Saturday, July 14, 2007

Bila *nak* Balik ~ Di Perjalanan Waktu

Saya bakal bergelar graduanita tahun ini, insya Allah dan ameen.

Tujuh tahun saya berkampung di dataran Sahrawi ini, menuai ilmu dan pengalaman. Tarikh 8 Oktober 2000, tak pernah padam dari ingatan saya – kali pertama menginjakkan kaki ke bumi kinanah ini.

Saya akui, di tahun-tahun terawal menghuni bumi sahara ini, hati bentak-bentak mahu pulang segera. Rasa malas, bosan dan menyampah bertimbun dalam dada. Rasa mahu cepat-cepat pulang meninggalkan Mesir yang tunggang-langgang!

Tujuh tahun mengembara.
Tiga empat tahun kebelakangan ini saya mula jatuh cinta pada bumi tinggalan Nabi Allah Musa ini. Saya baru tersedar, apa yang saya cari dan mahu, ada di sini. Sebelum itu saya tak perasan sebenarnya yang Mesir ini sangat istimewa.

Tujuh tahun saya tinggalkan keluarga.
Di tahun terakhir ini, saya meninggikan azam – mahu menyambung MA di sini. Belum mahu pulang berbakti, kerana ruang nubari saya sudah sendat dengan cinta di sini. Saya belum puas memadu kasih dengan PMRAM dan KPIPM. Saya mana mungkin tinggalkan cinta hati saya saat asmara memuncak!

Tujuh tahun saya di sini.
Saya hadapkan hasrat hati pada Ayahanda. “Ayah, Kak nak sambung Master”. Patah kata saya mati dicantas kata Ayah, “balik. Sambung kat sini”

Ayah. Kak nak sangat belajar lagi kat sini. Kak belum pandai lagi..’. Ayat ini hanya berani bersuara dalam hati saya. Hati saya berbaur. Sedih. Kecewa. Rajuk…

Kali kedua saya cuba nasib, manalah tahu, Ayah berubah fikir. “Kalau nak belajar juga, balik ambik kat sini. Dekat sikit”

Emak pujuk saya. “Ayah dah lama tak tengok Kak. Baliklah. Dia nak Kak ada depan mata dia. Kak dah lama jauh dari kami. Sejak masuk sekolah menengah sampai sekarang ..”

Saya mengalah. Demi Ayah yang lebih saya sayang, dari Mesir yang saya kasih.

‘Iya Mak. Kata-kata Mak betul. Dah lama Kak tinggalkan semua. Ayah nak Kak dekat dengan Ayah. Kak faham. Tapi kalau nanti Kak ikut ‘dia’ …?’ Sekali lagi saya berbual dengan hati.

Itu yang saya runsingkan dulu. Antara hasrat yang tertunda dengan kehendak yang melengahkan. Saya paksa hati untuk patuh pada Ayah.

Tapi itu dulu. Sekarang hati saya bulat menurut hajat Ayah. Saya cuma ada Ayah seorang dalam dunia. Belajar tetap belajar. Ayah tak halang saya teruskan niat. Saya akan ikut permintaannya. Ayah bukan selalu minta saya turut katanya.

Pesanan Hujung
‘Ayah, Kak ikhlas turutkan.
Kak sayang Ayah. Kak sayang Mak. Sampai bila-bila pun’
Pada Kakak dan dia, ‘terima kasih memberi sokongan dan memahami saya’