Friday, March 02, 2007

Sukan Nisa’ bertaraf Sukan SEA

Oleh Anual Bakri Haron
Fri Mar 02, 07 10:26:07 AM

Sekali lagi Nisa' Malaysia yang menganjurkan Sukan Wanita Malaysia (Nisa' Games 2007) yang pertama di negara ini di Stadium Sultan Mohammad Ke IV mengharumkan nama Islam. Sekali lagi Kelantan mengungguli langkah membawa wanita menutup aurat jauh ke hadapan.

Walaupun Azalina Othman, Menteri Belia dan Sukan yang tidak gemar bertudung itu enggan menerima ia sebagai sukan pertama yang seumpama itu diadakan kerana mendakwa mereka pernah menganjurkannya, tetapi itu tak apalah.

Apa yang pasti sukan yang mengajak wanita menutup aurat 100 persen itu adalah julung-julung kali pernah diadakan. Semua orang kampung sudah tahu yang acara boling, bola jaring, bola tampar, badminton dan futsal; berlangsung selama dua hari pada 17 dan 18 Februari 2007 lalu, lain dari yang lain.

Ia menurunkan atlet pecut acara 200 meter bertaraf dunia yang menutup aurat. Dialah pemegang panji dengan diikuti ratusan ahli sukan muslimat; semuanya tahu akan tanggungjawab bertudung ketika beriadah.

Ini perkara besar yang wajar dicontohi oleh Puteri dan Wanita Umno termasuk diri Azalina, Shahrizat dan Kak Fidah.

Sesungguhnya, kehadiran atlet muslimah bertaraf dunia yang menjadi jaguh pecut yang menutup aurat ini benar-benar membawa imej Islam meluru ke hadapan.

Ia seakan-akan telah meninggalkan orang dan pihak-pihak yang sering cemburukan kejayaan Islam dan muslimah Islam, terkial-kial jauh di garisan belakang.

Menyentuh tentang aurat, memang wanita itu adalah aurat. Walaupun begitulah pada dasarnya, tetapi itu tidak pernah menghalang mereka untuk bersukan dan berekreasi.

Jika haramlah aktiviti bersukan dan berlari, tentu Saiyidatina ‘Aishah tidak berlumba lari di padang luas menyaingi Rasulullah SAW. Persoalannya di sini ialah menutup aurat.

Jika aurat ditutup, khalayak penonton adalah muslimat sesama muslimat atau wanita sesama wanita, menjaga waktu solat dan memelihara segala tertib dan adab ketika bersukan dengan niat untuk memelihara serta menyihatkan tubuh badan yang diamanahkan oleh Allah SWT - maka itu sudah dikira ibadah keseluruhannya. Dengan tubuh yang sihat, minda juga akan menjadi cergas.

Bahkan jauh ke hadapan melalui kerjasama Nisa’, Kelantan boleh menjadikan sukan Nisa’ bertaraf Sukan SEA yang boleh merekrutkan negara-negara kerabat sejiran seperti Brunei, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan mungkin Myanmar buat permulaan.

Bersifat alternatif, ia mampu dijadikan acara sukan dwi-tahunan misalnya yang membawa aura kelainan yang jauh dan klise. Di sana kita akan berpeluang menyaksikan atlet sukan air yang berburqini.

Kita juga boleh saksikan acara-acara trek, pelbagai perlawanan berpasukan, seni mempertahankan diri serta sukan berkuda, big walk, sukan berperahu, canoe, memanah dan lunsur layar. Seratus peratus menutup aurat semestinya!

Lihatlah tenaga tekad dan kata-kata berazam Cik Ruqaya Al-Ghasara, gadis manis berusia 25 tahun, pelajar tahun dua Universiti di Arab Saudi itu sewaktu ditemuramah:
“Pedulikan apa mereka kata, yang penting kita buktikan bahawa kita mampu bersaing dan jauh lebih hebat dari mereka.” - (Mingguan Malaysia 18 Februari 2007).

Jika inilah bunyi kata-kata semangat beliau maka salahkah jika kita juga turut berkata, “pedulikan mereka yang enggan menutup aurat. Biarkan mereka ketinggalan."

Yang penting jemaah Islam perlu buktikan yang Islam mampu bersaing dan mampu meninggalkan Umno yang jumud. PAS lebih hebat dari Umno. Dengan meninggalkan Islam, Umno akan semakin tertinggal.

Mungkin dalam sedikit masa lagi, sambil membimbit selipar bertumit patah, wanita Umno akan terkial-kial memanggil, “Nik Aziz! Tunggu kami dulu. Jangan tinggalkan kami. Kami pun tidak mahu tertinggal.”

dipetik dari harakahdaily.net/v061
~0~0~0~
saya juga ketinggalan. teringin menyarung 'jersi' sukan lagi.
Nisa' ~ tahun depan bikin lagi ye. Humaira ini mahu sertainya!