Thursday, April 05, 2007

Dedikasi Hari Lahir Mak




Mak memang seorang yang sangat istimewa dalam hidup saya, ayah dan adik-adik. Kalau orang lain, mungkin menjadikan insan lain sebagai idola, tapi bagi saya, Mak dan Ayah adalah inspirasi utama.

Bercerita tentang Mak membuatkan hati saya segar dengan rindu dan aspirasi. Mak menjadikan saya rasa dihargai dan diperlukan.

Satu kisah yang paling saya tak akan lupakan langsung tentang Mak ~ semangat dan tawakal yang total dalam lestari perjuangan.

Mak saya kakitangan kerajaan, sejak lebih kurang 30 tahun lalu. Penglibatan Mak dalam gerakan Islam memang diketahui oleh pihak atasan. Dek kerana itu, Mak dipanggil oleh ketuanya.

Di bilik Tuan ****, sebaik sahaja Mak melangkah masuk, Tuan **** mengucapkan tahniah dengan senyuman. Kemudian si tuan tadi menyambung kalamnya dengan memberikan Mak saya pilihan, ditukarkan ke cawangan lain atau letak jawatan dalam Parti.

Jawapan Mak saya ringkas. "Tuan, kalau rezeki saya di tangan Tuan, buatlah. Tapi kalau rezeki saya di tangan Tuhan, belum tentu lagi."

Tuan **** diam. Mak keluar dari bilik tersebut. Hingga hari ini, Mak saya masih bekerja di situ dan telah menerima Anugerah Khidmat Cemerlang.

Ini cerita biasa. Tapi bagi saya sangat luar biasa. Kerana Mak cuma orang biasa. Tanpa pernah mendapat pendidikan agama secara formal, tapi kecekalan Mak membela agama Tauhid yang dibenci oleh segala tuan ini amat luar biasa.

Saya malu kalau saya tewas pada Mak dan Ayah. Mereka sangat luar biasa bagus dan hebat.

Mak, hanya Allah yang layak menganugerahkan Mak segala kebaikan dunia dan akhirat. Ampunkan anakmu ini.

Mak, sesungguhnya, kami sangat menyayangi Mak...