Wednesday, February 28, 2007

Saya mulakan. Saya yang pertama

Tarikh : 25 Februari 2007
Hari : Ahad
Tempat : Dewan Abdullah Kamil
Agenda : Muktamar Hewi PMRAM kali ke-20

Terawalnya saya mengingatkan diri dan hati saya untuk lazimi istighfar, kerana perkara ini telah diterima untuk dilaksanakan. Sebarang cela yang bakal terjadi, saya mohon dijauhkan dari menjadi barah yang menyerang tanpa sedar.
Saya bangun di sesi akhir MHP kali ke-20 dengan menyatakan beberapa perkara.

A. Introspeksi
1. Saya mengingatkan BKAN dan DPM yang ghairah mengatur varia program berstatus 'grand' hingga terlupa menghebahkan kepada ahli bahawa semua aktiviti yang dilaksanakan di peringkat BKAN dan DPM adalah juga program PMRAM.

2. Saya menyelar sikap sesetengah BKAN dan DPM yang ripuh menyiapkan ahli dengan pelbagai kemahiran untuk kepentingan BKAN dan DPM bukan untuk PMRAM. Hingga PMRAM menemui kesulitan mendapatkan tenaga mahir dalam banyak amanahnya.

3. Saya juga mengingatkan semua ahli BKAN dan DPM agar dapat memperdanakan program atas nama PMRAM dan sekaligus memusatkan kebanyakan program kepada PMRAM.

B. Cadangan
1. Kerapkan pelaksanaan Genggam Bara ~ jika mampu dilakukan 4 kali setahun.
Rasional : Melalui GB dapat membantu menyelesaikan banyak perkara dan masalah yang melibatkan BKAN dan DPM, selain memperkukuh semangat 'Kita PMRAM'.

2. Kalangan ahli yang berkebolehan dalam apa jua lapangan, tampilkan diri untuk membantu.
Rasional : Ahli Hewi terutamanya lebih senang bersikap tunggu dan lihat. Sepatutnya kita yang bertanggungjawab menghulurkan bantuan. Bukan menunggu diminta membantu.

3. Sahut cabaran Presiden PMRAM 2006 dalam Majlis Perasmian MHP kali ke-20 ~ membuat satu hasilan ilmiah sebagai jawapan kepada dakyah dan tohmahan SII terhadap Islam.
Rasional : Ahli Hewi perlu melakukan anjakan paradigma dan ini langkah pertama.Saya menawarkan diri untuk mengetuai ekspidisi ini.
** Keputusan **
NPH 2006 mengumumkan pelaksanaan tersebut dengan meminta mana-mana ahli yang berminat untuk membantu supaya mendaftarkan nama sebagai AJK.

~~*~~
Sekali imbas, saya seakan-akan mencalonkan diri untuk menjadi ketua. Namun hakikatnya, saya bertindak untuk menjadi pencetus. Sudah lama benar kita diam dengan ejekan dan tempelakan ikhwah tentang kelemahan mahasiswi. Dan saya tidak betah mendiamkannya lagi. Saya mahu mahasiswi lain juga turut rasa tercabar dan terpanggil untuk menempa wibawa. Kita bekerja bersama demi Islam! Bukan kerana dunia.
~~*~~
Tugas saya bertambah. Saya yang isytihar untuk all-out sebelum saya pergi. Jadi, saya cuba kuatkan hati dari mengeluh dan mengalah. Bukankah hidup ini anugerah?

Bulan Mac ini saya sudah diundang untuk berkongsi ilmu melatih puteri-puteri Terengganu mereka-bentuk menggunakan Adobe Photoshop. Saya sendiri merangkak, sebenarnya. Tetapi dek kerana ilmu saya bakal habis jika saya pendam, maka saya sanggupi. Saya cuba sedayanya.
Janji saya pada diri, saya akan buat selagi perlu. Bukan setakat mampu.
Saya berdoa untuk diri saya. Moga kalian doakan juga ...

Terrorism ~ jom sembang

TERRORISM ~ Kita selalu sebut perkataan ini. Tapi kita sebenarnya sangsi maknanya, kan?
Dalam Kamus Oxford Advanced Learner menterjemahkan terrorism sebagai : the use of violent action in order to achieve political aims or to force a government to act.

Violent action ini dapat kita simpulkan dengan 4 kaedah.
1. using physical force ~ peperangan, pembunuhan (termasuk cubaan bunuh).
2. asimilasi budaya melalui pelbagai medium.
3. biological ~ free sex, hedonisme etc.
4. mengubah sistem dan dasar pendidikan (akademik).

Barat bukan sekadar mahu menghapuskan pengaruh Islam tetapi mahu mendominasi dunia sebagai proksi utama.

Friday, February 23, 2007

kalut yang menyenangkan ",

SEMINGGU ini saya benar-benar sibuk. Penat sudah bukan alahan pada saya. Terkejar-kejar menyiapkan buletin Suara Hewi, seusai mengedarkan Risalah Khabar Iman di Rumah Melayu Abbasiah. Ditokok dengan menyemak kertas kerja untuk di'monograf'kan ~ memaksa saya mengangkut laptop Dr Mujahid ke bilik. Lagi, diundang oleh adik-adik menyelesaikan name tag untuk perwakilan dan pelaksana Muktamar sehari dua lagi. Saya kalut menyertai RQ '07 juga. Buru-buru semuanya. Belum saya bariskan undangan lain sebagai pengisi, penulis dan pengacara :)

Saya yang rela begitu. Saya benci untuk mengatakan 'tidak'. Kerana saya ingat pesan Mak tersayang, jika ada yang meminta bantuan, ertinya, si peminta tidak terdaya melakukan sendirian dan meyakini kita yang terbaik untuk membantunya menyelesaikan perkara tersebut. Lalu, jawapan 'tidak' dari saya hanya akan meremukkan hasrat mereka.

Lagi pula, saya pasti terhutang segala ilmu, idea, kebolehan dan kudrat bila saya hanya melayan penat dan mal** saya. Sedangkan esok-esok, entahkan saya masih punya waktu untuk menggantikan masa yang terbuang entah tidak.

Entah-entah saya dijemput ajal dahulu. Siapa tahu ... kalau memang begitu.

Biarlah saya susah sementara saya masih bernyawa. Kerana saya mahu berehat di syurga nanti.

Natijahnya, saya memang letih-letai.

Penat!

Namun, semalam, saat kepenatan memuncak kerana berulang alik sekitar Haiyu 7 ke Masakin Uthman, saya menerima satu sms. Mengingatkan saya untuk adil pada diri ~ penat juga harus ada rehatnya. Saya senyum lega. Seakan-akan si penghantar sms ini sedang memerhatikan saya yang jauh dari matanya di sini. Terasa dia begitu dekat!

Kepada dia, terima kasih kerana meneguhkan semangat saya.

Saya sudah melangkah. Saya akan terus melangkah. Moga-moga langkah saya bukan separuh-separuh. Bahkan hingga hujung nyawa dan kembali ke sisi-Nya tanpa ada apa-apa hutang yang belum terlangsai kerana tidak menunaikan hak kepada mereka yang perlu.

Doakan saya ...

Monday, February 19, 2007

Perang dan Pembaziran

Membazirnya peperangan ini kerana ia melibatkan logistik yang keterlaluan pada perkara yang sia-sia.

Amerika Syarikat misalnya semasa Perang Vietnam 1965 telah menggugurkan 1 juta tan bom di Jerman. Membazir bukan?

Selepas itu, AS membazirkan lagi senjatanya dalam Perang Teluk dengan membedil 80 ribu tan bom di Iraq. Berbaloikah?

Dalam Perang Dunia ke-2, seramai 300 ribu orang telah layak bergelar arwah kerana dibom oleh AS. Untungkan? Sedangkan AS telah melaburkan 800 ribu tan bom di Iran.

~~* SINOPSIS *~~

Masa saya menulis n3 ini, Dr Safiyah membayangkan, agaknya macam manalah hujung nyawa Si Bush nanti. Tentulah dunia tidak sabar-sabar mengetahui kesudahan hayat makhluk perosak ini, kan?

Fakta ini bukan lelucon.

Bukankah patut jika Iran hari ini tidak tunduk pada kecaman UN dan Eropah yang mahu usaha pengayaan uranium ini dihentikan?

Dan bukankah sepatutnya kita juga memiliki kekuatan itu? Aduhai Malaysia tanahairku ...

Untuk Adam lagi ...

Adam ini memang hebat jika menguasai soft skill yang diminatinya. Namun semuanya kedekut untuk berkongsi. Hawa ini banyak jahilnya, lalu mahu memboloskan diri dari gelaran tersebut.

Sayang si adam banyak bakhilnya.

Adam,
hawa ini juga mahu melengkapkan diri dengan value added. Tak hilang ilmu adam bila berkongsi dengan hawa. Malah lagi bertambah dan mantap.

Kasihan sama hawa, meraba-raba mencari tangan yang sudi membimbing.

*Adam, sepandai-pandai kalian, ada lagi yang hebat.*
*Hawa, jangan malas-malas. Usah malu-malu.
Biar jadi ubi. Sampai bila nak jadi besi?*

Friday, February 16, 2007

Israel Umat Yang Halal Darahnya

Islam adalah agama kedamaian. Ia membenci permusuhan selagi keharmoniannya dihormati. Namun apabila ketenangan ini digugat, Islam membenarkan umatnya untuk mempertahankan diri dan membalas serang. Hinggalah keadaan kembali damai.

Islam, sepanjang sejarahnya, tidak pernah memulakan pertelingkahan. Kerana Islam amat menghormati hak sesama manusia, bahkan dengan alam semesta.

Siri-siri peperangan yang Islam tempuhi adalah natijah kebiadapan pihak tertentu yang benci melihat ketenteraman masyarakat Islam dan bukan Muslim yang seia sekata. Belum pernah Islam yang menyalakan api kemarahan. Dan sepanjang itulah dunia menyaksikan (sepatutnya) Islam sebenarnya acapkali digempur sesuka hati. Islam lah yang dimangsakan. Dulu dan kini.

Di Palestin, sejak nama negara ini dipadamkan dari peta dunia sejurus termeterainya perjanjian Oslo 1993 di bawah Resolusi 182; nasib negara ini sukar diramal. Pertumpahan darah adalah rutin dan kematian menjadi udara yang mesti mereka hirup setiap hari.

Ternyata, rakyat Israel yang menjajah bumi suci Palestin bukanlah manusia yang boleh dibuat teman. Rakyat mereka adalah tentera regim tersebut. Ulama, dengan ini memutuskan bahawa halal memerangi mereka hatta wanita, kanak-kanak dan orang tua; kerana mereka juga kesemuanya adalah tentera yang memerangi Muslim serata Palestin.

Pun begitu, hukum ini hanya sah diperlakukan di Palestin sahaja, buat masa ini.

~*~*0*~*~
SINOPSIS

Sebenarnya, saya sudah memendamkan hasrat untuk mengkaji dan menulis secara profesional berkaitan Palestin sejak bertahun-tahun dulu dan terbengkalai hingga saat ini.

Apalah yang dapat saya tuliskan, sedangkan sejarah Palestin sendiri pun belum banyak saya tahu? Saya yang salah kerana mal** membaca di masa senggang saya '~'

Sudah kalut begini baru tercari-cari ... ;)

Apapun, moga ini permulaannya. Awas ya, apabila saya sudah mula melangkah, saya sukar ditambat!

dari hati Seri

Memangnya begitu ...

Memangnya banyak perkara yang payah untuk diluahkan. Lagi payah apabila diluahkan. Lalu, biarlah rahsia ...

Memangnya memendam rahsia sebegitu, menyesakkan nubari. Mungkin sahaja ia mengundang dendam. Lalu, lupakan sahaja ...

Memangnya untuk hidup ceria bermula dengan hati yang bahagia. Untuk bahagia, maafkanlah sesiapa sahaja. Berlapang dada, kita akan sentiasa kelihatan gembira. Duka di hati sedikit terubat jika menggembirakan orang lain.


~*~*SinOpsiS*~*~

Memangnya setiap malam sebelum tidur, saya maafkan semua orang. Tetapi bila saya terjaga paginya, saya sengaja lupa yang saya sudah maafkan ...

Menjelang malam, saya maafkan lagi :) dan begitulah saban hari. Nakal hati saya ni ..!

dari hati Seri

Wednesday, February 14, 2007

Itu Namanya ... Diskriminasi

Saya sedikit kaget dengan sikap sesetengah adam ini yang mudah benar meremehkan peranan hawa. Saya bukan mengagungkan feminisme. Tapi realitinya memang adam begitu terhadap hawa. Ramai dan bertambah.

Sepatutnya, kita yang sama-sama berstatus 'nabi' ini tidak kalah dengan ego. Ke mana hendak adam junjung ego itu? Esok-esok mati juga. Berkapan kain putih juga. Dikebumikan juga. Tetapi begitulah ...

Pada adam, hawa ini tidak berpandangan jauh. Akalnya satu. Masakan setanding dengan adam yang berakal sembilan.

Aduhai adam, tidakkah kau sedari yang nafsumu yang satu itu telah mendominasi sembilan akalmu bila kau menjulang ego?

Rendahkanlah dirimu ... kau akan dipandang tinggi. Tidak susut harga dirimu jika kau meminta pandangan hawa.

Hawa ini memang diciptakan sebagai pelengkap hidupmu, adam. Bayangkan kalau hawa juga berjiwa besar seperti adam, siapa yang mahu memenuhkan lompong-lompong kosong dalam dirimu? Hawa yang kau pinggirkan inilah juga ...

Duhai adam, seringkali masalah besar bermula dengan isu yang remeh. Isu remeh inilah yang kau sindirkan hawa tidak berjiwa agam. Bila ia mewabak, kau juga yang melopong!

Adam, pandai-pandai kaulah nak hidup, kalau berlagak sangat ... :)

Adam,kendatipun hawa ini bukan setanding Aisyah Humaira, buah hati Rasulullah; tetapi hawa ini ada juga otaknya. Berilah juga hawa peluang bernafas ...

Hawa ini ingin sangat berkongsi susah senang yang adam rasa. Sayangnya adam fikir, hawa ini hanya menambah beban. Elok usah dibiarkan tahu ...

Terlonta-lonta lah hawa, tak mengerti apa-apa. Bila terjahil sebegitu, ditempelak pula. Kononnya hawa ini tidak berketrampilan.

Adam, adam.Hawa tak marah. Marah bukan ada faedah. Silap marah, adam lari pula dari rumah ... ;)

Oklah adam. Jangan marah-marah. Hawa penin dengan adam, sebab itu hawa bebel.
Jangan marah, adam. Saidina Umar pun diam sahaja bila hawa-nya berleter ... ;)

Maaf adam-adam semua.

dari hati Seri

Jom Telaah Kutaib

Dr. Abdullah Nasih 'Ulwan dalam buku kecilnya bertajuk Ila Wirasatil Anbiya' wa Du'at IlaLlah ada menyentuh tentang an-Nasr (kemenangan).

Kata beliau, kemenangan dan bantuan Allah itu bukan kerana doa. Tetapi kemenangan dan bantuan Allah itu hadir kerana jihad dan istimrar yang kita cagarkan.

Ulasan Saya :
Segala milik Allah amatlah mahal. Allah memang berkira dalam meminjamkan miliknya pada sesiapa. Bukan salah apabila Allah bersikap demikian kerana Dia Maha Menjadikan. Dia berikan pada sesiapa yang Dia sendiri tentukan. Dia yang putuskan untuk memberi atau tidak. Tanpa perlu rundingan dengan sesiapa juga.

Dan memang tidak pernah cukup hanya dengan doa untuk mendapatkan sesuatu. Analogi ringkas supaya mudah difahami, dalam satu urusan yang melibatkan pihak atasan, pastilah surat permohonan peruntukan sahaja tidak memadai.

Biasanya pihak berkuasa bakal tidak melayani permohonan yang begitu-begitu tanpa ada usaha keras untuk mendapatkannya. Ini satu tamsilan (mungkin kurang tepat) supaya kita jelas tentang perkara ini.

Andai dengan manusia pun begitu, Allah Yang Maha Memberi mesti lebih dari itu. Dia berhak begitu.

Dalam soal mengharapkan bantuan Allah dalam urusan yang lebih besar, seperti dakwah ini; sewajarnya kita tidak hanya menadah tangan mengharapkan segalanya dituntaskan dengan keajaiban doa.

Cuba fikirkan - kalaulah urusan sebegini getir bisa terbantu hanya dengan doa, apalah ertinya Allah menjanjikan syurga bagi sesiapa yang menjualkan diri dan hartanya demi kembara dakwah ini?

Syurga bukan sebarangan untuk dimiliki semudahnya, bukan?

Justeru, dakwah ini tabiatnya memerlukan jihad. Jihad dalam makna yang luas dan praktikal. Jejak semula penerangan jihad yang dicatatkan oleh Ustaz Said Hawwa dalam bukunya bertajuk Jundullah; Thaqafatan wa Akhlaqan.

Jihad ini prospeknya teramatlah luas. Sama juga dengan dakwah. Ia fleksibel dan sentiasa relevan.

Hari ini kita seakan dapat melihat bayang-bayang kemenangan yang menghampiri. Ini bukan ertinya kita sudah boleh duduk diam berdoa menunggu kemenangan ini melutut di kaki kita.

Lagi dekat kemenangan Islam, lagi banyak dugaan yang akan merentang jalan dari kemenangan iu tiba. Ertinya lebih ramai yang akan mencemburuinya dan berusaha menjauhkan kemenangan itu dari terealisasi.

Justeru, jihad perlu iltizam dan konsisten.

Silapnya sebahagian kita, dengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan. Baru nampak bayang, kita sudah bersorak ria. Sedangkan sebaiknya kita berusaha sungguh lebih gigih dari sebelumnya supaya kemenangan itu benar-benar tiba.

Mudah-mudahan kita tidak terus terleka.

Saya memetik kalam Dr. Majdi al-Hilali dari kitabnya Risalah Min Ghariq;
"saya tidak melihat orang lain yang lebih memerlukan nasihat dan taujihat ini lebih dari diri saya sendiri yang beramal kurang lagi bertimbun dosanya. Diri saya yang tiada daya lagi upaya melainkan dengan izin Allah".

Moga ulasan secebis ini menyuntik semangat kita untuk meneruskan perjuangan dan kekal thabat serta istiqamah, hingga kita benar-benar layak menerima kemenangan dan bantuan Allah ~ Nasrun minaLlah wa fathun qarib.

Amin.
Wabillahi at-Tawfiq.

dari hati Seri

Sunday, February 11, 2007

DIA yang diidamkan

Dia …
Menghiburkan dirinya dengan kalamullah
Merasa manis dengan zikrullah
Meneruskan perjuangan Rasulullah
Cintakan sunnah Kekasih Allah
Gagah menangkis mehnah
Di akhir zaman yang penuh fitnah.

Dialah …
Membentangkan aku permaidani muhasabah
Kata-katanya adalah tazkirah
Senyumannya adalah nasihah
Telunjuknya adalah arah
Agar tetaplah aku dalam haibah
Di atas landasan Islam yang indah
Hingga kering titisan darah.

Dia …
Yang tidak pernah terpesona di atas buaian dunia
Kerana dia mengimpikan syurga
Itulah mahligai idamannya
Dan dia ingin membawaku bersamanya
Ke sana

Dan dialah …
Lelaki idamanku.


dari hati Seri

warkah dari diri yang lemas

Sebuah kitab kecil bertajuk "Risalah Min Ghariq" karangan Dr Majdi al-Hilali sempat saya diskusikan beberapa malam lepas. Saya amat terkesan dengan tulisan tersebut.

Bertemakan mahu menyelamatkan manusia yang dianggap sebagai adik beradik sendiri dari lemas dalam lautan dunia yang menipu, Dr Majdi berjaya menjadikan jutaan pembaca seolah-olah terperangkap, hampir lemas dan mahu diselamatkan.

Saya juga merasakan saya masih lemas dan nyaris tenggelam. Saya mahu diselamatkan.

Rawatan yang perlu saya terima ialah memendekkan angan-angan dan memperbaiki tawakal kepada Allah. Dua rawatan ini sudah memadai untuk menyelamatkan nyawa saya (buat masa ini).

RAWATAN PERTAMA - Qasru al-Amal
Saya mahu berhati-hati tapi bukan menyingkirkan perancangan masa depan. Tetapi supaya saya sentiasa ingat bahawa mati sentiasa mengintai tanpa saya sedar.

RAWATAN KEDUA - Husnu Tawakal 'AlaLlah
Keputusan hidup mati makan minum saya di genggaman Allah. Tapi saya mesti berusaha. Bukan duduk terngadah menanti takdir berubah. Dan bukan juga saya meraung meratap menangisi takdir yang Allah anugerahkan pada saya yang saya rasa tidak cocok dengan kehendak dan permintaan saya. Saya hamba dan Dia Tuhan saya.

Jika saya percaya segalanya dari Dia, tidak akan ada satu pun yang perlu saya sungutkan apa lagi untuk saya resahkan.


dari hati Seri

Sesuatu tentang DOA

Sebagai orang yang beriman, kita harus yakin bahawa hal-hal yang dianggap baik oleh kita, belum tentu baik pula menurut Allah SWT. Oleh kerana itu, pengabulan doa ini ada beberapa kemungkinan.
  • Dikabulkan sesuai dengan permintaan dan doa kita
  • Dikabulkan hal-hal yang serupa atau setara dengan apa yang kita minta dalam doa kita
  • Dihindarkan kita dari sesuatu yang bahaya atau malang, yang sepatutnya menimpa kita
  • Diampuni dosa-dosa kita, sebagai pahala dari doa
  • Ditunda pengabulan doa kerana tidak baik bagi kita jika dimakbulkan (pada masa itu ke suatu masa lain)
  • Doa itu tetap akan dimakbulkan di akhirat

dari hati Seri

Friday, February 09, 2007

SALAM DARI TANAHAIR

Tulisan ini saya jumpa dalam folder sahabat saya. Sahabat ini cadangnya menyiarkan tulisan ini dalam Suara Hewi. Namun, tidak berkesempatan. Demi terbacakannya, saya rasa elok saya kongsikan bersama semua. Biar faedahnya membiak!
~~*~*~*~~

Assalamualaikum wbt

Sudah menjejak sebulan setengah saya berkampung di tanahair, hati saya sedikit dijentik jemu. Namun untuk pulang meneruskan kelana di bumi sahrawi, jiwa saya masih belum sudi. Biarlah dulu ...

Menjenguk umat kita di bumi sendiri menyesakkan dada. Tidak cukup dengan wabak sosial yang parah, dibarahkan pula dengan kegiatan Mat Rempit yang menggila, sehingga masyarakat takut untuk keluar rumah meneruskan aktiviti harian.

Dalam masa yang sama, negara berbesar hari menghantar ribuan rakyatnya menadah ilmu ke luar negara dengan hasrat inilah generasi yang bakal menjadi pelapis pimpinan masyarakat dan negara. Universiti al-Azhar tidak terlepas dari menerima anak-anak Malaysia saban tahun untuk menuntut ilmu.

Sayangnya, anak-anak muda yang digalaskan dengan aspirasi perdana ini gagal melangsaikan amanah tersebut. Di al-Azhar misalnya, mahasiswa sudah makin hilang identiti ulamanya.

Tidak keterlaluan dikatakan, hampir semua anak-anak watan yang datang ke bumi sahara ini tidak berjaya melekangkan karat jahil dari diri sendiri dan paling menyedihkan mereka tidak bersedia menghirup atmosfera solehah guna menghidupkan neuron-neuron taqwa supaya dapat hidup sebagai diri.

Mahasiswi, secara rambangnya sudah hilang malu. Saya masih ingat ketika kali pertama menjejakkan kaki ke bumi Mesir, kami dididik untuk menjaga pergaulan dan adab sekaligus menjulang bangsa Malaysia sebagai dagang yang tahu diri.

Hari ini, saya tidak melihatnya lagi. Adik-adik saya yang hadir dengan hasrat mahu menyembah ilmu di riba para ulama ini sudah tidak malu-malu memurahkan harga diri pada adam ajnabi.

Budaya sms, chatting, missed call dan segala yang berkaitan salah guna teknologi sudah jadi lumrah dan hampir sinonim dengan mahasiswi Malaysia di al-Azhar. Kenapa jadi sebegitu murah?

Sering kita dondangkan kalimat "wanita diciptakan dari rusuk adam, bukan dari kepala untuk diagung-agung, bukan dari kaki untuk diinjak-injak". Hakikatnya tidak sebegitu! Hawa di sini tegar membiarkan diri sendiri dipijak oleh lelaki dengan rela hati. Menjaja hati di jalanan ...

Dulu memang Adam di sini mencabar kita kerana tidak berketrampilan dalam menangani polemik. Hari ini segalanya berubah total. Hawa terkehadapan dan dikenali sejagat Mesir. Tetapi bukan berbekalkan imej yang molek. Sungguh maruah hawa di darjat terpencil!

Sidang pembaca yang dihormati,
Adam menyanyikan hajat mereka mendambakan insan srikandi semulus akhlak Saidatina Aishah, namun kita tidak menepati pakej yang diingini. Lalu, layakkah kita merindui kasih pewaris kekasih Allah ..? Jawapannya ada dalam iman kita, tanyalah!


Saya yang jauh,
Suzana Mohamed Ali
(Ketua Pengarang Suara Hewi)
Malaysia - 20 Ramadhan 1427

~~*~*~*~~
dari hati Seri

Wednesday, February 07, 2007

Bila kena jadi motivator

Bukan semua manusia berbakat dalam memberi stimulus di khalayak. Tetapi bukan juga bermakna kita tidak boleh mencuba. Yang penting mesti ada keinginan untuk mencuba. Sebab, memberi nasihat ini tuntutan Islam.

Sekalipun kita pandai berucap di hadapan umum, kalau
tidak kena gayanya, khalayak hanya mendengar tanpa dapat apa-apa input untuk diterjemahkan sebagai ilmu dan diamalkan. Rugi, bukan?

Saya sekadar mahu berkongsi tips ini dengan semua. Saya tulis berdasarkan pengalaman saya. Jom kita baca!

(A) Untuk Penyampai
1. Mesti merendah diri. Kita tak punya apa-apa, kecuali yang Allah pinjamkan. Hadis Qudsi ada merakamkan perkara ini, “wahai manusia, sesungguhnya kamu itu lapar, dan AKU lah yang memberi kamu makanan. Kamu semua adalah tidak berpakaian, kecuali AKU lah yang memakaikan kamu….” Kita tidak rugi apapun jika merendah diri. Bahkan Allah akan memuliakan kita di hati para hamba-Nya, jika kita merendah diri.
2. Bercakap dengan bahasa yang setara dengan tahap pemikiran audien. Bahasa yang digunakan mesti mudah, difahami dan sesuai. Kadang-kadang ada penyampai yang ‘syok sendiri’ dengan bahasa dan istilah bombastic tetapi pendengar hanya menganga J.
3. Katakan perkara yang benar dan berdasarkan ilmu atau pemerhatian (pengalaman). Elakkan bercakap perkara yang meragukan dan boleh menimbulkan konflik atau salah faham. Memberi motivasi bermakna mahu menaikkan prestasi dan potensi orang lain agar sama berjaya seperti kita atau lebih baik dari kita. Gossip bukan makanan minda dan potensi diri tidak memerlukannya.
4. Menarik hati dan tumpuan audien. Dengan idea yang bagus, penyampaian yang berisi, pemilihan diksi yang tepat dengan makna.

(B) Antara ilmu Bantu untuk dikongsi
Motivasi Sempena Peperiksaan
· Belajar kerana Allah SWT. Belajar kerana mahu mengenal siapa Allah, siapa kita, kenapa kita ada dsb. Belajar kerana mahu mengeluarkan diri dari kejahilan.
· Belajar adalah kemestian. Umat Islam mesti cemerlang dan sentiasa cemerlang. Cemerlang mesti dengan ilmu.
· Belajar kerana mahu mentadbir kembali alam ini dengan kehendak Allah.
· Mesti yakin dan faham, bahawa ilmu ini semuanya milik Allah. Ia dating dari Allah. Ilmu yang kita ada, langsung seperti tiada jika dibandingkan dengan luasnya ilmu Allah.

Motivasi Kepimpinan
Pemimpin tidak lahir dari mereka yang berpeluk tubuh mengarah itu ini.
Pemimpin adalah hamba.
Pemimpin bukan perdagangan. Tapi satu perjanjian dengan Allah, bahawa kita adalah duta-Nya untuk memudahkan urusan hamba-hamba-Nya.
Pemimpin mesti jelas dengan matlamat. Tahu prinsip, yakin dengan keputusan yang diambil. Tidak mengenepikan pandangan mereka yang berpengalaman sekalipun bukan dari kepemimpinan.
~o~o~o~
Aduh! Penat saya. Lain kali saya menulis lagi. Moga n3 kali ini jadi permulaan untuk saya melangkah lebih jauh dalam dunia penulisan. Masih ramai yang menanti sentuhan air tangan saya untuk dibaca. Buat mereka, sabar ye. Saya sedang usahakan! Teruskan berdoa untuk saya.
dari hati Seri

Monday, February 05, 2007

untuk ADAM


dari hati Seri