Tuesday, April 10, 2007

Si Kecil Itu

Oleh Suzana Mohamed Ali

Assalamualaikum WBT

Semalam, saya ralit memerhatikan keletah seorang anak kecil bermain bersama ibunya. Dia baru bertatih. Masih teragak-agak untuk melangkah. Dia terjatuh lalu terbit tangisan. Namun, tidak lama. Sejenak dipujuk oleh si ibu, dia diam dan mencuba untuk melangkah sekali lagi. Dua kali. Dan seterusnya.

Senario biasa seperti itu seakan momentum yang mengasak untuk saya mencantum idea dan langsung membentuk satu tamsilan.

Bagaimana ya? Anak kecil yang masih belum memiliki kewarasan akal yang sempurna tetapi mempunyai swadaya. Dia belum mampu memanipulasi mindanya, tetapi sudah kenal erti cekal dan sabar.

Mengapa anak sekecil itu tidak diajar untuk mengalah dan berputus asa? Adakah kerana dia masih kecil, masih belum benar-benar mengenal dunia atau kerana dia …?

Soal saya, mengapa si kecil itu putus asanya sifar? Bagaimana dia boleh berusaha dengan kadar yang infiniti untuk bertatih walau entah berapa kali jatuh dan tersembam?

Saya membandingkan si kecil itu dengan diri saya. Aneh! Saya juga telah melalui zaman itu dan ini bermakna satu ketika dahulu saya juga pernah berswadaya sepertinya. Tetapi kenapa tidak sekarang?

Mengapa sifat seperti si kecil itu sudah lekang dari diri saya? Adakah semakin saya mengenal dunia, semakin saya jahil rasa? Atau saya semasa kecil memang tidak pernah memiliki sifat itu?

Saya pernah dan sering bergelut dengan rasa kontang semangat. Saya berdepan dengan inferiority complex. Sedangkan saya secara normalnya sudah cukup dewasa untuk melantik akal menggantikan perasaan. Sedangkan saya tahu bahawa istilah-istilah sebegitu tidak selayaknya saya biarkan berjejeran menyekat kembara ilmu dan perjuangan ini.

Mandala minda saya terus betah ditujah tamsilan. Anak kecil it uterus mengatur usaha walaupun langkahnya tersekat dan teragak-agak. Impiannya Cuma satu. Mahu berlari seperti rakan sepermainan yang lain.

Sesekali tertanya, bagaimana si kecil itu tidak luntur azamnya? Tidak pudar tekadnya? Dan sesekali juga saya bagai dibisikkan jawapan bahawa si kecil itu kental kerana punya ibu yang mewah dengan stimulus.

Lalu, saya toleh sekeliling saya. Barangkali buat masa ini, itu antara hujah yang paling mapan. Saya tidak punya inspirasi. Walaupun saya juga punyai aspirasi. Justeru, saya merangka peta hidup saya.

Sekalipun tanpa idola di sisi, saya mesti terus berlari demi hasrat melihat impian saya menjelma di mayapada. Meskipun saya akan kerap tersadung duri jalanan dek kelelahan, terkapar dek jemu apatah lagi ditimpa dahan ujian; janji saya pada diri, untuk terus mengungguli harapan ini.

Saya yang mencatur hari muka saya. Benar kata orang, kita tak mati dek sumpah, tak hidup dek doa.

Saya yakin, sebenarnya roh anak kecil itu turut masih mengalir dalam jasad saya. Cuma alirannya barangkali tersumbat di selirat nafsu. Saya mesti membedah siasat nurani saya supaya semangat itu kembali mengitari diri saya. Kerana saya yakin bahawa saya punya potensi dan upaya untuk menjadi lebih hebat.

Keyakinan ini jugalah yang saya mahu kalian rasai. Kerana kita juga telah melalui alam itu dan kita wajar mengekalkannya.

Kita semua dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan sebagai anugerah untuk kita garap menjadi atom izzah. Bukan untuk kedaulatan peribadi, tetapi demi keunggulan Islam, ad-Din yang hakiki.

Sememangnya ia sulit untuk kita lestarikan, tetapi kita letih melakukan kebaikan, keletihan akan hilang. Tetapi kebaikan itu akan terus kekal. Sebaliknya, kita tenang menggomol mungkar, ketenangan akan pergi. Yang kekal dosa dan sesal.

Terakhir, terima kasih atas pengorbanan, sumbangan dan sokongan semua. Buat kalian yang mempunyai jiwa dan nurani, salam juang. Teruskan stimulus ini … Wassalam.


Jumaat, Mac 04
02.34 am


Diterbitkan dalam Suara Kampus Edisi Perak ~ Atom
Bil 11, September Oktober 2004