Tuesday, April 24, 2007

Saya bercadang mahu bercuti lagi. Kali ini lebih lama. Mungkin sebulan setengah. Mahu bercuti dan jauh dari rumah cyber ini. Kalau ada ruang dan peluang, saya akan singgah menjenguk sahaja. Mungkin sebentar sangat.

Sepeninggalan saya, jangan nakal-nakal, bermain di laman. Anjung ini pasti bersawang, tapi biarlah dulu. Nanti saya bersihkan. Insya Allah!

Kalau ada yang rajin menyiramkan tulip wabbit dan orkid landak saya, silalah. Nanti saya upahkan setandan pisang emas .. ;)

Sebelum berundur, salam imtihan. Doakan saya di kirai munajat kalian. Doakan segala yang muluk untuk saya dan kehidupan kita dunia dan akhirat.

Emm, jika ada tersalah terkasar kata dan tingkah saya yang memendungkan hati kalian, saya mohon maaf. Zahir dan batin. Saya beralah. Ya, barangkali saya yang salah. Maafkan saya.

Jumpa lagi nanti. Sayang semua!

SIAPA NURHUMAIRA MUKHTAR?

Wahai Humaira’

~ Ambillah sebahagian agamamu dari Humaira’ ini ~ al-Hadis.

Kerana mencintai isteri Rasulullah yang Baginda gelar Humaira’ ini, dan mahu meneladani segalanya tentang Saidatina Aishah RA, saya menggambil nama Humaira ini sebagai mewakili diri saya.

Nurhumaira. Satu nama yang saya pilih dengan seribu harapan, aspirasi dan azam.

Humaira ~ cinta hati Rasul Allah ini sangat pintar, hingga dinobatkan sebagai guru kepada para sahabat RA.

Humaira yang sangat sabar dan reda ketika diuji dengan hadis al-Ifki. Hingga Allah yang membebaskan maruahnya yang dipersendakan oleh Abdullah bin Ubaiy.

Humaira yang sangat dikasihi oleh Rasulullah.

Humaira yang sangat rapat dan sentiasa bersama Rasulullah.

Saya mahu seperti Humaira ini. Yang dikasihi dan disayangi Rasul. Yang sangat dihormati oleh teman dan lawan.

Nurhumaira Mukhtar.
Mukhtar ayah saya. Itu nama ayah saya di kalangan teman-teman lama dan kerabatnya dari kampong laman.

Kenapa Nurhumaira Mukhtar? Kerana inilah … (",)

Monday, April 23, 2007

Selamat Hari Lahir

... buat dia yang saya sentiasa doakan ...

Selamat Ulangtahun ke-27. Moga panjang umur dan murah rezeki. Dan semoga terus berjaya.

*makan le kek tu. saya order kat Giant depan rumah ;p*

Projek Dana Khas PAS Tambun berjaya

Johari Jaafar Sun Apr 22, 07 04:36:11 PM

IPOH, 22 April (Hrkh) - Dana Khas yang dilancarkan pada Mesyuarat Agung PAS Kawasan Tambun tahun lalu oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa, disifatkan sebagai berjaya di mana jumlah kutipan yang dapat dikumpul membanggakan.

“Pada hari ini wang Dana Khas yang telah dilancarkan setahun yang lalu kita agihkan antaranya untuk PAS Kawasan dan sumbangan kepada Sekolah Rendah Tarbiyah Islamiah (SRATI), Tanjung Rambutan.”

Demikian dinyatakan oleh Yang DiPertua PAS Tambun, Dr. Khairuddin Dato’ Abdul Malik, ketika berucap di majlis mesyuarat agung PAS kawasan berkenaan, kelmarin.

Beliau melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana dana khasnya yang dilancarkan itu berjaya.

“PAS Kawasan Tambun turut berbangga dengan projek ekonomi yang kita laksana sekarang ini, Pasar Mini Qaswa telah berjaya memberikan dividen kepada ahli-ahlinya serta telah dapat mengerluarkan zakat,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, PAS Kawasan Tambun juga merupakan pemberi infa’ wajib terbesar kepada PAS Negeri Perak, iaitu sebanyak RM9,000.00, walau pun jumlah keahlian PAS Kawasan Tambun berada di tangga ke-8 daripada seluruh PAS kawasan di negeri ini.

“Dalam masa sama kita terus mempertingkat pengisian ilmu melalui Majlis Ijtima’ yang bergerak dari satu cawangan ke cawangan yang lain. Syabas saya ucapkan kepada seluruh pimpinan PAS cawangan yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi,” katanya lagi.

“Pencapaian yang kita perolehi sekarang ini dilihat baru di sekitar 50–60 peratus pembabitan kita dalam parti, alangkah baiknya jika kita dapat mempertingkatkan gerak kerja kita menjadi 80-90 peratus, saya pasti kita mampu dan kejayaan yang cemerlang pasti dapat kita lakukan,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan perwakilan cawangan dan ahli agar tidak menjadi hanya pemerhati dan pengkritik sahaja, sebaliknya mereka perlu menjadi pencetus kepada perubahan.

“Kita jangan sibuk mencari kesalahan orang lain, sebaliknya kita bekerja secara berpasukan bagi memastikan parti mencapai kejayaan,” katanya lagi.

Majlis perasmian Mesyuarat Agung PAS Kawasan Tambun telah dilakukan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahudin Ayub. - mns

saja menempel 2


Saturday, April 21, 2007

Menjelang Muktamar: Pemangku YDP dipilih YDP Tambun, YDP Parit kekal

Johari Jaffar Fri Apr 20, 07 09:44:31 AM

IPOH, 19 April (Hrkh) – Pemangku Yang DiPertua (YDP) PAS Kawasan Tambun, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Dr Khairuddin Dato’ Abdul Malik, dipilih sebagai Yang DiPertua yang baru dalam Mesyuarat Agung PAS kawasan berkenaan hari ini.

Manakala Timbalan YDP dijawat oleh Ustaz Lukmanul Hakim dan Naib YDP pula diamanahkan kepada Ustaz Wan Ahmad Termizi iaitu bekas aktivis Abim Perak.

Mesyuarat agung kawasan berkenaan telah dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahudin Ayub.

Sebelum itu Dewan Pemuda PAS Kawasan Tambun mendapat ketuanya yang baru setelah calon tunggal bagi merebut jawatan itu, Zairul Azrun Zainal Abidin, menang tanpa bertanding.

Beliau yang lulusan daripada Universiti Teknologi Malaysia dalam bidang Sains Komputer, kini berniaga sendiri, manakala ayahnya seorang aktivis PAS Cawangan Manjoi.

Ketika ditemui, beliau melahirkan rasa syukur sambil menyifatkan kemenangan tanpa bertanding sebagai satu amanah yang perlu dipikulnya.

“Pemuda Tambun meletakkan sasaran 200 orang ahli pemuda hingga akhir tahun ini, kita akan bekerja keras bagi mempastikan sasaran itu tercapai,” katanya.

Menurut beliau, Pemuda Tambun menggalakkan ahlinya mencari ilmu di mana sahaja di kuliah-kuliah agama tetapi dalam masa yang sama mereka dingatkan agar tidak mengenepikan program parti.

Manakala Ketua Dewan Muslimat Tambun kekal disandang oleh Zukhairah Dato’ Ghazali, iaitu adik kepada Dr Lo’Lo Dato’ Ghazali.


YDP Parit kekal

Sementara itu, Ustaz Hassan Johar, kekal sebagai Yang DiPertua (YDP) Kawasan Parit, manakala timbalannya juga turut kekal dalam pemilihan dan mesyuarat agung PAS kawasan Parit baru-baru ini.

Manakala Naib YDP menyaksikan bekas Ketua Penerangan kawasan, yang juga seorang guru dipilih dalam satu pertandingan satu lawan satu. Naib YDP sebelum ini, Dr Faizul Fadzli Mohamad, tewas kepada bekas Ketua Penerangan PAS Parit.

Ketua Dewan Pemuda PAS Parit kekal dipegang oleh Ustaz Mohamad Isme Mohd Taib, yang juga bekas Calon PAS Parlimen Parit. Turut kekal ialah Ketua Dewan Muslimat, yang disandang oleh Dr Najihatul Solihah Ahmad. - mks.

~oOo~
Mak ada sms saya bulan lepas,
... sori lambat balas. tadi sibuk mesyuarat agung kawasan. ayah jadi ketua cawangan lagi ...
Ayah saya dah berbelas tahun ditabalkan sebagai Ketua Cawangan, sejak Pas cawangan kami ditubuhkan. Kenapa?
Sebab masih tiada pengganti. Ayah saya sedia menyerahkan jawatan itu kepada yang lebih layak, tapi tiada siapa yang mahu.
Saya rasa tercabar. Saya segan. Di kawasan saya bukan tiada abna' al-Azhar. Ada. Ramai! Tetapi ...?
Saya no komen. Malas nak cakap.
Muslimat pun sama. Lagi la ... tak payah cakap pun tak apa.
Apapun, saya istighfar, kalau apa yang saya leterkan ini kerana nafsu. Dan saya mohon hidayah dan tawfiq Allah untuk istiqamah. Hidup mati saya, hanya milik Allah dan untuk-Nya!

Nazam Berpantun

Kait berkait akar beringin,
Beringin ada di luar kota;
Hendakku pesan kepada angin,
Sayang angin tak pandai berkata.

Penatlah saya menanam padi,
Sayang keladi di pengat juga;
Penatlah saya menahan hati,
Di dalam hati terkenang juga.




Petang-petang bunyi lesung,
Orang menumbuk padi jawi;
Petang-petang ingat kampung,
Hendak balik orang tak bagi.

Berlari-lari bukannya kijang,
Pandan tersandar di ujungnya;
Bernyanyi-nyanyi bukannya riang,
Badan tersedar pada untungnya.

Halusnya lenggok bahasa pantun tua ... Sangat indah!

Wednesday, April 18, 2007

... bercuti ...

... CATATAN KEMBARA KE ... ",

Iskandariah - Saya jejak lagi buat kali ke berapa entah. Dah lupa.

Saya pergi tanpa perancangan awal. Keputusan mengejut ini sebab saya nak lepaskan segala walah di laut Medd.

Bukanlah terbeban apa, cuma alasan saya. Sebetulnya mahu berehat sebentar dari ripuh kota Kaherah yang memenatkan hati, akal dan jasad saya.

Semalam, hari ini dan esok.

Petang esok, saya akan berada semula di Kaherah ~ Insya Allah, biiznillah.

~*~o0o~*~
Selamba sahaja saya tinggalkan tugas yang bertambun dan buku yang tak berbaca. Hp saya dipenuhi dengan sms dan missed calls yang menuntut saya :

  • "Dik, bila nak mula discussion?"
  • ajar tayarat Tahun 3
  • "akak, kelas Tauhid tahun 1 ada tak minggu ni?"

hmm, saya penat lagi ... Ingatkan tak sini dapat rehat ...

Ye lah, ye lah, esok saya balik. Nanti saya tunaikan hajat semua, insya Allah. Jangan bimbang. Saya tak lari dah. (saya lari ke? Taklah. Naik keratapi)

*ini bukan marah atau geram. sekadar meluah. saya jadi pelik dengan diri sendiri kali ini. mengapa mesti meluahkan ...?*

Oh ya, sekarang saya dalam Bibliotheca Alexandrina. Sambil temankan kak Raden cari bahan, saya tumpang sekaki masukkan n3. Bijak, kan?

Sudah berbayar LE 2, maka harus guna sampai maksima! :)

Tuesday, April 17, 2007

:: dari filem ::

Tuah : Setapak melangkah, dua langkah ingatan kanda pada dinda.
Puteri : Adinda bersumpah, jikalau kekanda tidak kembali, adinda akan menyusul kekanda. Menginjak pada tanah yang sama, bernafas pada udara yang sama.

Tuah : Layar berbelok-belok, sauh dibongkar di tempat tenang,
Yang tinggal hati tak elok, yang pergi hati tak tenang. Bila sampai waktu kita akan bersama.


Cinta datang tanpa diundang
Seumur masa tercipta
Ia datang bagai sakti, bagai
menyaksi mekar kembang pagi

Cinta datang dengan senyuman
Panasnya membakar mentari
Wajah yang tergambar tak akan terpudar
dari hati insan yang fana ini

Tak mungkin mentari akan terus sembunyi
Tiada sempadan tak bisa kulewati

Cinta ini hakikatnya
aku serahkan jiwa dan ragaku
Menantimu walau sengsara
Jika ini ketentuan-Nya

Cinta ini hakikatnya
aku serahkan jiwa dan raga
Jika ini ketentuan-Nya
Kau kan jadi milikku jua


Bagaikan Sakti
Siti Nurhaliza dan M Nasir

Saturday, April 14, 2007

Khabar dari kampung

Pagi ini saya berbalas-balas mesej lagi dengan Mak. Tok saya sakit. Jantungnya membengkak, baru sahaja keluar dari Hospital Batu Gajah, dan sekarang ada di rumah Mak.

Menurut doktor yang merawat, Tok kena kurangkan minum.

Bagi saya itu bukan soalnya. Soalnya ialah, Ayah. Dulu, bila Tok sakit paru-paru berair dan terpaksa menjalani pembedahan, Ayah saya berpantang minum air banyak.

Ayah bukan orang yang sebegitu. Ayah suka minum. Ayah memang banyak minum. Itu semua orang tahu. Sudahnya, Ayah jatuh sakit. Demam, langsung tekanan darahnya naik.

Tiga malam jugalah Ayah di hospital. Kami sekeluarga jadi terlampau risau. Tapi, alhamdulillah, selepas dirawat, Ayah mula mengamalkan banyak minum semula.

Hari ini, saya kembali bimbang, kalau Ayah berpantang lagi sekali.

Saya bukan membezakan Ayah dengan Tok. Dua-duanya saya sayang. Sayang sangat! Tapi ada satu fakta yang semua orang sedar, Tok tak sedegil Ayah untuk berubat …

YA ALLAH, Kau sembuhkanlah kedua-duanya.
*Ampun … saya bukan mahu memburukkan. Saya teramat bimbang. Ya Allah, panjangkan umur mereka yang aku sayangi, dalam rahmat dan pemeliharaan-Mu *

Wednesday, April 11, 2007

DOMINASI WANITA DALAM KEPIMPINAN

Oleh Suzana Mohamed Ali

‘Benar kata pujangga, tangan yang menghayun buaian bias menggegar pelusuk dunia’.

Umumnya, dunia sering mengentengkan keupayaan dan kredibiliti wanita dalam melunaskan tanggungjawab dan hak dalam masyarakat.

Mentaliti umat sedunia masih dikekang dengan fikrah ~ gelanggang wanita adalah rumahtangga. Dunia wanita adalah rakyat dalam dan keliling rumahnya sahaja. Dan hanya itulah!

Dunia politik yang dikatakan penuh dengan sepak terajang, kekerasan, kekuasaan, kelicikan dan tipu daya pula hanya sesuai menjadi milik kaum lelaki, selain berpandangan bahawa politik tiada kaitannya dengan Islam.

Kepimpinan, hakikatnya adalah hak dan tanggungjawab setiap individu. Lelaki mahupun wanita. Baik tua, apatah lagi yang muda.

Atas kesedaran inilah, dunia kini menyaksikan ramai di kalangan wanita mula berani menyinsing lengan untuk terjun bersama dalam arena pentadbiran dan pemerintahan.

Senario ini bukanlah satu perkara baru, bahkan telah wujud sejak sejarah belum mencatatkan sejarahnya lagi. Ratu Balqis misalnya, antara nama wanita yang sebaris Adam berkecimpungan dalam kancah pemerintahan. Juga antara contoh wanita yang berjiwa waja, tekal dalam dunia politik.

Apabila muncul nama-nama Gloria Macapagal Arroyo (Filipina), Begum Khaleda Zia (Bangladesh), Begum Benazir Bhutto (Pakistan), Megawati Soekarnoputri (Indonesia), Margerat Thatcher (Britain), Sonia Gandhi (India), Chandrika Kumaratunga (Sri Lanka), Aung San Suu-Kyi (Myanmar) di pentas politik antarabangsa, dunia mula mengisyaratkan berbagai signifikan.

Rata-ratanya mempertaruhkan sejauh mana figura-figura ini mampu bertahan dalam arus yang selama ini dipelopori oleh lelaki. Secara tidak langsung, kenyataan ini menaja satu pemikiran yang sedikit pesimis terhadap kewibawaan wanita!


*bersambung*

Tuesday, April 10, 2007

Si Kecil Itu

Oleh Suzana Mohamed Ali

Assalamualaikum WBT

Semalam, saya ralit memerhatikan keletah seorang anak kecil bermain bersama ibunya. Dia baru bertatih. Masih teragak-agak untuk melangkah. Dia terjatuh lalu terbit tangisan. Namun, tidak lama. Sejenak dipujuk oleh si ibu, dia diam dan mencuba untuk melangkah sekali lagi. Dua kali. Dan seterusnya.

Senario biasa seperti itu seakan momentum yang mengasak untuk saya mencantum idea dan langsung membentuk satu tamsilan.

Bagaimana ya? Anak kecil yang masih belum memiliki kewarasan akal yang sempurna tetapi mempunyai swadaya. Dia belum mampu memanipulasi mindanya, tetapi sudah kenal erti cekal dan sabar.

Mengapa anak sekecil itu tidak diajar untuk mengalah dan berputus asa? Adakah kerana dia masih kecil, masih belum benar-benar mengenal dunia atau kerana dia …?

Soal saya, mengapa si kecil itu putus asanya sifar? Bagaimana dia boleh berusaha dengan kadar yang infiniti untuk bertatih walau entah berapa kali jatuh dan tersembam?

Saya membandingkan si kecil itu dengan diri saya. Aneh! Saya juga telah melalui zaman itu dan ini bermakna satu ketika dahulu saya juga pernah berswadaya sepertinya. Tetapi kenapa tidak sekarang?

Mengapa sifat seperti si kecil itu sudah lekang dari diri saya? Adakah semakin saya mengenal dunia, semakin saya jahil rasa? Atau saya semasa kecil memang tidak pernah memiliki sifat itu?

Saya pernah dan sering bergelut dengan rasa kontang semangat. Saya berdepan dengan inferiority complex. Sedangkan saya secara normalnya sudah cukup dewasa untuk melantik akal menggantikan perasaan. Sedangkan saya tahu bahawa istilah-istilah sebegitu tidak selayaknya saya biarkan berjejeran menyekat kembara ilmu dan perjuangan ini.

Mandala minda saya terus betah ditujah tamsilan. Anak kecil it uterus mengatur usaha walaupun langkahnya tersekat dan teragak-agak. Impiannya Cuma satu. Mahu berlari seperti rakan sepermainan yang lain.

Sesekali tertanya, bagaimana si kecil itu tidak luntur azamnya? Tidak pudar tekadnya? Dan sesekali juga saya bagai dibisikkan jawapan bahawa si kecil itu kental kerana punya ibu yang mewah dengan stimulus.

Lalu, saya toleh sekeliling saya. Barangkali buat masa ini, itu antara hujah yang paling mapan. Saya tidak punya inspirasi. Walaupun saya juga punyai aspirasi. Justeru, saya merangka peta hidup saya.

Sekalipun tanpa idola di sisi, saya mesti terus berlari demi hasrat melihat impian saya menjelma di mayapada. Meskipun saya akan kerap tersadung duri jalanan dek kelelahan, terkapar dek jemu apatah lagi ditimpa dahan ujian; janji saya pada diri, untuk terus mengungguli harapan ini.

Saya yang mencatur hari muka saya. Benar kata orang, kita tak mati dek sumpah, tak hidup dek doa.

Saya yakin, sebenarnya roh anak kecil itu turut masih mengalir dalam jasad saya. Cuma alirannya barangkali tersumbat di selirat nafsu. Saya mesti membedah siasat nurani saya supaya semangat itu kembali mengitari diri saya. Kerana saya yakin bahawa saya punya potensi dan upaya untuk menjadi lebih hebat.

Keyakinan ini jugalah yang saya mahu kalian rasai. Kerana kita juga telah melalui alam itu dan kita wajar mengekalkannya.

Kita semua dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan sebagai anugerah untuk kita garap menjadi atom izzah. Bukan untuk kedaulatan peribadi, tetapi demi keunggulan Islam, ad-Din yang hakiki.

Sememangnya ia sulit untuk kita lestarikan, tetapi kita letih melakukan kebaikan, keletihan akan hilang. Tetapi kebaikan itu akan terus kekal. Sebaliknya, kita tenang menggomol mungkar, ketenangan akan pergi. Yang kekal dosa dan sesal.

Terakhir, terima kasih atas pengorbanan, sumbangan dan sokongan semua. Buat kalian yang mempunyai jiwa dan nurani, salam juang. Teruskan stimulus ini … Wassalam.


Jumaat, Mac 04
02.34 am


Diterbitkan dalam Suara Kampus Edisi Perak ~ Atom
Bil 11, September Oktober 2004

Selamat Hari Warga Tua Muna!


Muna
Selamat Panjang Umur
Moga kehidupan yang dilalui sangat bererti, demi Islam dan kebahagiaan dua daerah.
Saya sayang sama kamu!

Sunday, April 08, 2007

Aku berdoa lagi ...

YA RABBI...


Aku berdoa untuk seorang lelaki, yang akan menjadi sebahagian daripada hidupku.


Seorang lelaki yang sungguh mencintai-MU lebih dari segala sesuatu.
Seorang lelaki yang akan meletakkanku pada kedudukan kedua di hatinya setelah Engkau.
Seorang lelaki yang hidup bukan untuk dirinya sendiri tetapi untuk-MU.
Seorang lelaki yang mempunyai sekeping hati yang sungguh mencintai dan dahaga akan Engkau dan memiliki keinginan untuk menauladani sifat-sifat agung-Mu.
Seorang lelaki yang mengetahui bagi siapa dan untuk apa dia hidup,
sehingga hidupnya tidaklah sia-sia.
Seorang lelaki yang memiliki hati yang bijak bukan hanya sekadar otak yang cerdas.
Seorang lelaki yang tidak hanya mencintaiku tetapi juga menghormati aku.
Seorang lelaki yang tidak hanya memujaku tetapi dapat juga menasihati ketika aku berbuat salah.
Seorang lelaki yang mencintaiku bukan kerana kecantikanku tetapi kerana hatiku.
Seorang lelaki yang dapat menjadi sahabat terbaikku dalam tiap waktu dan situasi.
Seorang lelaki yang dapat membuatku berasa sebagai seorang wanita ketika berada di sisinya.
Seorang lelaki yang memerlukan sokonganku sebagai peneguhnya.
Seorang lelaki yang memerlukan doaku untuk kehidupannya.
Seorang lelaki yang memerlukan senyumanku untuk mengatasi kesedihannya.
Seorang lelaki yang memerlukan diriku untuk membuat hidupnya menjadi sempurna.


Dan aku juga meminta ...

Buatlah aku menjadi seorang perempuan yang dapat membuat lelaki itu bangga.
Berikan aku sekeping hati yang sungguh mencintai-MU, sehingga aku
dapat mencintainya dengan cinta-MU, bukan mencintainya dengan sekadar cintaku.
Berikanlah sifat-MU yang lembut sehingga kecantikanku datang dari-MU bukan dari luar diriku.
Berilah aku tangan-MU sehingga aku selalu mampu berdoa untuknya.


Berikanlah aku penglihatan-MU sehingga aku dapat melihat banyak hal baik dalam dirinya dan bukan hal buruk saja.
Berikan aku mulut-MU yang penuh dengan kata-kata kebijaksanaan-MU dan pemberi semangat, sehingga aku dapat mendukungnya setiap hari, dan aku dapat tersenyum padanya setiap pagi.

Dan bilamana akhirnya kami (telah) bertemu, aku berharap kami berdua dapat mengatakan,

''Betapa besarnya Engkau kerana telah memberikan kepadaku seseorang yang dapat membuat hidupku menjadi sempurna.''

Aku mengetahui bahawa Engkau menginginkan kami bertemu pada waktu yang tepat dan Engkau akan membuat segala sesuatunya indah pada waktu yang Kau tentukan.

Saturday, April 07, 2007

sari berita penting

(1)
Adik saya Amin konvo esok. Kat UTP, Seri Iskandar. Dia lepasan IKM Lumut.

Amin, tahniah. Kak tumpang gembira untuk adik kak yang sorang ni. Kak tahu Amin kuat semangat. Kak yakin Amin boleh pergi lebih jauh dari pencapaian hari ini.

Amin, Kak dan Abang pun belum konvo lagi. Kali ni nampak macam kak yang terlewat ... :)

(2)
Kakak saya, Nasuha akan terbang semula ke sini awal Mei ini. Yang menggembirakan saya, Nur Afiqah pun ikut. Boq, mama rindu nak cium pipimu!

Sekarang saya kena berusaha cari rumah untuk kakak. Dan saya akan berpindah sama. Arma? Masih DAP ~ di atas pagar .. :) Tapi dia saya dah tahu jawapannya ;>

(3)
Notebook Acer Aspire 3050 dah jadi milik sahabat saya Muna. Tahniah. Dan saya boleh menumpang .. ;)

Memang banyak yang kami rancang hingga keputusan membeli laptop terpaksa kami buat. Semuanya untuk amal lillah, insya Allah. Moga Allah menggantikannya ...

Muna, buang ragumu jauh2. Allah sudah berjanji untuk membeli dan membayarnya.

(4)
Nak buat gathering dengan kawan2 batch kami Ahad ni. Harap-harap jadilah ...

(5)
Exam dah terlalu karib. Saya belum sedia!!
('_')

Mak berpesan lagi …


Mak hantar sms pada saya, dengan satu pesanan yang memaksa akal saya fikirkan.

“Batu permata tidak akan tergilap tanpa geseran. Begitu juga manusia. Tiada kehidupan yang sempurna tanpa percubaan.”
Saya masih memikirkan makna terselit di sebalik kata-kata hikmah yang Mak kirimkan melalui sms itu. Ada yang mahu Mak katakan pada saya. Tapi apa dia?

Friday, April 06, 2007

Suka pantun ...

PANTUN dalam lagu.

Ini memang antara kegemaran saya. Diksi dalam pantun sangat indah dan teratur. Saya mengagumi kehalusan bahasa ibunda terutamanya dalam laras begini ...

Berdendang hamba nak berdendang
Hai sepantun kitalah bersama
Sama rentak gendang bertingkah
Tapi tak sama alun suara

Berdendang hamba nak berdendang
Hai senandung nak dara merindu
Alun hamba sekadar lalu
Tidak sedikit menyentuh di hati

Mana kasih sehangat mentari
Mana cinta yang semanis dulu
Mana janji bak tersimpul tali
Mana budi yang sebaik laku

Jauh hamba rindu hambalah dirindu tuan
Bila dekat mengapa diam sahaja
Kalau sudah dibenci hamba dibenci tuan
Lagu berkasih cinta terpilih
Layu pagi seruas jari

Berdendang hamba nak berdendang
Hai sepantun kasih tak sudah
Mengenang bukanlah mengenang
Ingin mencari di mana silapnya

Thursday, April 05, 2007

Maulid Ar-Rasul




MAULIDURRASUL
12 Rabiul Awwal saban tahun, kita terpanggil mengingati tarikh bersejarah ini. Tapi, hanya untuk dikenang2 sahajakah? Kerana untuk dikenangkah Baginda dilahirkan?


Allahumma solli 'ala saidina Muhammad wa 'ala alihi wa sahbihi ajma'in

Dedikasi Hari Lahir Mak




Mak memang seorang yang sangat istimewa dalam hidup saya, ayah dan adik-adik. Kalau orang lain, mungkin menjadikan insan lain sebagai idola, tapi bagi saya, Mak dan Ayah adalah inspirasi utama.

Bercerita tentang Mak membuatkan hati saya segar dengan rindu dan aspirasi. Mak menjadikan saya rasa dihargai dan diperlukan.

Satu kisah yang paling saya tak akan lupakan langsung tentang Mak ~ semangat dan tawakal yang total dalam lestari perjuangan.

Mak saya kakitangan kerajaan, sejak lebih kurang 30 tahun lalu. Penglibatan Mak dalam gerakan Islam memang diketahui oleh pihak atasan. Dek kerana itu, Mak dipanggil oleh ketuanya.

Di bilik Tuan ****, sebaik sahaja Mak melangkah masuk, Tuan **** mengucapkan tahniah dengan senyuman. Kemudian si tuan tadi menyambung kalamnya dengan memberikan Mak saya pilihan, ditukarkan ke cawangan lain atau letak jawatan dalam Parti.

Jawapan Mak saya ringkas. "Tuan, kalau rezeki saya di tangan Tuan, buatlah. Tapi kalau rezeki saya di tangan Tuhan, belum tentu lagi."

Tuan **** diam. Mak keluar dari bilik tersebut. Hingga hari ini, Mak saya masih bekerja di situ dan telah menerima Anugerah Khidmat Cemerlang.

Ini cerita biasa. Tapi bagi saya sangat luar biasa. Kerana Mak cuma orang biasa. Tanpa pernah mendapat pendidikan agama secara formal, tapi kecekalan Mak membela agama Tauhid yang dibenci oleh segala tuan ini amat luar biasa.

Saya malu kalau saya tewas pada Mak dan Ayah. Mereka sangat luar biasa bagus dan hebat.

Mak, hanya Allah yang layak menganugerahkan Mak segala kebaikan dunia dan akhirat. Ampunkan anakmu ini.

Mak, sesungguhnya, kami sangat menyayangi Mak...

Tuesday, April 03, 2007

Antara Aqidah dan Riddah

Oleh Nurhumaira Mukhtar


PRAKATA
Dengan Nama Allah, saya menulis dan membaca. Dengan bimbingan Rasulullah SAW, saya meneruskan kehidupan hingga saya dibangkitkan.


PERTAMA
Manusia sejak awal kewujudannya di muka bumi ini lagi sudah mengimani wujudnya tuhan yang mentadbir alam sejagat ini. Sepanjang perjalanan sejarah, manusia sentiasa mencari siapakah tuhan itu. Socrates dalam falsafah di zamannya menyakini bahawa alam ini ada pencipta, tetapi beliau gagal menemui siapakah ‘pencipta’ yang dimaksudkan.

Justeru, jika dibelek lagi lipatan sejarah, kita akan dapati manusia zaman lampau telah melalui proses panjang dalam mencari tuhan dan hakikat ketuhanan. Manusia dalam tamadun awal, misalnya, mengamalkan kepercayaan polytheistic atau banyak Tuhan.

Wujud juga selepas itu kepercayaan yang mengatakan alam ini tercipta secara tiba-tiba dan mengejut. Dalam kata lain, kepercayaan ini menafikan kewujudan tuhan di sebalik penciptaan. Istilah hari ini mengklasifikasikan mereka dengan nama atheist.

Sejarah panjang pencarian itu akhirnya menemui jawapan, dengan kedatangan Islam. Islam memperkenalkan manusia sejagat kepada Tuhan yang mereka cari-cari selama ini. Islam mengajarkan manusia seantero alam hakikat Tuhan Yang Esa. Dia tunggal dan Maha Berkuasa hingga tidak memerlukan sesiapa pun untuk mewujudkan-Nya. Maha Suci Allah dari segala sifat hamba dan makhluk.

Puaka kegelapan minda manusia yang teraba-raba mencari sesuatu untuk dipegang dan diyakini tanpa ragu telah diterang suluhkan oleh Islam.

Penemuan ini merupakan kejutan bagi mereka yang mengimani poly tuhan. Ia juga menjadi kegemparan bagi mereka yang mengingkari kewujudan tuhan. Lantaran itu, penerimaan mereka terhadap kenyataan baru ini berbeza dan berbagai-bagai.

Ada yang percaya dan terus meyakininya. Ada yang bertambah sesat dan berpaling dari kebenaran ini. Ada yang masih berpegang dengan kepercayaan tinggalan nenek moyang mereka turun temurun.


KEDUA
Islam ke tanah Melayu bukanlah suatu perkara baru dalam pengetahuan kita. Sejarah menceritakan kepada kita bahawa pedagang-pedagang Arab telah sampai ke kepulauan Melayu di terutamanya di zaman kesultanan Melayu Melaka.

Hakikatnya, padagang Arab tersebut bukanlah sembarangan utusan hingga mampu mengislamkan Sultan Melaka dan sejumlah besar rakyat ketika itu. Pastilah mereka da’ie ilallah yang diutus oleh Kerajaan Uthmaniah untuk menyebarkan ajaran Tauhid ini ke serata dunia!

Dan sudah pasti jugalah mereka bukan sekadar membiarkan umat yang mereka ajarkan kalimah Tauhid ini hanya sekadar fasih mengucapkan kalimah lailaha illallah. Jika sekadar itu sahaja peranan mereka, masakan berdirinya hukum Islam dalam perlembagaan Melaka, Terengganu, Perak, Acheh, Perlak dan beberapa negeri lagi di peta lama Kepulauan Melayu.

Pastilah juga bukan perkara mudah bagi pemerintah negeri-negeri tersebut untuk melaksanakan hukuman Islam apabila jiwa rakyatnya sedikit pun tidak memahami dan menghayati falsafah kanun yang mereka wartakan. Nyata, rakyat Melayu ketika itu benar-benar mengenal Islam hingga rela hati mendaulatkan syariat Allah tanpa berbantah-bantah.

Maka, dek kerana megahnya mereka mempertahan dan meninggikan kalimah Allah itulah Barat dari segenap penjuru berlumba-lumba datang berlabuh ke perairan Melayu ini, berkapal-kapal perang.

Seisi kapal yang datang dari penjuru berbeza (Belanda, Portugis, Inggeris) mengisytiharkan pendirian yang sama ~ mahu mendagangkan rempah dari Timur ke pasaran Barat. Menurut mereka, masyarakat di barat di masa itu sudah terliur sangat untuk merasa rempah dari Timur. Terpukau pula orang Melayu ketika itu, dipuji keenakan menu Melayu.

Rempah tidak pernah sampai ke Barat, tetapi dahat bertaburan di serata alam Melayu. Itulah keuntungan perdagangan antarabangsa lalu.


KETIGA
Kisah Satu: Seorang anak dilahirkan dari rahim ibu Muslimah dan di’bin’kan pada ayahnya Muslim. Menjejak usianya dua dekad, dia mula gusar memikirkan payahnya menjadi Muslim lantaran terpaksa itu ini dan terhalang begitu begini.

Dia, lalu nekad mahu meringankan beban hidupnya dan memilih untuk hidup bebas dalam agama dahat. Baginya mudah sangat untuk memahami ketuhanan Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Suci sebagai Tuhan Yang Satu. Lagi pula, tuhan di dahat itu sangat memahami. Tidak mengongkong itu ini. Bebas.

Dan dia rela mengimaninya. Dia rela hilang ibu dan ayahnya, demi Tuhan yang lebih memahaminya.

Kisah Dua: Seorang manusia yang penuh dengan kemanusiaannya mendabik dada menyatakan imannya berulang-ulang di khalayak umum. Iya, dia dipercayai.

Dia mengajarkan kepada manusia umumnya betapa Islam ini sangat fleksibel dan relevan. Islam ini boleh diubah-ubah mengikut zaman dan kemampuan. Islam ini sangat memudahkan dan bukan menyusahkan. Islam ini yang di hati bukan yang dizahirkan. Kata-katanya didengari.

Dia bercerita lagi, Islam hari ini tidak perlu berlebih-lebih. Jika terlebih-lebih, kita bimbang akan dikatakan lebih Islam dari Arab yang merupakan bangsa Nabi. Maka, kita harus bersikap wasatiah.

Tambah pula dibimbangi Barat akan mengecam kita, jika kita dilihat Muslim secara total. Dan kata-katanya ini juga diiyakan.

Kisah Tiga: Sebagai Muslim, kita diajar untuk tidak menunjuk-nunjuk. Itu riya’ dan ia adalah syirik yang paling besar. Selagi kita tahu apa yang kita lakukan tidak bersalahan dari undang-undang, maka kita bebas berbuat apa sahaja. Islam mengiktirafkan kebebasan individu.

Tidak perlu kita mempamerkan Islam kita. Kerana ini menyalahi disiplin masyarakat dan ia termasuk dalam perkara syirik yang Allah benci. Bukankah Muslim itu perlu tawaduk?


PENUTUP
Islam adalah aqidah yang sangat padu. Aqidah ertinya pegangan atau simpulan. Dek kerana teguhnya ajaran tauhid inilah, maka ia tetap wujud dan survive sekalipun umatnya bermacam-macam corak pemikiran.

Sesungguhnya amat benarlah, Islam ini adalah milik Allah. Sedikit pun Islam tidak memerlukan umat seperti kita (jika kita kufur dalam iman) untuk terus menerangi bumi ini. Islam ini ada pemiliknya. Dan cukuplah Allah sahaja sebagai pemelihara aqidah ini.

Soalan yang wajib kita Tanya diri kita, siapakah kita jika Allah buang kita dari menjadi hamba-Nya? Siapakah kita jika bukan Islam menjadi aqidah kita? Adakah Islam akan lenyap dari dunia ini jika kita berdiam diri menyepi dari dakwah? Adakah kita akan kembali mulia tanpa Islam sebagai aqidah?

Penulis meninggalkan sekalian pembaca dengan coretan terakhir berikut:


“(Setelah Nabi Soleh memberi amaran) lalu mereka mendustakannya serta menyembelih unta itu. Dengan sebab dosa mereka, maka Tuhan menimpakan mereka dengan azab yang membinasakan serta Ia meratakan azab itu meliputi mereka (sehingga punah-ranah semuanya). Dan Allah tidak hiraukan kesudahan (mereka) yang demikian, (kerana itu balasan yang adil)”
(Surah al-Syams: 14 dan 15)

“Oleh itu, janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan orang yang berpaling dari pengajaran Kami, dan tidak mahu melainkan kehidupan dunia semata-mata”
(An-Najm: 29)

Dan terakhirnya, saya petik kalam Saidina Umar al-Khattab RA:

“Kita adalah (satu) kaum yang Allah muliakan dengan Islam. (Kemudian) barangsiapa yang mencari kemuliaan selain dari yang telah Allah muliakan, maka Allah akan menghinanya”.

Antara aqidah dan riddah, pemisahnya sangat nyata jika kita mahu berfikir!

*Labels: Diterbitkan oleh buletin Seruan Dakwah Rumah Melayu Abbasiyah*

Sunday, April 01, 2007

i do


memang masa tak pernah minta dihargai.
tetapi kitalah yang mesti menghargainya.

masa adalah usia
~ ini pesan almarhum guru saya.
*al-Fatihah buat Allahyarham Ustaz Ramli*

... reminder ...

.. Happy Becoming Birthday ..

04~04 : Birthday Mak
05~04 : Birthday Adik
10~04 : Birthday Muna
23~04 : Birthday dia