Wednesday, March 28, 2007

DAKWAH MELALUI PROGRAM REALITI TV


Oleh Nurhumaira Mukhtar

Menyentuh polemik ini, bererti kita turut membahaskan barah hedonisme yang membunuh jati diri Timur di kalangan rakyat Malaysia. Hedonisme merupakan satu pegangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan dalam hidup. Kepuasan nafsu menjadi keutamaan dan ukuran dalam menentukan pilihan.

Sebelum dunia mengamalkan dasar langit terbuka dan membuka sempadannya, budaya songsang ini hanya menjangkiti remaja dan belia sahaja. Tetapi, realiti hari ini lebih memedihkan apabila barah ini mewabak kepada segenap lapisan masyarakat termasuk warga emas.

Program Realiti TV Bukan Perkara Baru
Kebanjiran genre hiburan dari serata dunia melemaskan watan Malaysia. Bagai mengantuk disorong bantal, begitulah analogi yang mewakili bejatnya hedonisme ini yang diperkukuhkan letak diamnya dengan penyalahgunaan teknologi secara membuta tuli.

Namun, program realiti TV ini bukanlah perkara baru dalam budaya hiburan masyarakat kita di Malaysia. Dekad-dekad sebelum ini kita sudah diperkenalkan dengan Sinaran Pasport Kegemilangan, misalnya dan banyak lagi rancangan hiburan lain yang seumpamanya.

Budaya hiburan ini seakan-akan sudah sebati dalam darah daging masyarakat majmuk negara kita. Warisan sejarah sahaja sudah cukup membuktikan perkara ini. Malaysia memang dikenali dengan kepelbagaian budaya yang rata-ratanya berkaitan hiburan. Zapin, makyung, wayang kulit dan syair gurindam serta banyak lagi.


Konsep Program Realiti TV
Secara umum, program ini berbentuk pertandingan secara sihat untuk memenangi suatu ganjaran yang menjadi tema program. Penyertaan biasanya terbuka dan pemilihan peserta berdasarkan uji bakat atau temuduga.

(1) Menyerlah bakat dan populariti
· Program sebegini mendapat liputan meluas dan tajaan banyak pihak. Selain mencungkil bakat, menempa populariti dan menambah ramaikan jumlah mereka yang bergelar artis, program sebegini sebenarnya membudayakan gaya hidup bebas dengan aksi melampau yang seakan-akan bangga berkiblatkan Barat.

(2) Pengetahuan Am
· Berkisar tentang pengetahuan am dan semasa.
· Contoh : Akademi Al-Quran, The Apprentice, Oh Ayah Oh Ibu, Cari Menantu, rancangan dekorasi tajaan (tak ingat nama rancangan)
Dakwah Melalui Program Realiti TV
Islam sebenarnya lebih luas dari pemikiran manusia. Islam mencakupi perkara-perkara yang kadang-kadang manusia tidak terfikirkannya. Kerana Islam adalah penyelesaian dan Islam adalah kesempurnaan.

Justeru, dalam soal ini Islam menyeru supaya umatnya saling berdakwah. Bukan sekadar menyampaikan ilmu dan memperkenalkan Islam. Jauh dari itu, supaya Islam dilihat sebagai keperluan, dan bukan semata-mata kehendak.

Dakwah melalui program realiti TV ada kemungkinannya. Namun, jika dilihat dari realiti semasa, program sebegini rencat. Racun hedonisme sudah membunuh minat hampir seluruh masyarakat terhadap rancangan mendidik terutamanya yang berwajah Islam. Semacam ada satu kengerian yang diistilahkan sebagai Islamfobia.

Sungguhpun begitu, kita tidak boleh bersikap lepas tangan dari mewujudkan alternatif. Dakwah mempunyai banyak kaedah. Adakalanya Islam memerintahkan supaya kita bertahan dan adakalanya menyerang balas. Dalam konteks mendepani cabaran hedonisme ini, kita wajar menyediakan pilihan lain untuk masyarakat. Cara dan konsep kita wajib berdiri di atas ketentuan yang Allah syariatkan. Walaupun kita seakan-akan mengikut arus, sewajibnya matlamat kita sehala dengan yang Islam gariskan, tanpa perlu menggadaikan dasar-dasar Islam yang terpelihara.

Terlalu banyak perkara yang boleh kita kongsi bersama masyarakat dunia tentang Islam melalui media. Sayangnya, umat Islam yang berjati diri Muslim kurang kreatif mempelbagaikan method dakwah. Yang ada, Muslim yang tidak berjiwa Muslim dan tentulah hasil usahanya langsung tidak menepati kehendak Penciptanya.

Seperti yang dinyatakan, Islam lebih luas dari takat pemikiran manusia. Islam mempunyai norma dan metodologi berkaitan hiburan. Selama kita masih mematuhinya, kita bebas mengadaptasi semua kemajuan teknologi demi menjulang kepentingan Islam.

Metodologi Hiburan Menurut Islam
Islam membenarkan hiburan dalam erti kata yang luas. Islam tidak membiarkan umatnya lepas bebas berbuat apa sahaja untuk menghiburkan diri mereka. Ini perlu bagi memelihara hak sesama manusia dari diperlakukan sesuka hati. Manusia bebas berhibur tetapi tidak boleh menyulitkan manusia lain semata-mata kerana mahu memenuhi kehendak sendiri.

Islam membataskan hiburan dengan beberapa perkara. Antaranya :
1. Hiburan bukan memuja manusia melebihi Tuhannya. Ringkasnya, ia tidak melalaikan dari mengingati Allah
2. Memelihara batas pergaulan antara lelaki dan wanita. Dari sudut aurat, percampuran (interaksi), penggunaan peralatan dalam berhibur serta banyak lagi.
3. Mendahulukan yang wajib dari yang lainnya. Contohnya mendahulukan solat apabila masuk waktu dari berterusan berhibur.
4. Matlamat tidak menghalalkan cara. Ertinya tidak mencampur adukkan mungkar atas nama ihsan sesama manusia. Contohnya hiburan ditaja oleh mereka yang menghalalkan arak dan banyak lagi


Dr. Yusuf al-Qaradawi telah menyimpulkan tiga faktor yang menyebabkan sebahagian ulama agak berkeras dalam masalah hiburan, terutamanya yang melibatkan nyanyian. Sebab-sebab itu adalah seperti berikut :

1. Ulama mengambil sikap berhati-hati daripada berpegang dengan prinsip bermudah-mudah.
2. Terdapat sebahagian ulama berpegang dengan hadis-hadis daif dan tertipu dengan hadis-hadis palsu.
3. Kondisi dunia hiburan hari ini yang kebanyakannya tidak mengikut lunas-lunas yang dibenarkan oleh syara’ menyebabkan para ulama bertegas mengharamkannya kerana mahu memelihara kepentingan manusia sejagat.

Kesimpulan
Islam tidak datang memerangi fitrah manusia tetapi Islam hadir untuk memimpin dan menuntun fitrah agar ia tidak lari dan liar dari landasan Islam.

Realiti yang terpampang di hadapan kita hari ini jelas menginjak-injak peraturan yang Allah gubal. Tidaklah keterlaluan untuk menyifatkan bahawa rancangan realiti TV yang ada hari ini langsung tidak ada satu pun kebaikan untuk diterima pakai. Semuanya menjerumuskan manusia untuk bertuhankan nafsu.

Justeru, dakwah melalui program realiti TV yang berdasarkan kefahaman Islam amat diharapkan bagi menggantikan rancangan yang sedia ada. Perkara ini bukan mustahil. Sama tidak mustahilnya manusia menjejak bulan!

Penutup
Sudah tercatat dalam Protokol Hukama’ Yahudi untuk merosakkan umat Islam terutamanya dengan membiakkan virus hiburan dalam jiwa mereka. Dan ternyata usaha mereka berjaya. Hari ini, masyarakat Islam di Malaysia sudah dihipnosis dengan hedonisme. Seolah-olah mereka akan mati jika tiada hiburan.

Namun masih belum terlewat untuk menyelamatkan situasi runcing ini. Rawatannya cukup mudah. Kembali kepada Allah dan Rasul-Nya.

Wallahua’lam.
Wa billahi al-Tawfiq.


Rujukan :
1. Al-Quran, tafsir dan terjemahannya.
2. Monograf Andalus II (Tanta), terbitan Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta (DPMT) dengan izin terbit Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM.
3. Brutukulat Hukama’ Sohyuni ~ Protokol Zionis