Wednesday, February 14, 2007

Jom Telaah Kutaib

Dr. Abdullah Nasih 'Ulwan dalam buku kecilnya bertajuk Ila Wirasatil Anbiya' wa Du'at IlaLlah ada menyentuh tentang an-Nasr (kemenangan).

Kata beliau, kemenangan dan bantuan Allah itu bukan kerana doa. Tetapi kemenangan dan bantuan Allah itu hadir kerana jihad dan istimrar yang kita cagarkan.

Ulasan Saya :
Segala milik Allah amatlah mahal. Allah memang berkira dalam meminjamkan miliknya pada sesiapa. Bukan salah apabila Allah bersikap demikian kerana Dia Maha Menjadikan. Dia berikan pada sesiapa yang Dia sendiri tentukan. Dia yang putuskan untuk memberi atau tidak. Tanpa perlu rundingan dengan sesiapa juga.

Dan memang tidak pernah cukup hanya dengan doa untuk mendapatkan sesuatu. Analogi ringkas supaya mudah difahami, dalam satu urusan yang melibatkan pihak atasan, pastilah surat permohonan peruntukan sahaja tidak memadai.

Biasanya pihak berkuasa bakal tidak melayani permohonan yang begitu-begitu tanpa ada usaha keras untuk mendapatkannya. Ini satu tamsilan (mungkin kurang tepat) supaya kita jelas tentang perkara ini.

Andai dengan manusia pun begitu, Allah Yang Maha Memberi mesti lebih dari itu. Dia berhak begitu.

Dalam soal mengharapkan bantuan Allah dalam urusan yang lebih besar, seperti dakwah ini; sewajarnya kita tidak hanya menadah tangan mengharapkan segalanya dituntaskan dengan keajaiban doa.

Cuba fikirkan - kalaulah urusan sebegini getir bisa terbantu hanya dengan doa, apalah ertinya Allah menjanjikan syurga bagi sesiapa yang menjualkan diri dan hartanya demi kembara dakwah ini?

Syurga bukan sebarangan untuk dimiliki semudahnya, bukan?

Justeru, dakwah ini tabiatnya memerlukan jihad. Jihad dalam makna yang luas dan praktikal. Jejak semula penerangan jihad yang dicatatkan oleh Ustaz Said Hawwa dalam bukunya bertajuk Jundullah; Thaqafatan wa Akhlaqan.

Jihad ini prospeknya teramatlah luas. Sama juga dengan dakwah. Ia fleksibel dan sentiasa relevan.

Hari ini kita seakan dapat melihat bayang-bayang kemenangan yang menghampiri. Ini bukan ertinya kita sudah boleh duduk diam berdoa menunggu kemenangan ini melutut di kaki kita.

Lagi dekat kemenangan Islam, lagi banyak dugaan yang akan merentang jalan dari kemenangan iu tiba. Ertinya lebih ramai yang akan mencemburuinya dan berusaha menjauhkan kemenangan itu dari terealisasi.

Justeru, jihad perlu iltizam dan konsisten.

Silapnya sebahagian kita, dengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan. Baru nampak bayang, kita sudah bersorak ria. Sedangkan sebaiknya kita berusaha sungguh lebih gigih dari sebelumnya supaya kemenangan itu benar-benar tiba.

Mudah-mudahan kita tidak terus terleka.

Saya memetik kalam Dr. Majdi al-Hilali dari kitabnya Risalah Min Ghariq;
"saya tidak melihat orang lain yang lebih memerlukan nasihat dan taujihat ini lebih dari diri saya sendiri yang beramal kurang lagi bertimbun dosanya. Diri saya yang tiada daya lagi upaya melainkan dengan izin Allah".

Moga ulasan secebis ini menyuntik semangat kita untuk meneruskan perjuangan dan kekal thabat serta istiqamah, hingga kita benar-benar layak menerima kemenangan dan bantuan Allah ~ Nasrun minaLlah wa fathun qarib.

Amin.
Wabillahi at-Tawfiq.

dari hati Seri