Islam, bahawa kemenangan yang Allah janjikan sudah semakin hampir dan kesabaran mesti diperkukuh dan diterapikan lagi, guna mendepani saat genting yang bakal lebih menduga kelak. Demikian antara maksud yang cuba Ahmadinejad sampaikan pada Khalid Mish’al, wakil kerajaan Hamas, dalam pertemuan dua pemimpin tersebut Mac lalu.

Melalui isu ini, AS dan Zionis mempamerkan wajah sebenar mereka terhadap atrocities yang diusahakan oleh Israel terhadap Muslim dan Islam. Fatah sememangnya pelaksana segala tuntutan Zionis dan Amerika dan tak ubah seperti kerbau yang dicucuk hidung.

Fatah sanggup menggadaikan tanahair mereka demi mendapat restu Amerika dan sekutunya. Fatah tidak pernah jujur membela nasib rakyat Palestin yang melarat dan merempat di bumi sendiri.

Memang benarlah perumpamaan, untuk menebang pokok, mesti dengan pokok juga. Demi merealisasikan ethnic-cleansing yang dihajatkan untuk melicinkan matlamat Israel Raya, Zionis membeli dan menaja penjajah dari bangsa Palestin sendiri.

Sudah begitu, masih belum tercelikkah kita?


‘Ya Allah, aku rafakkan syukur kerana aku Kau pilih untuk melihat dengan mata, mendengar dengan telinga dan berfikir dengan akal waras, sedang yang lain teraba-raba. Mohon kekalkanlah Ya Allah, selagi aku makhluk-Mu …’