Friday, February 23, 2007

kalut yang menyenangkan ",

SEMINGGU ini saya benar-benar sibuk. Penat sudah bukan alahan pada saya. Terkejar-kejar menyiapkan buletin Suara Hewi, seusai mengedarkan Risalah Khabar Iman di Rumah Melayu Abbasiah. Ditokok dengan menyemak kertas kerja untuk di'monograf'kan ~ memaksa saya mengangkut laptop Dr Mujahid ke bilik. Lagi, diundang oleh adik-adik menyelesaikan name tag untuk perwakilan dan pelaksana Muktamar sehari dua lagi. Saya kalut menyertai RQ '07 juga. Buru-buru semuanya. Belum saya bariskan undangan lain sebagai pengisi, penulis dan pengacara :)

Saya yang rela begitu. Saya benci untuk mengatakan 'tidak'. Kerana saya ingat pesan Mak tersayang, jika ada yang meminta bantuan, ertinya, si peminta tidak terdaya melakukan sendirian dan meyakini kita yang terbaik untuk membantunya menyelesaikan perkara tersebut. Lalu, jawapan 'tidak' dari saya hanya akan meremukkan hasrat mereka.

Lagi pula, saya pasti terhutang segala ilmu, idea, kebolehan dan kudrat bila saya hanya melayan penat dan mal** saya. Sedangkan esok-esok, entahkan saya masih punya waktu untuk menggantikan masa yang terbuang entah tidak.

Entah-entah saya dijemput ajal dahulu. Siapa tahu ... kalau memang begitu.

Biarlah saya susah sementara saya masih bernyawa. Kerana saya mahu berehat di syurga nanti.

Natijahnya, saya memang letih-letai.

Penat!

Namun, semalam, saat kepenatan memuncak kerana berulang alik sekitar Haiyu 7 ke Masakin Uthman, saya menerima satu sms. Mengingatkan saya untuk adil pada diri ~ penat juga harus ada rehatnya. Saya senyum lega. Seakan-akan si penghantar sms ini sedang memerhatikan saya yang jauh dari matanya di sini. Terasa dia begitu dekat!

Kepada dia, terima kasih kerana meneguhkan semangat saya.

Saya sudah melangkah. Saya akan terus melangkah. Moga-moga langkah saya bukan separuh-separuh. Bahkan hingga hujung nyawa dan kembali ke sisi-Nya tanpa ada apa-apa hutang yang belum terlangsai kerana tidak menunaikan hak kepada mereka yang perlu.

Doakan saya ...