Saturday, April 21, 2007

Menjelang Muktamar: Pemangku YDP dipilih YDP Tambun, YDP Parit kekal

Johari Jaffar Fri Apr 20, 07 09:44:31 AM

IPOH, 19 April (Hrkh) – Pemangku Yang DiPertua (YDP) PAS Kawasan Tambun, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Dr Khairuddin Dato’ Abdul Malik, dipilih sebagai Yang DiPertua yang baru dalam Mesyuarat Agung PAS kawasan berkenaan hari ini.

Manakala Timbalan YDP dijawat oleh Ustaz Lukmanul Hakim dan Naib YDP pula diamanahkan kepada Ustaz Wan Ahmad Termizi iaitu bekas aktivis Abim Perak.

Mesyuarat agung kawasan berkenaan telah dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahudin Ayub.

Sebelum itu Dewan Pemuda PAS Kawasan Tambun mendapat ketuanya yang baru setelah calon tunggal bagi merebut jawatan itu, Zairul Azrun Zainal Abidin, menang tanpa bertanding.

Beliau yang lulusan daripada Universiti Teknologi Malaysia dalam bidang Sains Komputer, kini berniaga sendiri, manakala ayahnya seorang aktivis PAS Cawangan Manjoi.

Ketika ditemui, beliau melahirkan rasa syukur sambil menyifatkan kemenangan tanpa bertanding sebagai satu amanah yang perlu dipikulnya.

“Pemuda Tambun meletakkan sasaran 200 orang ahli pemuda hingga akhir tahun ini, kita akan bekerja keras bagi mempastikan sasaran itu tercapai,” katanya.

Menurut beliau, Pemuda Tambun menggalakkan ahlinya mencari ilmu di mana sahaja di kuliah-kuliah agama tetapi dalam masa yang sama mereka dingatkan agar tidak mengenepikan program parti.

Manakala Ketua Dewan Muslimat Tambun kekal disandang oleh Zukhairah Dato’ Ghazali, iaitu adik kepada Dr Lo’Lo Dato’ Ghazali.


YDP Parit kekal

Sementara itu, Ustaz Hassan Johar, kekal sebagai Yang DiPertua (YDP) Kawasan Parit, manakala timbalannya juga turut kekal dalam pemilihan dan mesyuarat agung PAS kawasan Parit baru-baru ini.

Manakala Naib YDP menyaksikan bekas Ketua Penerangan kawasan, yang juga seorang guru dipilih dalam satu pertandingan satu lawan satu. Naib YDP sebelum ini, Dr Faizul Fadzli Mohamad, tewas kepada bekas Ketua Penerangan PAS Parit.

Ketua Dewan Pemuda PAS Parit kekal dipegang oleh Ustaz Mohamad Isme Mohd Taib, yang juga bekas Calon PAS Parlimen Parit. Turut kekal ialah Ketua Dewan Muslimat, yang disandang oleh Dr Najihatul Solihah Ahmad. - mks.

~oOo~
Mak ada sms saya bulan lepas,
... sori lambat balas. tadi sibuk mesyuarat agung kawasan. ayah jadi ketua cawangan lagi ...
Ayah saya dah berbelas tahun ditabalkan sebagai Ketua Cawangan, sejak Pas cawangan kami ditubuhkan. Kenapa?
Sebab masih tiada pengganti. Ayah saya sedia menyerahkan jawatan itu kepada yang lebih layak, tapi tiada siapa yang mahu.
Saya rasa tercabar. Saya segan. Di kawasan saya bukan tiada abna' al-Azhar. Ada. Ramai! Tetapi ...?
Saya no komen. Malas nak cakap.
Muslimat pun sama. Lagi la ... tak payah cakap pun tak apa.
Apapun, saya istighfar, kalau apa yang saya leterkan ini kerana nafsu. Dan saya mohon hidayah dan tawfiq Allah untuk istiqamah. Hidup mati saya, hanya milik Allah dan untuk-Nya!