Di Kampung Ilmu
Oleh Suzana Mohamed Ali
Adik-adikku,Oleh Suzana Mohamed Ali
jalan yang kau pilih ini
kembaranya maha panjang
terentang dan sangat berjarak
berduri dan amat berliku
sangat sedikit yang utuh, sedang
ramai yang gugur, rebah.
Adik-adikku,
hari ini kita berkampung
menebas lalang mazmumah
membakar tunggul jahil dungu
merumput duri leka terpana.
Kita berkampung menyemai
benih nasuha
merumpun azam di jelapang ilmu
merimbun ukhuwah
jangan pongah di kepuk lalai
menyusun pengalaman di batas masa.
Adik-adikku,
kalau leka, kau akan mati
dalam lautan penuh sahmura
dari nubari pewaris Nabi.
Kalau lena, kau akan haus
dalam rekahan fatamorgana
sedang yang lain meneguk madu
lantaran berdagang
mahukan janji Allah.
Berjanjilah adik-adikku,
hingga buana ini redup dengan rahmat
kerana ummah sepakat memacak Islam
berdaulat, kau tak akan berhenti melangkah!
Kalau tidak di kampung ini,
tapi di sana
kembara lagi rentas masa dan zaman
menuai semai ilmu,
biar subur lagi serata alam.
Adik-adikku,
esok, aku terpaksa pergi, kembara
ini bukan ditinggalkan
perpisahan itulah permulaan
mula nan tiada akhir kecuali
akhirat mengganti.
Kerana kita hanya antara dua
langkah,
hidup mulia atau mati
kerana-Nya.