‘Benar kata pujangga, tangan yang menghayun buaian bias menggegar pelusuk dunia’.
Umumnya, dunia sering mengentengkan keupayaan dan kredibiliti wanita dalam melunaskan tanggungjawab dan hak dalam masyarakat.
Mentaliti umat sedunia masih dikekang dengan fikrah ~ gelanggang wanita adalah rumahtangga. Dunia wanita adalah rakyat dalam dan keliling rumahnya sahaja. Dan hanya itulah!
Dunia politik yang dikatakan penuh dengan sepak terajang, kekerasan, kekuasaan, kelicikan dan tipu daya pula hanya sesuai menjadi milik kaum lelaki, selain berpandangan bahawa politik tiada kaitannya dengan Islam.
Kepimpinan, hakikatnya adalah hak dan tanggungjawab setiap individu. Lelaki mahupun wanita. Baik tua, apatah lagi yang muda.
Atas kesedaran inilah, dunia kini menyaksikan ramai di kalangan wanita mula berani menyinsing lengan untuk terjun bersama dalam arena pentadbiran dan pemerintahan.
Senario ini bukanlah satu perkara baru, bahkan telah wujud sejak sejarah belum mencatatkan sejarahnya lagi. Ratu Balqis misalnya, antara nama wanita yang sebaris Adam berkecimpungan dalam kancah pemerintahan. Juga antara contoh wanita yang berjiwa waja, tekal dalam dunia politik.
Apabila muncul nama-nama Gloria Macapagal Arroyo (Filipina), Begum Khaleda Zia (Bangladesh), Begum Benazir Bhutto (Pakistan), Megawati Soekarnoputri (Indonesia), Margerat Thatcher (Britain), Sonia Gandhi (India), Chandrika Kumaratunga (Sri Lanka), Aung San Suu-Kyi (Myanmar) di pentas politik antarabangsa, dunia mula mengisyaratkan berbagai signifikan.
Rata-ratanya mempertaruhkan sejauh mana figura-figura ini mampu bertahan dalam arus yang selama ini dipelopori oleh lelaki. Secara tidak langsung, kenyataan ini menaja satu pemikiran yang sedikit pesimis terhadap kewibawaan wanita!
*bersambung*