Monday, March 12, 2007

Manusia Suci

Oleh Suzana Mohamed Ali

DALAM gelanggang dakwah, ketepikan soal hati. Jangan mendamba mahu menjadi 'manusia suci' yang aman dari rencah hidup dan ragam manusia lain.

Da'ie bukan manusia maksum yang terhindar dari apa jua salah dan alpa.

Sedangkan Baginda Kekasih Allah juga tidak lepas dari dihina dan dikeji, lalu bagaimana mungkin kita yang sedikit pun tidak pernah dijamin oleh Allah dengan keampunan dan syurga; bisa lari dari kata-kata caci manusia?

Rasulullah menunjukkan jalan. Baginda bukan sekadar menyuluh yang gelap. Bahkan menuntun tangan kita di jalan yang terang, supaya kita tidak lagi beralasan Baginda mengabaikan kita di lapang yang benderang!

Memilih untuk meneruskan kembara yang Baginda al-Amin mulakan ini ertinya berikrar mahu sama-sama membajai Islam ini dengan keringat dan jika tiba saatnya, dengan darah.

Bukankah Islam yang subur di hati kita hari ini dibasahi oleh darah dan keringat Rasulullah dan para Sahabat Baginda? Kerana keikhlasan mereka yang menjual segala kepentingan diri demi membeli syurga dan reda Allah, maka hari ini kita menghirup nyaman Islam ...

Terbayarkah pengorbanan Rasulullah dan para sahabat hanya dengan duduk mengangguk menggeleng membiarkan Islam ini dihinjak-hinjak, dijarah sesuka hati?

Islam sudah cukup diperlakukan sewenang-wenangnya. Dilabel dengan 'brand' terroris, konservatif dan segala nama. Ditolak ditokok dengan 'isme' pelbagai ~ Islam Hadhari antaranya. Dirombak perlembagaannya persis Islam ini milik peribadi atau dalam laras bahasa yang lebih mudah difahami – Islam ibarat lampin pakai buang!

Alangkah malang jika kita hanya diam dan menganga. Tanpa apa-apa. Hanya hati meratib laknat celaka tanpa tangan bangun mengepal usaha!

Allah bakal menyoal ~ apa yang kau lakukan untuk membela agama yang Aku redai ini?

Lalu diterimakah jawapan kita ~ aku amat membencinya di dalam hati! Sedang tangan tak pernah kita angkat dari bahu?

Mampukah kebencian yang kononnya melangit melaut menggunung itu mengubah apa-apa yang mencemar kesucian Islam?

Sampai bila kita harus takut membela Islam yang diredai oleh Tuhan yang memberikan kita rezeki? Ketakutan pada apa yang ada dalam hati kita hingga mengalahkan hebatnya Allah yang memegang nyawa kita?

Takut dihina? Justeru usah berani mengaku yang engkau umat Muhammad Bin Abdullah ~ manusia yang paling Allah reda dan cinta! Pengecut begini bukan umat risalah dakwah ini!

Demi Allah, jika ini sebabnya, kau telah memalukan Rasul Allah!
Dosa apakah yang lebih besar terhadap Rasulullah selain kau mempersendakan Baginda?

Wahai pengecut! Kau tak layak menanti syafaat Muhammad Rasulullah dengan kebaculanmu!

Kau mahu jadi manusia suci yang tidak disentuh oleh kebencian manusia, maka kau tunggulah neraka yang akan menyentuhmu dengan sentuhannya!

Kau mahu jadi manusia suci kerana kau benci rezeki yang saban waktu kau telan akan kurang dan habis, maka kau tunggulah sehingga tanah akan memenuhi mulutmu.

Mahu jadi manusia suci bererti kau mengkhianati Nabi SAW.
Berawaslah!