Sunday, September 17, 2006

yang berlalu selama ini

sudah satu minggu saya di tanahair.


8 September
Saya pulang dengan penerbangan Singapura Airlines (SIA) pada 8 September lalu. Saya bertolak dari Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA) lebih kurang jam 10.30 pagi. apa ni??? saya sedang menulis laporan ke? :P


Saya terpaksa berdiri di depan kaunter check-in hampir dua jam, gara-gara sistem komputer pada pegawai bertugas gagal berfungsi dengan baik dan boarding pass saya tidak dapat dikeluarkan. Namun alhamdulillah, saya tidak dikenakan bayaran tambahan meskipun timbangan bagasi saya melebihi had yang dibenarkan :)


9 September
Dan saya selamat tiba di Kuala Lumpur International Airport tepat jam 9.25 pagi, seperti yang dijadualkan. Sekali lagi alhamdulillah kepulangan saya ini disambut gemilang dengan kehadiran Mak, Ayah dan adik-adik saya. Dan saya sememangnya dikejutkan dengan 'perkembangan sihat' adik-adik saya, saya seakan-akan anak yang bongsu!


Kepulangan kali ini benar-benar istimewa, kerana Ayah dan Azrol mengajak kami melancong (baca: melencong) ke Genting Highland. Saya teruja hingga terlupa penat dan letih-letai saya terperuk di perut kapal seharian.

Menaiki skyway buat kali pertama dalam usia saya menjadi kenangan dan pengalaman paling menarik (setakat ini). Gerun bercampur seronok sewaktu merentasi kawasan cerun bukit menuju ke puncak. Mak saya cuma memandang ke atas. "Gayat nak tengok bawah. Takut jatuh", katanya. Kami riang mengusik dan saling bergurau sesama kami.


Saya tiba di halaman rumah, sekali lagi saya terkejut! Benarkah apa yang saya lihat? Macam Olay Total Effect - benar2 berubah! * rahsia ini untuk kejutan si dia. kalau nak tahu, sudikan jemput saya di rumah ye *

Saya disambut dengan kehadiran Tok dan hampir semua kerabat serta suku sakat saya dari sebelah Mak di rumah. Riuh dengan usikan! Cuma yang mereka gusarkan, 'mengapa saya makin susut?' Jawapan saya mudah, 'dah lama tak rasa masakan Mak.'


10 September
Saya mulakan langkah pertama - makan Pil Minda Dr Jamnul Azhar Hj Mulkan. Remind me untuk makan ubat setiap Ahad, ye ...


11 September
Hari ini, hari ulangtahun saya dan Apis. Esok, AmenTa.
'Ya Allah, Kau berkatilah usia kami selama ini. Jangan Kau jadikan ia sia-sia tanpa sebarang amal soleh dan Kau penuhilah hari-hari esok kami yang Kau anugerahkan nanti dengan iman yang bertambah dan keredhaanMu yang melimpah ruah. Terima kasih Tuhan atas nikmat ini ...'


12 September
Selamat Hari Ulangtahun AmenTa.

14 September
Nur Afiqah dan kakak saya, menjenguk saya di teratak kami. Aduh, comelnya anak saya berbaju kurung. Dia dah kembali montel seperti masa dia tinggalkan mamanya setengah tahun lalu. Untungnya saya, Eboq saya masih mengingati saya. Mulanya dia malu2, namun alhamdulillah seku jam kemudian dia sudah betah bersama dalam dukungan saya. Mama rindu benar pada Eboq!


Kakak saya yang satu itu, sudah lain. Saya enggan menebak yang bukan-bukan. Biar dia mencari masa yang sesuai untuk dirinya. Saya tahu dan faham 'polisi' rumahtangga dan kehidupan berumahtangga ini, meskipun saya belum melaluinya :)

Saya juga turut menerima tamu dari sahabat-sahabat lama saya, Eda dan Ateh yang sanggup datang meredah hujan dan tersesat mencari teratak saya dalam penat mengajar di Kolej **. Terima kasih atas kunjungan kalian. Datang lagi ye ... Usah tanya yang bukan-bukan, bikin saya pening ;)

15 September
1 Saya ke sekolah lama saya dengan beberapa hajat.
Pertama: Mahu bertemu para guru yang telah banyak menyumbang bakti dan ilmu buat saya.
Kedua: Menjenguk Andak yang sedang mengajar di sana.
Ketiga: Mengintai peluang mengajar - andai ada kekosongan dan khabarnya memang begitu.


Hajat pertama dan kedua tertunai, namun yang ketiga tertangguh. Tetapi digantikan. Saya dipelawa oleh Ustaz Azwani untuk menggantikan beliau menyampaikan tazkirah ringkas buat semua guru dan kakitangan sekolah dalam usrah semasa waktu rehat hari ini. Aduh! Saya masih belum habis menuntut! Lagi pula bakal berhadapan dengan guru2 saya yang diakui kepakaran mereka. Mampukah saya? Hati saya berbolak-balik. Namun mengenangkan pelawaan ini perlu saya terima sebagai latihan dan kurang manis untuk ditolak sedang saya tidak punya alasan untuk mengatakan tidak, akhirnya saya menerima.

Apa yang bakal saya kongsikan? Saya dicadangkan oleh Ustaz Azwani untuk berkisah seputar kehidupan kami di sana. Masa saya cuma 15 minit.

Alamak! Saya enggak betah bercakap sedikit bukan? Saya udah selalu bertele-tele bila diberi ruang berbicara. Lalu bagaimana, ya?

2 Azrol menghubungi saya, katanya Ayah sakit dan saya mesti pulang segera ke rumah. Hati saya diamuk resah yang bertindih-tindih. YA, saya sudah merasakan Ayah memang kurang sihat sedari semalam. Namun, pagi tadi melihatkan Ayah sudah bisa keluar berniaga seperti biasa, saya fikir sakitnya sudah sembuh ...

Ya Allah, Kau Maha Pemberi, berikanlah kesembuhan pada Ayahku ...

Ayah memang mengidap darah tinggi. Dan semalam, menurut Doktor, tekanan darahnya terlalu tinggi (200/120). Saya tersirap darah mendengarnya. Ya Allah, Kau lindungilah Ayahku ...

~ o O o ~
inilah sebahagian dari jadual dan diari saya. Saya sudah mula rindukan kesibukan di Kaherah. Namun saya masih belum bersedia pulang ke sana seawal ini. Saya masih perlukan masa untu diri saya.

dari hati Seri

Thursday, September 07, 2006

Menghitung Hari

BEBERAPA jam lagi saya bakal berangkat pulang ke Malaysia. Sebak sudah menjentik hati saya sejak semalam. Walaupun saya hanya pulang bercuti, sedih tetap berladung.

Semalam saya diziarahi Kak Jah dan putera puterinya di Wisma. Terharu saya! Saya yang tidak bersungguh-sungguh mengeratkan tautan hati ini antara kami ini masih punya ruang di hati mereka sekeluarga. Sungguh saya malu! Kak Jah, maafkan saya kerana cuai melunaskan hak sebagai sahabat dan adik …

Yang lebih mengharukan saya, Kak Jah bertungkus lumus menyiapkan sepasang jubah saya untuk saya pakai esok. Aduh! Alangkah malangnya Kak Jah miliki adik dan teman seperti saya. Saya sebetulnya memang sudah lama mengidamkan untuk menyarung jubah berwarna biru tua itu … Terima kasih Kak Jah.

Muna, sahabat karib saya sedang berhempas pulas menyediakan segala AJK Hewinya menghadapi Mesyuarat Tahunan Hewi tak lama lagi. Ditokok dengan sibuk menyambut kehadiran warga mahasiswi baru yang bakal meneruskan kembara perjuangan kami di sini. Muna, semoga sentiasa kuat!

Semalam, saya sempat membeli sedikit barang sebagai buah tangan untuk dibawa pulang esok. Terima kasih pada Dik An yang menemankan saya, berkejar-kejar mencari barang dan berhambat ke Rumah Melayu Abbasiah pula sejurus selepas itu. An, jasamu dikenang!

Masih ada beberapa perkara yang belum saya selesaikan sebelum pulang ini.

  • Laporan dan muhasabah – Eksekutif Penerbitan IKHLAS ’06, Silver Net KPIPM, Unit Gabungan Du’at.
  • Deraf gerak kerja Suara Hewi untuk Penolong Pengarang dan Pengarah Urusan.
  • Design kad raya sama ada untuk terbitan ATOM atau Suara Hewi.
  • Kargokan barang-barang saya dan Kak Aa.
  • Daftar keluar dari Rumah Melayu – jumpa Mdm Iman
  • Carikan buah tangan untuk ‘anak’ saya, Nur Afiqah. Ebo’, Mama rindu!

Saya sedikit penat. Mungkin kerana terkejar-kejar menyelesaikan urusan yang sengaja saya tangguhkan :p .

Apapun saya berdebar-debar untuk tiba ke tarikh 8 September 2006. Moga Allah pelihara perjalanan kami …

Untuk dia yang bakal menduduki imtihan berbetulan dengan tarikh ulangtahun saya, semoga Allah mudahkan. Pulanglah bersama kejayaan. Kau tak ku lupakan.


dari hati Seri

Monday, September 04, 2006

PILIHAN

J I K A diberikan pilihan, saya mahu membuang seluruh rasa letih dan walah demi menjunjung amanah – mengimarahkan alam buana dan mengislahnya.

Saya dibesarkan dengan mengenal ayah ibu yang tidak kenal penat membantu membela agama Allah.

Saya seakan-akan dipesan oleh Ayah,
anak-anak Ayah mesti lebih kuat berbakti demi Islam kerana kalian lebih berilmu”.

Dan seolah-olah Ibu berbisik,
Mak tak pernah rezekikan kalian apa-apa, sekalipun tangan ini yang menyuap kalian”.

Saya sungguh-sungguh mahu meneruskan kembara dakwah ini. Bukan kerana Ayah dan Ibu yang menyalakan terang di jumantara hati saya. Tetapi kerana saya mengimani bahawa tugas ini adalah amanah setiap kita persada dunia. Tugas ini adalah amanah yang tak akan dihentikan sekalipun kita berhenti. Tugas ini adalah amanah yang akan dipersoalkan.

Segalanya telah ALLAH berikan pada saya. Sewajibnya saya serahkan seluruh modal yang dipinjamkan untuk DIA yang tak pernah meminta apa-apa balasan.

Lantaran itu, saya memilih untuk berumah tangga dengan pilihan yang satu ini.


dari hati Seri

Saya dan diri saya

SAYA selalu bertanya, apa yang dapat saya bantu lagi esok? YA, saya sering mencari peluang untuk sibuk. Supaya saya rasa saya ada buat sesuatu. Bukan untuk saya. Bukan kepentingan saya.

Saya, setiap kali berbuat sesuatu, acapkali rasa dicabar. Dan setiap kali itulah saya melakukan sesuatu melebihi kadar kudrat saya. Kerana saya cuma tahu, saya mahu buktikan saya boleh dan saya mampu.

Saya, adakalanya terperangkap dalam jebak malas. Dan adakalanya itu jugalah hasil tangan saya separuh-separuh, sama seperti hati saya tatkala melakukannya. Dan ketika itu, saya bencikan diri saya yang sambil lewa bekerja.

Saya dididik, setiap hari lakukan sesuatu untuk Islam. Dan setiap hari saya pasti menyoal diri, 'adakah ini (apa-apa yang sedang saya lakukan) ada manfaat untuk Islam atau semata-mata memenuhkan kantung nafsu saya?'

Saya sentiasa mahu jadi yang terbaik, di mata semua manusia - sebagai hamba Allah (semestinya), namun saya sendiri mengecewakan diri saya. Saya gagal untuk menjadi yang terbaik walaupun untuk diri saya sendiri.

Namun, jika pernah terdetik di hati untuk berhenti, saya lekas-lekas usir dari atma. Saya punya asa, DIA punya kuasa. Saya akan terus berusaha.


dari hati Seri

Bila Disayangi

saya suka lagu ni ...

Terdengar bisikan mesra
kalimah keramat bermentera
bermulalah siang, berakhir malamku
tak akan ku jemu memanggil namamu

Tiada batasan waktu
Tiada tempat nan tertentu
di gunung, di lembah, di darat, di air
siapa pun hamba keikhlasan doa
keagungan kasih-Mu mengubah takdir

Bila ku sedari diri disayangi
langkah kaki ini semkain berani
Bila terkeliru ku ucap nama-Mu
terasa diriku kembali dipandu

Engkau Yang Pertama
Tiada Akhirnya
Aku dalam kegelapan, Engkaulah Cahaya
Izinkanlah aku menumpang di sini
di bawah naungan kasih dan sayang-Mu
ke berserah diri
dari hati Seri

Saturday, September 02, 2006

Pertama


Bismillahirrahmairrahim
Alhamdulillah, dengan izin-Nya saya bertapak juga di dunia ini...
Terima kasih Tuhan.