Thursday, December 14, 2006

Amanat

Amanat

Saya meninggalkan tanahair buat kesekian kalinya lewat petang 2 Disember 2006. Jasad saya yang menempati perut pesawat Gulfair yang sendat itu, dibuai bauran rasa.

Malam sebelum saya berangkat, kami berkesempatan mengadakan sedikit majlis doa selamat. Habis seluruh kerabat sebelah bonda saya terutamanya memenuhi ruang teratak kami di Ipoh.

Yang sayu bergayut di hati saya, kesungguhan Tok untuk datang, walau terpaksa berjemput dalam keadaan separa sihat. Saya terharu. Sebaik Tok sampai di teratak kami, nama saya dilaungnya dan Tok menyerahkan satu sampul surat biru yang padat dan agak tebal dengan entah apa, saat saya muncul di hadapannya.

Dek kerana kalut membantu di dapur, menyiapkan hidangan yang bakal dijamu usai solat Isyak nanti, saya terus menyimpan sampul itu, tanpa membukanya. Namun isinya dapat saya agak!
Setelah jemputan semua, yang kebanyakan jemaah surau kariah saya; beredar, dan kami berkendara mengemas dapur, barulah saya berpeluang menjenguk kembali isi sampul itu. Wang kertas RM 1 sebanyak lima puluh keping!

Mungkin bagi orang lain, nilai itu tidak seberapa. Namun bagi saya, dengan kudrat Tok yang sudah tidak seberapa ditambah usianya mencecah angka 80 tahun, ia terlalu banyak.

Patutlah, sewaktu saya menerima sampul itu, Tok kata, "Su, lulus tahun depan, Tok sembelih kambing pulak".


~ SINOPSIS ~

Terima kasih buat semua yang mencemar duli ke teratak kami. Makco dan ibu mertuanya yang dari awal ke dapur menyinsing lengan. Achik dengan si Ina Jepun yang nakal sangat-sangat. Pakcu dan Maksu yang sponsor kuih raya. Makyang yang tolong masakkan pajeri nenas-sedap banget! Ayahchik yang mewakili adik-adik Ayah.

Kawan-kawan - Andak dan ibunya, Ateh, Achik.

Ahli Muslimat cawangan Batu 5.

Jemaah Surau Hawariah.


terima kasih. Doakan saya pulang dengan kejayaan ...

dari hati Seri