Sunday, February 11, 2007

warkah dari diri yang lemas

Sebuah kitab kecil bertajuk "Risalah Min Ghariq" karangan Dr Majdi al-Hilali sempat saya diskusikan beberapa malam lepas. Saya amat terkesan dengan tulisan tersebut.

Bertemakan mahu menyelamatkan manusia yang dianggap sebagai adik beradik sendiri dari lemas dalam lautan dunia yang menipu, Dr Majdi berjaya menjadikan jutaan pembaca seolah-olah terperangkap, hampir lemas dan mahu diselamatkan.

Saya juga merasakan saya masih lemas dan nyaris tenggelam. Saya mahu diselamatkan.

Rawatan yang perlu saya terima ialah memendekkan angan-angan dan memperbaiki tawakal kepada Allah. Dua rawatan ini sudah memadai untuk menyelamatkan nyawa saya (buat masa ini).

RAWATAN PERTAMA - Qasru al-Amal
Saya mahu berhati-hati tapi bukan menyingkirkan perancangan masa depan. Tetapi supaya saya sentiasa ingat bahawa mati sentiasa mengintai tanpa saya sedar.

RAWATAN KEDUA - Husnu Tawakal 'AlaLlah
Keputusan hidup mati makan minum saya di genggaman Allah. Tapi saya mesti berusaha. Bukan duduk terngadah menanti takdir berubah. Dan bukan juga saya meraung meratap menangisi takdir yang Allah anugerahkan pada saya yang saya rasa tidak cocok dengan kehendak dan permintaan saya. Saya hamba dan Dia Tuhan saya.

Jika saya percaya segalanya dari Dia, tidak akan ada satu pun yang perlu saya sungutkan apa lagi untuk saya resahkan.


dari hati Seri