Sunday, August 05, 2007

Kalau Namanya Cinta


Kalau namanya cinta
Ingin aku jadi as-Siddiq
Yakin pada baginda
Tak terobek percaya walau seluruh umat
nafikannya.

Kalau namanya cinta
Biar aku jadi al-Faruq
Cinta aku pada Baginda ulung
dan segalanya demi dia.

Kalau namanya cinta
Aku mahu persisi Ummu Sulaim
Dalam jerih mengusung hamil,
Baginda lebih utama
Untuk aku pertahan.

Kalau namanya cinta
Mana pernah as-Siddiq dan al-Faruq
Khianati Baginda


Mana mungkin Ummu Sulaim
Pentingkan diri dari nyawa al-Amin

Kalau namanya cinta
Kenapa puji,
Kau ucap depan-depan?
Tapi caci,
Kau ungkap belakang-belakang?


Kalau namanya cinta
Demi Allah dan Rasul-Nya
Kenapa tak pernah kau hirau pesan?

Kalau namanya cinta
Pastilah cinta berpada kerana bimbang
Esok benci berganti.


Kalau namanya cinta
Damaikan ikatan hati itu dari calit
Dengki dan iri
Dari cemar fitnah direka-reka
Dari buruk sangka dan kata nista
Dari sakit hati dan tinggi diri

Kalau namanya cinta
Letakkan Allah sebagai saksi
Sunnah Rasul sebagai paksi
Cinta Sahabat sebagai nasihat

Kalau namanya cinta
Lebihkan dia dari sendiri
Rasakan pedih dia bagaikan sendiri
Gembirakan dia bagai kau ketawa
Temankan dia dalam gelap dan terang
Selamatkan dia, walau kau sendiri akan derita

Kalau namanya cinta
Pasti akan diuji
Kerana cinta demi Allah
Anugerahnya naungan tinggi
Di sisi-Nya
Pada hari tiada naungan selain
Naungan Ilahi


Kalau namanya cinta
Kau pasti bahagia
Aku pasti gembira
Dia pasti hilang duka

Tiada sengketa
Damai bagai dialah as-Siddiq
Membenarkan di waktu yang lain mengatakan tidak
Rukun, persis bersama al-Faruq
Membela tanpa mengira ketika
Bak di sisi Ummu Sulaim
Segalanya, kau
Segalanya, aku
Segalanya, kita
Lebih dari dirinya
Kerana namanya cinta!

Dan kerana namanya cinta
Akulah yang pertama!





*~*
Saya tidak lagi meminati penulisan kreatif, sejak sajak sulung saya dinobat johan dalam PMHK beberapa tahun lampau dan dirakamkan dalam al-Kasyaf, Kembara Cinta. Tetapi entah semangat apa yang memaksa jemari saya menulis kata-kata hati ini, hanya Allah yang tahu.

Saya, jujurnya nafikan kualiti tulisan ini. Selebihnya saya sekadar mahu biarkan tulisan ini kekal dan saya menulis. Ruwet bila hati sendiri tidak difahami …