Friday, February 09, 2007

SALAM DARI TANAHAIR

Tulisan ini saya jumpa dalam folder sahabat saya. Sahabat ini cadangnya menyiarkan tulisan ini dalam Suara Hewi. Namun, tidak berkesempatan. Demi terbacakannya, saya rasa elok saya kongsikan bersama semua. Biar faedahnya membiak!
~~*~*~*~~

Assalamualaikum wbt

Sudah menjejak sebulan setengah saya berkampung di tanahair, hati saya sedikit dijentik jemu. Namun untuk pulang meneruskan kelana di bumi sahrawi, jiwa saya masih belum sudi. Biarlah dulu ...

Menjenguk umat kita di bumi sendiri menyesakkan dada. Tidak cukup dengan wabak sosial yang parah, dibarahkan pula dengan kegiatan Mat Rempit yang menggila, sehingga masyarakat takut untuk keluar rumah meneruskan aktiviti harian.

Dalam masa yang sama, negara berbesar hari menghantar ribuan rakyatnya menadah ilmu ke luar negara dengan hasrat inilah generasi yang bakal menjadi pelapis pimpinan masyarakat dan negara. Universiti al-Azhar tidak terlepas dari menerima anak-anak Malaysia saban tahun untuk menuntut ilmu.

Sayangnya, anak-anak muda yang digalaskan dengan aspirasi perdana ini gagal melangsaikan amanah tersebut. Di al-Azhar misalnya, mahasiswa sudah makin hilang identiti ulamanya.

Tidak keterlaluan dikatakan, hampir semua anak-anak watan yang datang ke bumi sahara ini tidak berjaya melekangkan karat jahil dari diri sendiri dan paling menyedihkan mereka tidak bersedia menghirup atmosfera solehah guna menghidupkan neuron-neuron taqwa supaya dapat hidup sebagai diri.

Mahasiswi, secara rambangnya sudah hilang malu. Saya masih ingat ketika kali pertama menjejakkan kaki ke bumi Mesir, kami dididik untuk menjaga pergaulan dan adab sekaligus menjulang bangsa Malaysia sebagai dagang yang tahu diri.

Hari ini, saya tidak melihatnya lagi. Adik-adik saya yang hadir dengan hasrat mahu menyembah ilmu di riba para ulama ini sudah tidak malu-malu memurahkan harga diri pada adam ajnabi.

Budaya sms, chatting, missed call dan segala yang berkaitan salah guna teknologi sudah jadi lumrah dan hampir sinonim dengan mahasiswi Malaysia di al-Azhar. Kenapa jadi sebegitu murah?

Sering kita dondangkan kalimat "wanita diciptakan dari rusuk adam, bukan dari kepala untuk diagung-agung, bukan dari kaki untuk diinjak-injak". Hakikatnya tidak sebegitu! Hawa di sini tegar membiarkan diri sendiri dipijak oleh lelaki dengan rela hati. Menjaja hati di jalanan ...

Dulu memang Adam di sini mencabar kita kerana tidak berketrampilan dalam menangani polemik. Hari ini segalanya berubah total. Hawa terkehadapan dan dikenali sejagat Mesir. Tetapi bukan berbekalkan imej yang molek. Sungguh maruah hawa di darjat terpencil!

Sidang pembaca yang dihormati,
Adam menyanyikan hajat mereka mendambakan insan srikandi semulus akhlak Saidatina Aishah, namun kita tidak menepati pakej yang diingini. Lalu, layakkah kita merindui kasih pewaris kekasih Allah ..? Jawapannya ada dalam iman kita, tanyalah!


Saya yang jauh,
Suzana Mohamed Ali
(Ketua Pengarang Suara Hewi)
Malaysia - 20 Ramadhan 1427

~~*~*~*~~
dari hati Seri