Monday, April 23, 2007

Projek Dana Khas PAS Tambun berjaya

Johari Jaafar Sun Apr 22, 07 04:36:11 PM

IPOH, 22 April (Hrkh) - Dana Khas yang dilancarkan pada Mesyuarat Agung PAS Kawasan Tambun tahun lalu oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa, disifatkan sebagai berjaya di mana jumlah kutipan yang dapat dikumpul membanggakan.

“Pada hari ini wang Dana Khas yang telah dilancarkan setahun yang lalu kita agihkan antaranya untuk PAS Kawasan dan sumbangan kepada Sekolah Rendah Tarbiyah Islamiah (SRATI), Tanjung Rambutan.”

Demikian dinyatakan oleh Yang DiPertua PAS Tambun, Dr. Khairuddin Dato’ Abdul Malik, ketika berucap di majlis mesyuarat agung PAS kawasan berkenaan, kelmarin.

Beliau melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana dana khasnya yang dilancarkan itu berjaya.

“PAS Kawasan Tambun turut berbangga dengan projek ekonomi yang kita laksana sekarang ini, Pasar Mini Qaswa telah berjaya memberikan dividen kepada ahli-ahlinya serta telah dapat mengerluarkan zakat,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, PAS Kawasan Tambun juga merupakan pemberi infa’ wajib terbesar kepada PAS Negeri Perak, iaitu sebanyak RM9,000.00, walau pun jumlah keahlian PAS Kawasan Tambun berada di tangga ke-8 daripada seluruh PAS kawasan di negeri ini.

“Dalam masa sama kita terus mempertingkat pengisian ilmu melalui Majlis Ijtima’ yang bergerak dari satu cawangan ke cawangan yang lain. Syabas saya ucapkan kepada seluruh pimpinan PAS cawangan yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi,” katanya lagi.

“Pencapaian yang kita perolehi sekarang ini dilihat baru di sekitar 50–60 peratus pembabitan kita dalam parti, alangkah baiknya jika kita dapat mempertingkatkan gerak kerja kita menjadi 80-90 peratus, saya pasti kita mampu dan kejayaan yang cemerlang pasti dapat kita lakukan,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan perwakilan cawangan dan ahli agar tidak menjadi hanya pemerhati dan pengkritik sahaja, sebaliknya mereka perlu menjadi pencetus kepada perubahan.

“Kita jangan sibuk mencari kesalahan orang lain, sebaliknya kita bekerja secara berpasukan bagi memastikan parti mencapai kejayaan,” katanya lagi.

Majlis perasmian Mesyuarat Agung PAS Kawasan Tambun telah dilakukan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahudin Ayub. - mns